Berapa wang keluar untuk anak masuk sekolah? - Utusan Malaysia

Berapa wang keluar untuk anak masuk sekolah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINGGAL seminggu lagi anak-anak akan kembali masuk sekolah dan ketika ini dalam kemeriahan membawa mereka bercuti termasuk ke negara jiran, pasti ada ibu bapa yang mula tersedar mereka masih belum membeli atau tidak melengkapkan lagi barang-barang keperluan anak ke sekolah.

Apatah lagi senarai barangan itu memang banyak dan lebih ‘menyesakkan’ kepala apabila barulah ‘tersedar’ mereka telah terlebih berbelanja ketika seronok bercuti.

Masa inilah, ada yang mula gelabah. Baru teringat gaji bulan ini lambat lagi, sedangkan sekolah akan dibuka pada 16 dan 17 hari bulan ini.

Selalunya begitulah ketika bercuti, wang keluar bagaikan air paip, selagi tidak ditutup, selagi itu terus mengalir.

Sebab itu, ramai yang membuat bajet untuk bercuti dan bajet buka sekolah serta menabung untuk tujuan itu bermula awal atau pertengahan tahun lalu lagi.

Tetapi itulah, ada juga yang berkata, kalau hendak tunggu ada duit baru boleh makan angin, memang tidak dapat ke mana-manalah. Maka, dicurahkanlah semua air di tempayan, walaupun air di tempayan sebenarnya tidaklah banyak mana. Ada yang hampir kering.

Saya rasa cara pemikiran begini akan membuatkan mereka akhirnya benar-benar ‘makan angin’ kerana terpaksa mencatu makan, menjelang sesi persekolahan baru nanti.

Hakikatnya, tiada cara lain untuk menyediakan semua ini kecuali menyimpan, melainkan jika tergolong dalam kategori T20 atau ‘maha kaya’. Lagi pun, sesi persekolahan baru anak-anak, ibu bapa sudah hadap setiap tahun, maka sepatutnya sudah tahu keperitannya jika tidak bersedia awal daripada segi kewangan.

Berapa kos yang perlu disediakan untuk ke sekolah bagi seorang anak yang bersekolah rendah dan seorang anak bersekolah menengah?

Itu belum masuk lagi bagi yang pertama kali melangkah ke sekolah berasrama penuh. Perbelanjaannya tentu lebih tinggi lagi.

Dan bagi yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah tentulah wajib menyimpan duit sekurang-kurangnya enam bulan sebelum sesi persekolahan baru dibuka.

Pada masa sama, ibu bapa tentunya tidak boleh mengharapkan semata-mata kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP). Bantuan yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun 2012 itu hanya bersifat meringankan sedikit beban.

BAP bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi 2024/2025 telah diagih bermula 13 Januari lalu.

Pada masa sama, agihan BAP bagi murid Tingkatan 6 semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan bermula 16 Februari ini. Agihan kepada murid Tingkatan 6 baharu pula akan dilaksanakan bermula 1 Julai 2025.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP yang berjumlah RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid di negara ini.

Pada saya, sekurang-kurangnya BAP ini dapat menampung membeli buku atau peralatan tulis.

Seorang rakan memberitahu, dia memperuntukkan RM400 untuk membeli pakaian seragam seorang anak, itu belum masuk lagi kasut, buku latihan dan peralatan tulis.

Baju seragam sekolah lain, sekolah agama pula lain yang setiap pakaian seragam itu dibeli dua pasang.

Beg sekolah pula, kena pilih yang tahan lasak yang boleh menampung buku yang banyak. Isu beg berat masih belum habis lagi. Sekurang-kurangnya RM40 hingga RM50 untuk sebuah beg.

Cakap pasal beg sekolah ini, teringat saya cerita yang tular dalam media sosial beberapa tahun dulu tentang seorang anak yang malu tidak ada beg Smiggle kerana kawan-kawannya yang membawa beg berjenama harganya beratus ringgit itu tidak mahu berkawan dengannya.

Pada saya, anak juga perlu diajar tentang tahan lasak dan ‘tahan diasak’, tahu kemampuan ibu bapa dan ibu bapa jangan terlalu menuruti segala kehendak mereka kerana yang penting adalah belajar bukan menunjuk-nunjuk siapa lebih mewah.

Pada masa sama, ibu bapa yang berkemampuan juga, janganlah anak itu kecil-kecil lagi sudah diajar mereka bersikap ‘antara dua darjat’. Riak tidak tentu hala.

Berbalik pasal kelengkapan sekolah, kawan saya itu memberitahu, dia membelinya sedikit demi sedikit bermula gaji November tahun lalu lagi.

“Memang banyak yang perlu dibeli, baju sukan pun dua pasang juga.Baju kokurikulum. Kalau tidak menyimpan duit bagi golongan yang berpendapatan rendah, memang peritlah. Lainlah orang kaya, silap-silap ada yang buat pinjaman peribadi atau keluarkan wang ASB,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, kena juga ketepikan wang untuk van atau bas sekolah. Jadi, boleh atau tidak menyimpan wang, ia terpaksa juga dilakukan kerana kalau tiada perancangan kewangan yang dibuat awal, ia akan betul-betul membebankan ibu bapa.

Dan jangan lupa, pada masa sama, kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Puasa dan hari raya akan disambut awal dan akhir bulan depan. Ada juga yang sudah membuat persediaan awal, membeli sedikit-sedikit setiap bulan dan mengumpul duit untuk balik ke kampung.

Ini semua adalah cabaran kepada semua ibu bapa terutamanya golongan B40 dan M40 dalam menguruskan perbelanjaan keluarga.

Dan harga barang-barang keperluan untuk ke sekolah termasuk hari raya mana pernah turun setiap tahun malah kian mahal mengikut peredaran masa.

Hal-hal kewangan adalah isu besar yang harus ditangani sendiri oleh ibu bapa. Menunggu bantuan dan merungut saja dalam media sosial tidak dapat membuatkan anak-anak melangkah selesa ke sekolah.
Yang diharapkan selalunya tidak boleh harap. Hujung-hujung ibu bapa yang kena beringat, hadap dan cari jalan selesainya sendiri.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya