Bagaimana mahu jayakan Tahun Melawat Malaysia 2026? - Utusan Malaysia

Bagaimana mahu jayakan Tahun Melawat Malaysia 2026?

Pelancong asing yang bersiar-siar dalam cuaca panas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. – Gambar hiasan MINGGUAN MALAYSIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa bulan lagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) bakal menjadi salah satu kempen pelancongan terbesar negara dengan sasaran 35.6 juta pelancong dengan unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion.

Sebagai sebahagian daripada agenda nasional Malaysia, VMY2026 bertujuan meningkatkan hasil pelancongan, mengukuhkan daya saing pelancongan global Malaysia sekali gus meletakkan sektor itu sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada KDNK negara.

Dengan potensi Malaysia yang kukuh sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, VMY2026 bersedia bukan sahaja untuk meningkatkan pelancongan tetapi juga mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan imej global negara dan membawa kemakmuran kepada masyarakat, dan memupuk pertumbuhan dalam sektor sokongan industri seperti pengangkutan, peruncitan dan industri makanan.

Fokus utama VMY2026 ini tidak semestinya hanya tertumpu kepada mempromosikan keindahan destinasi pelancongan tempatan, tetapi kita juga harus mempertaruhkan aset tersembunyi negara iaitu keramahan dan keunikan budaya rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia harus memainkan peranan penting sebagai duta pelancongan negara. Sikap mesra, toleransi, dan kemahiran komunikasi yang baik menjadi elemen penting dalam memberikan pengalaman menyenangkan kepada pelancong.

Sebagai rakyat Malaysia, sikap mesra terhadap pelancong, termasuk memberikan bantuan apabila diperlukan dan menyambut mereka dengan senyuman, dapat mencipta pengalaman positif yang dikenang pelancong.

Selain itu, masyarakat perlu memainkan peranan dalam memastikan kawasan pelancongan bebas daripada sampah dan selamat dikunjungi. Keprihatinan terhadap kebersihan dan keselamatan bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancong, tetapi juga menunjukkan sikap bertanggungjawab rakyat Malaysia.

Mana mungkin kita dapat menarik jutaan pelancong jika negara kita kotor dan keselamatannya tidak terjamin. Cuba bayangkan sekiranya kita bercuti, tatkala masuk ke bilik hotel, bilik hotel tersebut ada lipas dan berbau busuk. Adakah anda dapat percutian yang menyeronokan? Jadi, kebersihan dan keselamatan adalah antara factor penting dalam menjamin percutian yang sempurna.

Bagi memastikan pelancong yang datang ke negara ini mendapat satu pengalaman luar biasa, penduduk tempatan boleh mengambil peluang memperkenalkan budaya, tradisi, dan warisan mereka kepada pelancong. Misalnya, mempamerkan tarian tradisional, seni kraftangan, atau menyediakan makanan tradisional. Pengalaman berkunjung ke program homestay umpamanya perlu dikembangkan lagi bagi menyajikan suasana kehidupan di kampung yang tentunya sukar untuk ditemui di negara lain.

Justeru dengan adanya program homestay ini pengusaha homestay serta pengusaha produk kraf tangan dapat mempelbagaikan lagi daya tarikan pelancongan sekali gus menjana pendapatan ekonomi setempat.

Umpama aur dengan tebing, peranan rakyat dan juga kerajaan memainkan peranan besar dalam memastikan TMM 2026 mencapai matlamatnya Kempen agresif di peringkat antarabangsa melalui media sosial, pameran pelancongan, dan kerjasama dengan syarikat penerbangan serta platform pelancongan digital perlu diperkukuh.

Promosi ini boleh memfokuskan pada keunikan Malaysia seperti pelbagai budaya, keindahan semula jadi, dan destinasi ikonik seperti Pulau Langkawi, Gunung Kinabalu, serta hutan hujan tropika.

Kerajaan perlu memastikan infrastruktur pelancongan seperti jalan raya, pengangkutan awam, dan kemudahan asas berada dalam keadaan terbaik. Selain itu, peningkatan akses internet juga penting.
Pelancongan adalah industri yang berkait rapat dengan sektor perkhidmatan.

Justeru program latihan dan kursus kepada barisan hadapan penggiat industri pelancongan seperti pengusaha homestay, pemandu pelancong, dan pekerja industri hospitaliti perlu diperbanyakkan. Latihan ini bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kemahiran komunikasi dalam pelbagai bahasa.

Jika sebelum ini kerajaan banyak menyalurkan pelbagai insentif kepada penggiat industri pelancongan dan juga pelancong, untuk menjayakan misi nasional TMM2026 kali ini juga kita memerlukan suntikan insentif yang lebih besar bagi memastikan lonjakan kedatangan pelancong.

Selain itu, kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada pelancong asing seperti visa percuma, rebat cukai atau pakej pelancongan menarik yang dapat meningkatkan minat mereka untuk datang ke sini.

Pada masa sama, insentif kepada pengusaha pelancongan tempatan juga perlu diberikan untuk meningkatkan daya saing mereka. Pemberian insentif seperti Geran Promosi Galakkan Melancong (GAMELAN) yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedikit sebanyak telah pengusaha hotel, agensi pelancongan serta pengusaha tarikan pelancongan mempromosikan produk pelancongan negara dengan lebih meluas lagi.

Keberhasilan TMM 2026 memerlukan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta. Hotel, syarikat penerbangan, dan agensi pelancongan perlu bekerjasama dalam menyediakan promosi bersama serta memperkenalkan pakej pelancongan yang menarik.

Dalam masa sama, peranan media massa juga tidak seharusnya dipinggirkan. Media penting dalam mempromosikan destinasi serta produk pelancongan secara efektif. Tidak salah kiranya kerajaan memperuntukkan bajet dengan memberikan Geran Padanan Promosi dan Pengiklanan untuk pengusaha produk pelancongan mempromosikan produk atau perkhidmatan di media massa dalam dan luar negara.

Tahun Melawat Malaysia 2026 diharapkan mampu meningkatkan jumlah pelancong asing secara signifikan, sekali gus merancakkan ekonomi negara.

DATO Azlie Halim ialah Prof. Adjung di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan & Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan dan Timbalan Presiden, Malaysia International Tourism Development Association.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya