Komitmen menteri dalam membendung rasuah - Utusan Malaysia

Komitmen menteri dalam membendung rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2024, dengan skor 50 mata. Kedudukan terbaharu itu diperoleh hasil daripada sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Walaupun Malaysia kekal di kedudukan seperti tahun lalu dan memperoleh skor sama, kerajaan perlu menyedari negara mempunyai visi untuk mencapai kedudukan antara 25 negara teratas di dunia menjelang 2033.

Ini bermakna Malaysia perlu memperoleh skor 68 hingga 70 daripada 100 mata untuk mencapai sasaran berkenaan. Antara negara paling teratas adalah Denmark, Finland dan Singapura masing-masing memperoleh skor 90 mata, 88 mata serta 84 mata.

Tiada negara mendapat 100 peratus mata. Ini bermakna rasuah dan masalah tatakelola masih ada di ketiga-tiga negara berkenaan, cuma tidak serius.

Jika kita tinjau kedudukan skor pada 2012 sehingga 2014 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), skor negara naik tiga mata berada diskor 53 dan ranking 50, tetapi jatuh balik lima mata dari 2015 hingga 2018 disebabkan isu 1MDB.

Apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengambil alih pentadbiran, skor bagi 2019 hingga 2020 naik sebanyak tujuh mata tetapi jatuh balik dua mata pada 2020 hingga 2021 ketika Perikatan Nasional (PN).

Pada 2022 ketika pentadbiran BN bersama PN, skor jatuh satu mata, tetapi naik tiga mata dalam CPI 2023 dengan naik empat anak tangga. Ini mungkin disebabkan Akta Anti-Lompat Parti diluluskan serta kerjasama semua parti politik. Pada CPI 2024 diumumkan baru-baru ini, Malaysia mengekalkan skor dan ranking pada tahun lalu.

Justeru, untuk meningkatkan kedudukan dan skor Malaysia, kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan Akta Pendanaan Politik kerana antara faktor diambil kira adalah bersabit politik wang yang turut menjejaskan imej ahli-ahli politik dalam kalangan masyarakat.

Sebenarnya, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik sudah ditubuhkan pada 2015 yang dianggotai pakar, malah draf berkaitan sudah disediakan.

Bagaimanapun, usaha merealisasikannya sering mengalami halangan membabitkan keazaman politik termasuk pada 2019, iaitu di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila akta berkenaan tidak juga dapat direalisasikan seperti dijanjikan.

Di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik sudah pun dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, justeru ia wajar dipercepatkan untuk direalisasikan.

Selain itu, langkah mewajibkan anggota pentadbiran seperti menteri dan timbalannya membuat pengisytiharan harta juga perlu dibuat secara telus.

Pada 2020, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd.Jamil menyatakan pihaknya hanya menyimpan senarai maklumat pengisytiharan harta sahaja dan tidak boleh mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran tidak berbuat demikian kerana tidak ada undang-undang mewajibkannya.

Oleh itu, kerajaan perlu melihat kembali isu ini termasuk mewajibkan mereka membuat pengisytiharan harta secara berkala dan berkuasa untuk menyiasat sekiranya ada keraguan atau kemusykilan terhadap maklumat diisytiharkan.

Kerajaan juga perlu melihat kebebasan bersuara dan media, termasuk penubuhan Majlis Media Malaysia untuk memberi keyakinan kepada elit ekonomi yang menjadi responden CPI.
Hakikatnya, ketika Anwar memberikan ucapan pertama sebagai Perdana Menteri, beliau memberi tekanan kepada kos sara hidup, isu ekonomi dan usaha membanteras rasuah yang sebenarnya kurang diberi penekanan dalam pentadbiran yang lalu.

Bagaimanapun, komitmen antirasuah ditegaskan Anwar itu masih dilihat kurang diberi penekanan dalam kalangan menteri. Dalam hal ini, jemaah menteri perlu meningkatkan komitmen supaya senada dengan Perdana Menteri dalam usaha membanteras rasuah. Satu perkara dibanggakan ialah keprihatinan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar terhadap isu tatakelola.

Beliau dengan serius memberikan penekanan kepada usaha menambah baik dan memperkukuh integriti serta tadbir urus kerajaan. Beliau juga menerajui Pasukan Petugas Khas CPI yang bertujuan memperbaiki CPI dan tadbir urus baik serta lebih sistematik.

Realitinya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh negara untuk mendaki 25 lagi anak tangga CPI seperti disasarkan. Bagaimanapun, ia tidak mustahil kerana pada tahun 2019 hingga 2020, skor CPI kita meningkat tujuh mata (atau 10 anak tangga).

Namun, usaha ini hanya akan dapat dicapai melalui kerjasama berterusan semua pihak termasuk ahli-ahli politik serta iltizam politik yang ikhlas, sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), manakala setiap anggota masyarakat tidak boleh terlibat sama ada dalam memberi atau menerima rasuah.

Prof. Datuk Seri Dr. Akhbar Satar ialah Presiden Pertubuhan Integriti dan Governans Malaysia (MIG).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya