“Beli santan sekotak saja. Harga tak sampai RM6. Keluar-keluar, dekat kereta sudah ada saman, RM50. Tak berbaloi langsung.
“Hendak parking mana? Semua penuh. Tempat letak kereta tak banyak. Letaklah kejap di tepi jalan. Laju saja penguat kuasa buat kerja walhal masuk pasar raya itu tidak sampai pun 10 minit,” cerita seorang kawan dalam grup WhatsApp.
Tambahnya, yang memburukkan lagi keadaan terdapat kereta rosak atau buruk diletakkan di kawasan parkir di situ, dengan kertas saman ‘berkepuk’ di cermin depan kereta berkenaan.
Sudahlah parkir terhad, dijadikan pula transit pelupusan kereta buruk pula.
Realitinya di Kuala Lumpur ini, memang susah mencari tempat letak kereta. Buatlah aplikasi apa pun dan meminta orang ramai memuat turunnya, kalau tidak banyak kawasan parkir, akhirnya pengguna tetap menghadap kertas saman juga.
Bukan sahaja di Kuala Lumpur, di sekitar Lembah Klang juga begitu terutamanya di Petaling Jaya dan Subang.
Itu belum masuk cerita perangai menunggu orang yang hendak keluar dari tempat parkir. Siap berborak atau melayan telefon dulu, baru terkial-kial keluar sedangkan dia nampak ada kereta menunggu untuk masuk dan di belakang kereta yang menunggu itu pula bersusun kereta lain mahu jalan.
Kalau hendak pergi ke hospital pula, peritnya mencari tempat parkir lagilah berganda. Lebih baik guna khidmat e-hailing atau jika bukan kecemasan, naik pengangkutan awam saja.
Entah bila masalah parkir di hospital kerajaan dan swasta ini boleh selesai. Yang sakit bertambah sakit. Bila sudah masuk ke hospital kena menunggu lama pula untuk rawatan.
Jadi, berapa keping kertas saman warga kota atau orang yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang kumpul untuk setiap bulan? Berapa pula peruntukan gaji sebulan untuk membayar parkir dan saman?
Kadar kompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kategori motosikal adalah sebanyak RM30 bagi tempoh bayaran satu hingga 15 hari, RM50 (16 hingga 30 hari) dan RM80 (31 hingga 60 hari).
Bagi kategori kereta, kompaun sebanyak RM50 dikenakan bagi tempoh bayaran satu hingga 15 hari, RM80 (16 hingga 30 hari) dan RM100 (31 hingga 60 hari) manakala kenderaan berat, kadar kompaun adalah sebanyak RM200 bagi tempoh bayaran satu hingga 15 hari. RM250 bagi tempoh 16 hingga 30 hari dan RM300 bagi tempoh 31 hingga 60 hari.
Ada yang sudah dipanggil ke mahkamah dan membayar saman itu tetapi tetap mengulangi kesalahan yang sama. Bukan sebab degil atau saja-saja mahu langgar undang-undang lalu lintas.
Sebabnya, tiada ruang yang banyak untuk parkir ‘halal’ di sekeliling. Kalau ada pun, harganya mahal macam meletak kenderaan di hotel. Ada yang mencecah RM20 sepanjang masa bekerja.
Mengapa harga parkir dalam bangunan semakin mahal? Dan parkir terbuka pun begitu juga. Sedangkan suasana dalam parkir itu ada yang agak menyeramkan, sunyi, gelap, tidak diselenggara dengan baik dan tiada pengawal keselamatan.
Ada juga pusat beli-belah yang ‘lengang’ tetapi sekali masuk saja, kadar letak kenderaannya RM10. Macam mana orang ramai mahu berkunjung ke situ, jika harga letak kenderaan mahal.
Dalam pada itu, bangunan komersial pejabat yang juga kekurangan parkir dan kadar letak kenderaan berharga ‘kayangan’ yang menyebabkan pekerja-pekerja terpaksa mencari tempat letak kereta berjam-jam lamanya dan ada yang subuh-subuh lagi sudah keluar untuk berebut tempat letak kenderaan.
Yang letak kereta pada kawasan larangan pula akan berlari-berlari mengalihkan kereta apabila mendapat ‘Info’ bahawa ada penguat kuasa PBT sedang meronda. Kesimpulannya, tak senang duduklah dan tak tenang ketika bekerja.
Ini adalah masalah biasa yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Lembah Klang yang seperti tiada jalan selesai. Hadap sajalah.
Janganlah pihak berkuasa atau menteri sekadar beri nasihat atau saranan naik kenderaan awamlah pergi kerja. Itu sajakah jalan selesai? Orang ramai beli kereta untuk kemudahan urusan harian bukan letak saja di rumah.
Dalam pada itu di kondominium, pangsapuri atau flat, penghuni juga menghadapi masalah sama. Terpaksa letak kereta di bahu-bahu jalan dan double parking. Lihat saja di Tasik Permaisuri dan Taman Melati. Di kondominium sekitar Sungai Besi juga begitu. Kenderaan diletakkan di bahu-bahu jalan besar sehingga mengganggu kenderaan lain keluar masuk.
Ada pemaju yang hanya menyediakan satu unit parkir saja untuk penghuni. Boleh sewa di tempat letak kereta komersial tapi harganya antara RM300 hingga RM400 sebulan. Penghuni pula ada lebih daripada satu atau dua kenderaan.
Sepatutnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memantau keadaan ini. Saya fikir tentulah penghuni tidak saja-saja mahu merisikokan kenderaan mereka untuk dilanggar atau disaman. Ada pemaju hartanah semasa menjual rumah menjanjikan macam-macam tetapi apabila rumah sudah siap dan kunci sudah diserahkan, penghuni terpaksa bayar dengan harga lebih tinggi lagi untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan asas seperti tempat letak kereta tambahan.
Masalah parkir di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang bukan isu baru. Sudah berzaman. Yang pastinya, kita tidak boleh menahan orang ramai untuk membeli kenderaan, ini adalah keperluan asas bukan lagi barangan mewah.
Pihak PBT perlu ada perancangan strategik untuk kemudahan letak kereta di setiap kawasan yang hendak dibangunkan terutamanya di tempat tumpuan awam termasuk di jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Imigresen.
Kerjasama dengan pihak pemaju hartanah dalam menyediakan kemudahan ini haruslah ditekankan selain mengawal kadar letak kereta yang tidak masuk akal.
Menyaman saja dan mengharapkan kesedaran dan datangnya keinsafan pengguna jalan raya, ia tidak betul-betul menyelesaikan masalah kekurangan parkir. Kertas saman sudah berkepuk, kereta hendak letak di mana lagi? – MINGGUAN MALAYSIA