Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyeru ahli-ahli politik untuk berhenti politikkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP adalah satu-satunya tempat untuk rakyat marhaen carum dan simpan untuk mereka gunakan pada masa depan mereka selepas mereka bersara sekitar umur 60. Ahli-ahli politik harus berhenti politikkan mengenainya dan berhenti memberi naratif yang tidak tepat kepada rakyat.
KWSP telah mengeluarkan banyak data mengenai amaun yang disimpan oleh golongan pekerja.
Satu laporan yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada 2024 menyatakan bahawa lebih 90 peratus pencarum KWSP kurang daripada umur 30 tidak akan mencapai kadar asas yang diperlukan untuk bersara pada masa hadapan iaitu RM240,000.
Tambahan, Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai sebuah “negara menua”, ataupun sudah memasuki masyarakat penuaan pada masa ini, dengan lebih tujuh peratus daripada lebih 34 juta orang penduduk berumur lebih 65 tahun.
Apa yang boleh kita nampak adalah kerajaan kita langsung tidak mempunyai dasar yang konkrit untuk menangani cabaran.
Pembangkang di Parlimen pula tidak ada idea untuk menangani situasi ini selain daripada mainkan isu pengeluaran KWSP.
PSM mengenali cabaran warga emas yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan selepas bersara dan yang terpaksa sama terus bekerja walaupun kesihatan badan fizikal tidak mengizinkannya berbuat demikian.
Sebab itulah, PSM telah berkempen dan memberi memorandum kepada kerajaan untuk melaksanakan Pencen Warga Emas Sejagat.
Sebagai permulaan, skim cadangan ini akan membayar RM500 sebulan kepada warga emas yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan, pencen PERKESO, pencen swasta atau pendapatan bulanan tetap daripada hartanah.
Pengeluaran KWSP untuk menghadapi isu-isu seperti rumah dilelong dan kos rawatan hospital jelas menunjukkan isu struktural neoliberalisme di mana rakyat biasa terpaksa korbankan duit persaraan mereka untuk menyelesaikan masalah-masalah asas mereka.
Cadangan pengeluaran KWSP oleh Wan Saiful disebabkan pernah berjumpa dengan pekerja pencuci pinggan di sebuah kedai makan yang sebenarnya mempunyai wang sebanyak RM1.3 juta dalam akaun KWSP adalah satu cadangan yang malas berdasarkan situasi yang sukar untuk dikaitkan atau difahami oleh marhaen di negara ini.
Ahli-ahli Parlimen yang mendapat elaun lebih RM20,000 harus meluangkan lebih masa untuk berfikir dan memberi cadangan yang bernas untuk bagaimana kita boleh mengendalikan isu-isu asas yang dihadapi oleh rakyat biasa.
Gandipan
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia