MLFF diyakini jimat kos operasi, selenggara lebuh raya

MLFF diyakini jimat kos operasi, selenggara lebuh raya

MLFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberikan enam syor kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pelaksanaan Projek Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

Syor ini diberi selepas PAC sendiri mengadakan mesyuarat sebanyak enam kali dalam tempoh mulai 26 Feb hingga 19 Nov 2024. Oleh itu, pada 18 Februari lepas, PAC mengesyorkan KKR dan LLM melaksanakan analisis kos faedah yang lebih terperinci berhubung perlaksanaan projek tersebut.

Sebenarnya MLFF bukannya perkara baharu, konsep itu mula disuarakan oleh Bekas Menteri Kerja Raya Mendiang Tan Sri S Samy Vellu, pada awal tahun 2006 lagi. Idea tersebut terhasil selepas satu Seminar Antarabangsa Mengenai Intelligent Transport Systems (ITS) Dalam Rangkaian Operator Lebuhraya pada 14 hingga 16 Ogos 2006 yang dihadiri oleh pakar dan operator lebuhraya daripada seluruh dunia termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Australia, Perancis, Jerman dan beberapa negara lain di Kuala Lumpur.

Dalam rumusan teknikalnya, pakar-pakar berkenaan merumuskan aplikasi ITS paling pantas dengan MLFF. Rumusan teknikal dari seminar itu juga menyatakan, pelaksana dan penggubal dasar mesti mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan teknologi terkini dan tidak lapuk dalam tempoh singkat selepas perlaksanaannya.

Dalam satu kenyataan akhbar pada 2 Disember 2007, Samy Vellu yang menjadi Menteri Kerja Raya pada ketika itu menyatakan, “mulai tahun depan, sistem kutipan tol sedia ada di Lembah Klang akan digantikan sepenuhnya dengan sistem MLFF, yang juga dikenali sebagai sistem gantri.

“Melalui sistem baharu itu, pengguna lebuh raya hanya perlu menggunakan kad tol prabayar dan memandu melintasi palang pengimbas tanpa perlu memperlahankan atau menghentikan kenderaan seperti sekarang dan bayaran akan ditolak secara automatik daripada kad seperti kaedah Smart Tag dan Touch n Go” ujarnya.

Sistem MLFF sudah digunakan secara meluas di Eropah, Amerika Syarikat, Australian, Kanada serta Singapura dan memiliki pengimbas laser untuk mengenal pasti kelas kenderaan sebelum bayaran ditolak daripada kad tol prabayar.

Ini bermakna, MLFF dikenalpasti sebagai penyelesaian operasi lebuhraya sejak tahun 2006 lagi. Persoalannya, selama 15 tahun (ketika tahun 2006 – 2021) mengapa tiada syarikat konsesi yang tampil mengemukakan kertas cadangan?

Syarikat konsensi hanya mahu terlibat sama selepas melihat inisiatif ini mahu dilakukan oleh syarikat lain.

Menurut laporan prosiding PAC, “pertama sekali, saya ingin menjelaskan latar belakang projek MLFF yang merupakan projek dirancang lama oleh kerajaan sejak awal tahun 2000 dan pernah dibangkitkan ataupun diumumkan oleh Samy Vellu pada tahun 2006.
Namun, ia hanya dilancarkan selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada tahun 2014 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Keenam apabila dalam perbincangan dalam Majlis Ekonomi (EC), antara lain memutuskan supaya KKR mengkaji sepenuhnya berkaitan dengan sistem kutipan tol elektronik (ETC) termasuk RFID dan MLFF untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas khususnya di plaza tol,” kata Timbalan ketua Setiausaha Bahagian Dasar dan Pembangunan KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah.

Jika mengikut kronologi perlaksanaan MLFF, pelaksanaannya dibuat secara berprosedur dan peraturan yang sedia ada menerusi Mesyuarat Kabinet, mesyuarat jawatankuasa dan pembentangan kertas kerja kabinet sebelum perjanjian itu ditandatangani.

Inisiatif MLFF juga merupakan agenda dalam Malaysian ITS Blueprint (2019-2023) yang diterbitkan pada tahun 2019 bagi mengatasi isu kesesakan di plaza-plaza tol seluruh negara.

Dalam muka surat 134, Laporan PAC, Zahrul Hakim, Timbalan menyatakan dengan jelas. jadi, kos RM3.46 bilion yang diumumkan di dalam Dewan ini (PAC) adalah anggaran dan tidak melibatkan peruntukan kerajaan.

“Maknanya kerajaan tidak menganugerahkan syarikat RM3.46 bilion. Sebaliknya ini adalah kos yang akan ditanggung untuk melaksanakan Program Multi-Lane Free Flow bagi tempoh 30 tahun keseluruhan”.

Ini bermaksud kos itu tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan, tiada kenaikan tol dan tiada melibatkan OPEX kos kepada konsesi lebuhraya.

Ia dicadangkan secara Inisiatif Pendanaan Swasta (PFI) sepenuhnya. Perlu diingat kos RM3.46 billion itu adalah untuk tempoh 30 tahun keseluruhan sebagaimana yang diterangkan oleh Zahrul Hakim prosiding PAC.

Jika mengikut saranan PAC, analisis kos faedah yang lebih terperinci perlu dilaksanakan sebelum MLFF beroperasi. PAC juga mesti melihat analisis kos Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) untuk kesemua 33 syarikat konsesi lebuh raya di Malaysia yang dianggarkan bernilai hampir RM900 juta setahun.

Kutipan tol semua 33 konsesi lebuhraya dianggarkan sejumlah RM7 billion setahun dan sejumlah 12.86% (RM900 juta) untuk operasi dan penyelengaraan lebuh raya sahaja.

Apakah dengan membelanjakan sejumlah RM900 juta setahun, keadaan lebuh raya di Malaysia menjadi lebih baik dan selamat untuk pengguna? Apakah kesesakan boleh diselesaikan dengan membelanjakan wang sebanyak itu? Jika kadar itu dibelanjakan secara berterusan untuk tempoh 30 tahun lagi, nilainya adalah RM27 billion. Bolehkah ada penjimatan?

Menurut Laporan The Edge, Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd-SEP Synergy (M) Sdn Bhd (KJS-SEP) mencadangkan sejumlah RM650 juta berbanding kos O&M sedia ada oleh semua syarikat konsesi sejumlah RM900 juta setahun. Bermakna sudah ada penjimatan sejumlah RM250 setahun. Jika berterusan selama 30 tahun akan jimat sejumlah RM7.5 billion.

Menerusi analisis itu jelas dapat dirumuskan kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya akan dapat dijimatkan jika MLFF dilaksanakan. Dalam mengurus agar ada penjimatan dan tiada monopoli serta ketirisan dalam O&M, kerajaan patut mempertimbangkan cadangan yang berasaskan realiti, teknikal dan kewangan sesebuah syarikat yang hendak kendalikan MLFF.

Kerajaan tidak boleh membuat kesilapan dengan memberi peluang lagi kepada syarikat yang sedang rugi untuk menguruskan MLFF. Rakyat sebagai pengguna tentunya mahukan perkara itu dibuka bagi melihat syarikat yang benar-benar berkeupayaan.

Penulis merupakan Penganalisis Teknologi dan Komunikasi, Muda Muhammad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN