Apabila golongan membaca adalah minoriti - Utusan Malaysia

Apabila golongan membaca adalah minoriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Manusia terbahagi kepada dua golongan, iaitu yang suka membaca dan yang tidak. Mereka yang membaca rencana dan akhbar ini pastinya datang daripada golongan yang pertama itu. Namun begitu, golongan suka membaca tidaklah lebih mulia daripada yang lain. Kemuliaan terletak pada penguasaan ilmu dan pengamalannya dalam kehidupan seseorang.

Golongan yang suka membaca itu membaca bukan saja buku, majalah dan akhbar tetapi juga e-book, blog, artikel-artikel dalam Internet. Melalui media sosial, mereka tidak ada masalah untuk membaca tulisan-tulisan panjang dalam Facebook atau rencana yang dipautkan melalui X (Twitter).

Membaca adalah satu cara untuk mendapatkan ilmu, pengetahuan dan hiburan. Ia didorong oleh rasa ingin tahu dan minda yang mahu dicabar oleh fikiran baharu. Namun begitu, ia hanya salah satu kaedah daripada banyak cara.

Kaedah lain adalah seperti mendengar syarahan dan menonton. Maka sebahagian golongan yang suka membaca turut gemar mendengar syarahan dan menonton televisyen. Melalui platform media sosial iaitu YouTube dan Tiktok, mereka juga mendengar dan menonton.

Orang yang suka menulis selalunya gemar membaca. Daripada bacaannya, mereka memperoleh buah fikiran dan bahan untuk tulisannya. Namun begitu saya pernah jumpa seorang wartawan yang menulis rencana dan buku sehingga akhir hayatnya tetapi beliau tidak suka membaca. Beliau lebih suka berjumpa orang. Daripada situlah beliau memperoleh maklumat untuk dijadikan bahan tulisannya.

Golongan suka membaca adalah minoriti. Kebanyakan manusia tidak suka membaca. Walaupun sekolah-sekolah di seluruh dunia mengajar membaca tetapi ia tidak sepenuhnya melahirkan golongan suka membaca. Kebanyakannya hanya membaca setakat keperluan pendidikan dan pekerjaannya tetapi tidak lagi membaca selepas pesaraannya.

Malah kebanyakan mereka yang bekerja dengan dunia buku seperti di kedai buku, syarikat penerbit buku dan perpustakaan terdiri daripada golongan tidak suka membaca. Mereka suka buku, kedai buku dan perpustakaan, tetapi mereka tidak suka membaca. Saya pernah jumpa editor buku yang baik tetapi tetap tidak suka membaca. Saya juga tahu seorang peniaga yang berjaya dengan memiliki rangkaian kedai buku di beberapa negara, tetapi beliau mengakui tidak gemar membaca.

Perbuatan membaca bukan suatu yang semula jadi bagi manusia. Asalnya manusia hanya berkomunikasi dengan percakapan, lukisan, nyanyian, ukiran dan tarian. Hanya kemudian barulah huruf dicipta, tulisan dibuat dan bacaan dilakukan.

Sebelum adanya tulisan, ilmu dan pengetahuan disimpan melalui hafalan. Apabila mesin cetak dicipta pembacaan menjadi luas. Di England, tabiat membaca melahirkan golongan suka membaca. Pada mulanya ia hanya berlaku di kelas atasan. Maka di rumah-rumah mereka, ada sebuah bilik untuk menyimpan dan membaca buku. Perpustakaan itu dinamakan study atau tempat mengkaji.”

Budaya membaca ini tersebar di dunia Barat. Maka mereka mampu menampung industri perbukuan yang dapat menjadikan penulis dan penerbit buku kaya raya. Budaya ini juga memberi sumbangan besar kepada keunggulan mereka dalam menerajui dunia. Tabiat membaca terletak pada cara mereka mengasuh kanak-kanak. Di Barat, ibu bapa sering membacakan buku cerita kanak-kanak sebelum mereka tidur. Tetapi amalan ini tidak tersebar ke bekas tanah-tanah jajahan mereka.

Penduduk bekas tanah-tanah jajahan ini sedar tentang kepentingan membaca. Apabila merdeka, mereka melancar kempen membanteras buta huruf. Setiap tahun mereka mengadakan kempen membaca. Namun, taraf pembacaan merekaĺ tidak sampai ke tahap seperti di Barat.

Beberapa tahun lalu, Utusan Malaysia dengan Perpustakaan Negara pernah membincangkan mengenai idea-idea baharu untuk menggalakkan pembacaan.

Pada saya, terdapat tiga jenis kanak-kanak. Pertama, ada kanak-kanak secara semula jadi minat pada buku. Kedua, kanak-kanak yang memang tidak suka buku. Tidak guna berkempen pada mereka. Sampai dewasa mereka tetap tidak suka pada buku.

Ketiga, kanak-kanak yang asalnya tidak meminati buku tetapi mempunyai potensi untuk itu. Mereka inilah yang boleh disemai untuk minat membaca. Potensi ini hanya ada semasa usia kanak-kanak. Dedahkan mereka pada buku dengan membawanya ke perpustakaan dan kedai buku. Jika terlambat, potensi ini akan hilang begitu saja.

Terdapat seorang anak saya yang asalnya tidak minat membaca. Saya tetap membawanya ke kedai buku. Pada satu hari, hatinya terbuka dan kini menjadi pembaca buku tegar walaupun dikelilingi dengan gajet.

Pada saya, kempen membaca buku hendaklah ditujukan lebih kepada ibu bapa. Walaupun antara ibu bapa itu tidak suka buku tetapi mereka tetap mahukan anaknya berminat untuk membaca buku.

Maka, oleh itu ibu bapa perlu diajak supaya membacakan buku cerita kepada anak-anak sebelum tidur.

Selain itu, ibu bapa hendaklah digalakkan membawa anak-anak mereka ke perpustakaan dan kedai-kedai buku walaupun hanya untuk melihat-lihat. Secara bertubi-tubi akhirnya bukan saja anak itu akan meminati buku, tetapi juga ibu bapanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya