Hentikan intimidasi polis terhadap aktivis, penganjur perhimpunan Rakyat Benci Rasuah

Hentikan intimidasi polis terhadap aktivis, penganjur perhimpunan Rakyat Benci Rasuah

rasuah
ORANG ramai berkumpul semasa Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang berlangsung di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kami mengecam tindakan intimidasi pihak polis terhadap penganjur perhimpunan anti-rasuah “Rakyat Benci Rasuah” yang dipimpin para belia pada 25 Januari 2025 di Kuala Lumpur. Adakah kerajaan berniat untuk mendiamkan golongan muda yang lantang menentang rasuah?

Rasuah adalah masalah sistemik besar politik Malaysia, dan golongan belia amat kecewa dengan usaha pembasmian rasuah di bawah pentadbiran kerajaan Madani. Antara isu-isu yang membingungkan ialah pelantikan beberapa individu tertentu yang masih dibelenggu dengan tuduhan rasuah ke jawatan penting negara.

Perhimpunan ini melambangkan semangat golongan belia yang berniat membangunkan negara, sama seperti protes yang pernah dianjurkan oleh Perdana Menteri sebelum ini dan rakan seperjuangan beliau semasa era Pakatan Rakyat dan Reformasi. Tetapi, mengapa perhimpunan kali ini menghadapi bantahan dan ugutan daripada pihak berkuasa?

Tindakan ini akan menghalang rakyat Malaysia menjalankan hak sivil mereka untuk lantang bersuara menentang ketidakadilan. Kami juga ingin mengkritik layanan dua darjat oleh pihak berkuasa: penganjur “Rakyat Benci Rasuah” disoal siasat tetapi penganjur perhimpunan solidariti Najib tidak hadapi masalah ini! 

Kami bersolidariti dengan penganjur yang disoal siasat serta menyeru kerajaan untuk menegakkan hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Kerajaan mesti melaksanakan reformasi yang dijanjikan dengan memerangi rasuah dan menegakkan hak sivil rakyat, termasuk menamatkan ugutan polis terhadap peserta perhimpunan aman.

Akhir sekali, kami juga menyeru kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Sebagai para pemimpin masa depan negara, golongan belia mesti bebas menyertai aktiviti politik dan penganjuran akar umbi. Untuk membentuk masyarakat yang progresif, kita perlu memupuk rakyat yang berani dan berpengetahuan terlebih dahulu.

Cheong Huei Ting

AJK Pemuda Sosialis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya