Adakah dasar Trump akan kurangkan ancaman pemanasan global dunia? - Utusan Malaysia

Adakah dasar Trump akan kurangkan ancaman pemanasan global dunia?

DONALD Trump mahu membangunkan semula industri ala-Amerika. California tidak terkecuali dalam dasar industrinya. – Agensi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan akhirnya berjaya mengurangkan kebakaran besar yang melanda Selatan California, Amerika Syarikat (AS). Selatan California, yang merangkumi daerah Los Angeles dan San Diego, telah mengalami dua siri kebakaran besar dalam tempoh tiga minggu.

Kebakaran pertama yang dikenali sebagai Kebakaran Besar Palisades dan Eaton manakala kebakaran besar kedua pula dikenali sebagai Hughes kerana ia berlaku di daerah tersebut.

Kebakaran besar ini mendapat liputan meluas media massa AS yang menyamakannya dengan keadaan kiamat. Liputan meluas disebabkan oleh kebanyakan rumah yang musnah berada di pinggir bandar Los Angeles – Palisades dan Eaton – yang kebanyakannya didiami oleh golongan elit berpengaruh dan bintang Hollywood terkemuka.

Liputan dan sentimen media AS malah melebihi isu Palestin yang ternyata kurang mendapat simpati dalam kalangan masyarakat di sana. Apabila pelakon veteran terkenal, Jamie Lee Curtis menyamakan kebakaran hutan yang melanda kawasan Los Angeles dengan perang yang sedang berlaku di Gaza, beliau dikecam hebat oleh netizen AS.

Cuaca kering dan kemarau yang panjang dipersalahkan sebagai punca utama kebakaran walaupun AS seperti negara lain di hemisfera utara masih lagi berada dalam musim sejuk. Angin kencang yang melanda juga dikatakan penyebab kepada keadaan yang tidak terkawal.

Dilaporkan hampir 95 peratus kawasan yang terbakar dapat dikawal dengan bantuan hujan. Lebih 4,000 hektar kawasan kediaman musnah dengan lebih 50,000 penduduk terpaksa berpindah di kawasan lebih selamat. Lebih 50 orang dilaporkan mati ataupun hilang.

Kebakaran ini dikatakan sebagai salah satu bencana alam yang dialami oleh Selatan California setiap kali musim kering melanda. Ini bukanlah pertama kali Selatan California mengalami kebakaran hutan tetapi apa yang menjadikannya satu isu besar adalah kerana ia melibatkan kawasan kediaman elit yang luas dan nilai kemusnahan yang sangat besar.

Selatan California juga berhadapan dengan ancaman gempa bumi. Kali terakhir gempa yang berlaku melebihi gegaran 5.0 Skala Richter adalah pada Julai 2024.

Adakah yang dialami oleh Selatan California ini satu bencana alam ataupun satu sumpahan kepada penduduk negeri ini?

Dalam perdebatan politik antarabangsa, kemusnahan alam sedemikian rupa sering dikaitkan dengan ancaman kepada keselamatan alam sekitar. Pemanasan Global menyebabkan corak cuaca dunia menjadi semakin tidak menentu. Eropah mengalami cuaca sejuk luar biasa pada tahun ini, manakala pada 2024, suhu dunia telah memanas secara purata kepada 1.5 darjah Celsius.

Perbuatan manusia sebenarnya telah memusnahkan ekosistem dunia dan menyumbang kepada pemanasan global. Strategi dan dasar pembangunan secara mampan gagal dilaksanakan dengan kemusnahan alam yang semakin meluas.

Para saintis dan perancang bandar di Selatan California telah lama memberi amaran pemerintah California kesan besar alam sekitar akibat daripada pembinaan kawasan penduduk pinggir bandar yang dekat dengan tanah tinggi dan hutan.

Pembangunan tanpa kawalan boleh menyebabkan kawasan perumahan terdedah kepada hakisan, gegaran gempa bumi dan ancaman kebakaran hutan yang sering melanda negeri tersebut. Tetapi oleh kerana kawasan yang dibangunkan adalah kawasan elit, maka amaran itu tidak diendahkan. Oleh itu, apa yang berlaku mungkin juga satu sumpahan alam kepada Selatan California akibat kerakusan pembangunan tanpa kawalan.

Dunia sebenarnya telah mula bergerak kepada pengawalan pemanasan global akibat daripada kesan gas hijau (GHG). Protokol Kyoto 1997, salah satu inisiatif yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah langkah utama bagi mengurangkan ancaman pemanasan global.

Kesinambungan inisiatif tersebut dilanjutkan dengan siri Conference of Parties (COP), yang juga dikenali sebagai Konvensyen Kerangka PBB untuk Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change) atau UNFCCC yang diadakan setiap tahun. Konvensyen COP yang terakhir diadakan di Baku, Azerbaijan pada 2024, manakala COP ke 30 pada tahun ini akan diadakan di Belém do Pará, Brazil.

Bagi saya, COP adalah perundingan dan penyemakan komitmen antara negara industri yang kaya dan negara membangun dalam pengawalan pemanasan global. PBB menyasarkan pada akhir abad ini, pelepasan karbon (carbon emission) dapat dikurangkan dan had pemanasan di global disasarkan kepada kenaikan 1.5 darjah Celsius.

Sasaran pengurangan pelepasan karbon ini, yang dinyatakan komitmennya pada COP 21 di Paris pada 2015, adalah memastikan dunia bergerak kepada peralihan tenaga (energy transition) yang lebih efisien menjelang 2030.

Yang malangnya, adalah jurang komitmen semakin membesar akibat daripada persaingan kuasa besar dan kebimbangan negara membangun terhadap impak kepada ekonomi mereka. Negara pengeluar sumber karbon utama dunia seperti Arab Saudi dan Iraq gagal menyatakan komitmen mereka sebelum ini dalam COP 29 di Baku tahun lalu.

Pengurangan sumber karbon seperti minyak dan gas akan memberi kesan kepada pembangunan dua negara ini. Arab Saudi memerlukan dana yang banyak untuk membangunkan beberapa projek mega mereka manakala Iraq memerlukan dana pembangunan pasca perang.

AS dan China adalah dua negara utama dalam pelepasan karbon dunia. Apa yang dibimbangkan pelantikan Donald Trump kali kedua ini akan memberi kesan kepada komitmen AS kepada peralihan tenaga. Di dalam pentadbirannya sebelum ini, Trump jelas menolak sebarang usaha tersebut demi untuk membangunkan industri utama negara. Beliau juga sering menuding jari kepada China sebagai negara yang bertanggungjawab dalam pemanasan global

Negara maju juga harus menyumbang kepada Tabung Pengurangan Pemanasan Global COP. Bagi AS, AS$300 bilion setahun merupakan jumlah terbeban yang terpaksa dikongsi oleh negara maju untuk tabung itu. Dengan dasar pro-industri Trump peranan AS dalam COP boleh menyebabkan komitmen dunia kepada pemanasan global terancam. Trump mahu membangunkan semula industri ala-Amerika. California tidak terkecuali dalam dasar industrinya.

Selatan California adalah antara pusat industri utama AS. Peningkatan pengindustrian di kawasan ini akan juga meningkatkan keperluan tenaga. Secara tidak langsung, pembinaan kawasan perumahan pinggir bandar diperlukan. Natijahnya akan banyak lagi kawasan hutan ditarah yang boleh memburukan lagi ekosistem alam.

Kamarulnizam Abdullah ialah Felo, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya