SUDAH beberapa kali dalam tahun ini yang baru saja masuk tidak sampai dua minggu, saya berdepan lagi dengan pemandu yang tidak tahu beri signal (isyarat). Ini memang biasa, tetapi kebiasaan sebegini sepatutnya tidak dibiasakan.
Maknanya, tahun baharu, yang baru saja bukan main seronok lagi orang ramai melihat percikan bunga api ketika sambutannya, tetapi selepas itu cerita dan perangai tetap sama.
Ini sudah tahun 2025, tetapi ramai pemandu kenderaan atau penunggang motosikal tetap hanya dengan memasang ‘niat’ di dalam hati ketika mahu masuk simpang, menukar laluan atau lorong.
Agaknya sesuatu yang bagaikan susah untuk diubah atau berubah di dunia ini adalah apabila berada di jalan raya?
Mungkin juga, jalan rayalah adalah tempat terpilih untuk menunjukkan sikap yang menyusahkan dan membahayakan orang lain, dengan muka selamba dan tidak mengaku bersalah.
Begitulah kebanyakannya, apabila tiba awal tahun, timbul macam-macam azam untuk memperbaiki sikap, memajukan diri dan kehidupan selain mahu melihat dunia ini aman tetapi apabila masuk bab di jalan raya tidak banyak usaha yang boleh dilakukan.
Yang heboh di media sosial kononnya macam dia saja seorang pencinta keamanan dunia, tetapi bila berada di jalan raya mengundang pula kemarahan dan membahayakan nyawa orang lain.
Agaknya juga sebab itu, kita jarang mendengar orang berazam untuk memandu dengan baik di jalan raya setiap kali tibanya tahun baharu. Sebaliknya, sikap memandu yang buruk di jalan raya itu tetap dibawa bersama bertahun-tahun lamanya, bagaikan terlalu sayang untuk dibuang.
Alangkah baiknya, selain mahu menyimpan duit atau mahu kurus, bersikap baik ketika memandu atau menunggang motosikal menjadi satu keazaman.
Kalau ini dapat dijadikan azam oleh setiap pengguna jalan raya, ia sedikit sebanyak akan mengurangkan kemalangan dan mungkin membantu mengurangkan juga kesesakan jalan raya.
Cerita yang sama, isu dan perangai lama yang suka sangat dibawa ke tahun-tahun depan di jalan raya antaranya – masuk simpang sesuka hati, bagi signal lambat yang membuatkan kenderaan belakang brek mengejut, bagi signal tetapi terus masuk, makan angin di lorong paling kanan dan memandu sambil melayan telefon pintar.
Dan selalunya juga, apabila kita sudah bagi isyarat lampu untuk masuk simpang atau lorong, bukan main laju lagi kenderaan di laluan bertentangan atau belakang menekan minyak tidak membenarkan kenderaan kita masuk, walhal sebelum kita bagi signal kenderaannya dipandu ikut kelajuan siput.
Ada juga yang bagi lampu kiri tetapi masuk kanan dan banyak juga bagi signal tetapi sampai ke sudah tidak masuk-masuk!
Kalau saya hendak senaraikan tabiat pemanduan yang menguji kesabaran pengguna jalan raya lain ini, memang banyak. Anda juga tentu ada senarai sendiri.
Dilaporkan sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Disember tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 5,984 kes kemalangan maut manakala kes kematian melibatkan 6,433 orang.
Sementara itu, 2,331 kes membabitkan kemalangan parah dan 28,511 kemalangan ringan, manakala selebihnya melibatkan kerosakan pada kenderaan.
Kalau ikut negeri pula Selangor mencatatkan jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 173,129 kes, diikuti Johor (87,370 kes) dan Kuala Lumpur (72,701 kes).
Selangor juga mencatatkan jumlah kematian paling tinggi dengan 2,092 orang, kemudian Johor (2,010) dan Perak (1,321).
Banyak punca berlakunya kemalangan, tidak kira membabitkan kematian, kecederaan atau kerosakan. Antara yang paling popular memandu laju, tidak bagi lampu signal, terus meluru ketika hendak keluar simpang, mengekori kenderaan terlalu dekat, mabuk dan menggunakan telefon ketika memandu.
Pejalan kaki yang melintas juga ada yang kurang berhati-hati dan meluru saja melintas dengan ‘kuasa’ isyarat tangan.
Baru-baru ini, seorang gadis maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai mengubah haluan tanpa memberikan signal di Kilometer 41 Jalan Seremban-Tampin.
Beberapa hari lalu tular dalam media sosial pergaduhan seorang pemandu dan penunggang motosikal di Jalan Kebun Shah Alam, akibat tidak memberi signal ketika membelok. Bagaimanapun, kedua-duanya kemudian berdamai.
Sebenarnya banyak aksi bahaya termasuk tidak memberi lampu isyarat ketika keluar simpang di serata negeri dirakamkan dan ditularkan di media sosial. Tetapi itulah, ramai yang lebih seronok memberi komen daripada memastikan diri sendiri pun tidak melakukan perbuatan yang sama.
Peningkatan kenderaan di negara ini, yang mana dikatakan jumlahnya lebih banyak daripada penduduk, tentunya mencetuskan pelbagai ragam dan sikap dalam pemanduan.
Yang patut diutamakan adalah sikap kita di jalan raya, bukan pasal penguatkuasaan undang-undang sangat kerana jika kita tidak memandu dengan cara yang membahayakan semua orang, undang-undang tidak akan menghukum kita.
Ada yang berkata, kalau kita hendak tengok orang yang betul-betul sabar, tengoklah ketika dia memandu dan kalau hendak tahu orang itu bijaksana atau tidak, juga semasa dia memandu. Begitu juga kalau mahu tengok dia betul-betul beradab atau tidak, lihat caranya memandu.
Jalan raya menjadi saksi kepada macam-macam perangai. Tetapi pastikan perangai itu tidak membawa padah kepada orang lain.
Perlu juga diingat, prinsip redah atau langgar saja dalam menjalani kehidupan jangan sesekali dibawa ke jalan raya. Ia adalah suatu keberanian yang amat tidak bijak dan menyusahkan orang lain. – Mingguan Malaysia.