BARU-BARU ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, orang ramai dibenarkan mengambil gambar dan merakam video mana-mana individu yang merokok di premis makanan atau kawasan yang tidak dibenarkan. Gambar tersebut kemudiannya boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan selanjutnya.
“Orang awam yang jumpa penghisap rokok di kawasan tidak dibenarkan termasuk restoran atau kedai makan, boleh ambil gambar dan rekod video kemudian lapor kepada pejabat kesihatan daerah,” kata Exco tersebut.
Bagaimanapun, ramai bertanyakan adakah tindakan ini bertepatan dengan undang undang? Sebelum itu, haruslah kita melihat peruntukan undang undang yang melarang seseorang itu merokok di tempat tertentu terutamanya di tempat awam dan telah diwartakan di bawah Seksyen 17 sebagai tempat larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)
Terdapat 28 tempat yang diwartakan sebagai larangan merokok, antaranya, pusat hiburan atau teater (kecuali kasino), kawasan hospital atau klinik, lif, tandas awam, tempat makan, kedai berhawa dingin, premis kerajaan, bangunan Parlimen, kaunter perkhidmatan awam dan pusat beli-belah.
Dalam menjalankan penguatkuasaan hanya pegawai yang diberikan kuasa dibenarkan untuk menjalankan penguatkuasaan.
Seksyen 26 Akta di atas ada memberikan penerangan sebagai mana di bawah ini:
Pelantikan pegawai diberi kuasa
(1) Menteri boleh melantik seberapa ramai pegawai diberi kuasa sebagaimana yang difikirkan perlu bagi maksud Akta ini.
(2) Mana-mana pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah subseksyen (1) hendaklah dikeluarkan suatu perakuan pemberian kuasa yang dalam apa-apa prosiding undang-undang di bawah Akta ini, boleh diterima dalam keterangan sebagai bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan dalam perakuan itu.
Kuasa penyiasatan
Seseorang pegawai diberi kuasa hendaklah mempunyai kuasa seorang pegawai polis yang apa jua pun pangkatnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah berhubung dengan penyiasatan, dan kuasa itu hendaklah sebagai tambahan kepada kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta ini dan bukannya pengurangan. Ini termasuk kuasa untuk meminta pengenalan diri sebagaimna di bawah Akta Polis 1967.
Kuasa untuk memasuki premis
Sekiranya pegawai diberi kuasa percaya bahawa mana-mana premis digunakan bagi maksud pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok atau apa-apa produk tembakau, pegawai itu boleh memasuki mana-mana premis itu pada bila-bila masa munasabah bagi maksud—
Memeriksa apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau, peranti merokok atau apa-apa produk tembakau atau peranti merokok tiruan;
memeriksa apa-apa barang atau kelengkapan yang pegawai diberi kuasa percaya digunakan atau boleh digunakan bagi semua perkara di atas.
mengumpul apa-apa
sampel.
memeriksa dan menyita dokumen yang dijumpai yang pegawai percaya ia mengandungi maklumat berhubung dengan produk tembakau, peranti merokok atau produk tembakau.
Banyak lagi kuasa pegawai yang diberi kuasa ini termasuk kuasa menyita namun dalam rencana ini kita hanya membincangkan kuasa berkaitan kesalahan merokok di tempat awam.
Apabila kita kembali kepada persoalan sama ada orang awam boleh merakam gambar atau video bagi tujuan menghantar kepada pihak yang berkuasa, nyata tiada peruntukan bagi orang awam untuk melibatkan diri di dalam siasatan melainkan jika seseorang itu pemberi maklumat sebagaimana di bawah Seksyen 46 yang mana perlindungan diberikan pada pemberi maklumat dan di bawah Seksyen 48 yang mana tidak dibenarkan untuk penzahirkan maklumat atas dasar kepentingan awam dan /atau menjejaskan perlindungan saksi.
Pun begitu, sekiranya gambar dan video ini digunakan sebagai keterangan di mahkamah semasa perbicaraan kelak ia harus dibuktikan sebagaimana Akta Keterangan kerana ia adalah dikategorikan sebagai dokumen. Sebagai dokumen ia perlu dibuktikan dengan cara memanggil individu yang membuat dokumen ini. Dokumen ini adalah dianggap sebagai dokumen persendirian dan bukan awam.
Oleh itu, adalah sukar bagi seseorang pemberi maklumat ini dapat dirahsiakan kerana terpaksa hadir memberikan keterangan berkaitan dengan dokumen tersebut.
Dalam merekodkan gambar dan video terdapat prosedur yang harus dituruti yang mana gambar-gambar atau video diambil tanpa apa-apa suntingan dan disalin mengikut prosedur yang betul.
Pengambilan gambar dan merakam video seseorang di tempat awam bukanlah dianggap salah menurut undang-undang melainkan bagi tujuan mengaibkan dan menyebarkannya dengan tujuan jahat atau fitnah.
Di dalam kes Ultra Dimension Sdn. Bhd. v Kook Wei Kuan telah memutuskan dengan mengambil gambar seseorang di tempat awam dan digunakan sebagai iklan tidak melanggar hak privasi.
Ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf hak privasi sebagai satu klausa untuk diambil tindakan, ini disebabkan Malaysia memakai prinsip common law yang mana ia tidak mengiktiraf hak privasi melainkan gambar yang diambil itu bertujuan mengaibkan atau dalam keadaan mengaibkan/memalukan individu tersebut.
Walaupun demikian tiada peruntukan undang-undang menjamin keselamatan perakam gambar atau video semasa rakaman dibuat. Perakam mungkin terdedah dengan tindak balas daripada orang yang dirakam kerana perakam bukan pegawai diberikan kuasa yang mendapat perlindungan di bawah Akta dibincangkan ini.
Setelah merakam adalah sukar untuk mendapatkan nama dan alamat individu untuk melaporkan seseorang melakukan kesalahan kerana sebagai orang awam tiada kuasa bagi mereka meminta dokumen pengenalan diri.
Maka bukanlah semudah itu bagi orang awam merakam gambar atau video tanpa garis panduan yang jelas bagi membanteras perbuatan merokok di kawasan larangan yang diwartakan selain tiada dalam peruntukan undang-undang.
Dato Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.