UMAT Islam dituntut untuk mematuhi syariah dan sentiasa menggunakan produk dan perkhidmatan halal.
Pasaran halal global juga semakin berkembang seiring pertambahan penduduk dan permintaan produk halal termasuk dalam kalangan bukan Muslim, yang dianggarkan mencecah AS$5.0 trilion pada 2030.
Dalam kepesatan industri halal ini, isu berkaitan pemakanan halal semakin mendapat perhatian. Konsep halal merangkumi seluruh proses rantaian bekalan daripada pembekalan bahan mentah hingga penghasilan produk pengguna.
Setiap umat Islam berhak untuk memastikan bahawa apa yang mereka makan adalah bersih, suci, selamat dan berkualiti serta tidak melibatkan bahan atau proses bertentangan dengan syarak.
Namun, terdapat pelbagai isu yang timbul berhubung dengan status produk halal yang diragui kesahihannya di dalam pasaran seperti penyalahgunaan logo halal dan penggunaan istilah tertentu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim.
PEMALSUAN LOGO HALAL
Logo halal adalah simbol yang menunjukkan produk memenuhi kriteria syariah, seperti kaedah penyembelihan yang sah dan pemprosesan bahan yang dibenarkan mengikut garis panduan pensijilan halal.
Bagaimanapun, ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan logo halal palsu untuk menarik pengguna Muslim tanpa memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.
Pemalsuan logo dilakukan dengan cara licik, dengan logo palsu yang hampir serupa dengan yang sah, menjadikan pengguna sukar membezakannya.
Ada juga pengeluar yang menggunakan logo halal tanpa sijil halal yang sah daripada badan pensijilan yang diiktiraf. Akibatnya, pengguna berisiko membeli produk yang mengandungi bahan tidak halal atau diproses secara tidak halal tanpa disedari.
ISTILAH MENGELIRUKAN
Selain isu pemalsuan logo halal, penggunaan istilah pada nama, jenama atau bahan yang mengelirukan seperti ham atau bacon dalam produk halal turut menimbulkan kekeliruan. Istilah ini biasanya dikaitkan dengan daging babi yang haram dalam Islam.
Walaupun produk seperti turkey bacon atau beef ham mungkin dibuat daripada bahan halal, penggunaan istilah ini masih boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.
Istilah-istilah ini dianggap tidak sesuai kerana boleh menimbulkan salah faham mereka kepada daging babi yang jelas haram.
Kekeliruan ini boleh menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap industri makanan halal secara keseluruhan dan melanggar Seksyen 28(a) Akta Perihal Dagangan 2011 yang melarang pernyataan palsu berkaitan status halal produk.
Pengeluar makanan halal perlu lebih berhati-hati dalam memilih istilah yang digunakan, memastikan ia jelas dan selaras dengan prinsip syariah.
Istilah seperti bacon atau ham seharusnya dielakkan kecuali jika terdapat penjelasan yang jelas mengenai bahan digunakan.
Pengeluar juga disarankan untuk bekerjasama dengan badan pensijilan halal yang diiktiraf untuk memastikan produk mereka sentiasa mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan.
LANGKAH KE ARAH PENYELESAIAN
Bagi menangani masalah ini, beberapa langkah boleh disarankan untuk diambil oleh pengguna, pengeluar, dan agensi dan pihak berkuasa.
Sebagai pengguna, kita perlu memeriksa logo halal dengan teliti serta memastikan nombor pendaftaran atau kod yang mengesahkan kesahihannya.
Pengguna juga boleh merujuk aplikasi Verify Halal dan laman web rasmi Portal Halal Malaysia dari Jakim untuk memastikan status halal produk yang dibeli. Selain itu, pengguna juga boleh membaca label senarai ramuan untuk memastikan produk tersebut tidak mengandungi bahan yang diragui.
Pengguna juga disarankan memilih produk daripada pengeluar yang sudah mempunyai reputasi baik dan terkenal dalam menyediakan produk halal yang sah. Pengeluar yang sudah berpengalaman biasanya lebih berhati-hati dalam mematuhi peraturan halal.
Pengeluar pula perlu memastikan produk mereka mematuhi peraturan dan prosedur pensijilan halal yang ketat, bukan hanya dalam bahan mentah tetapi juga dalam pemprosesan bahan dan pengelolaan produk.
Penggunaan istilah mengelirukan seperti bacon, ham, hotdog, beer dan seumpamanya harus dielakkan, kecuali dengan penjelasan serta istilah yang lebih jelas tentang bahan yang digunakan.
Pengeluar juga boleh menggunakan ujian makmal yang dibangunkan di institut penyelidikan halal dan makmal berakreditasi, seperti ujian DNA atau analisis bahan kimia, untuk mengesan bahan tidak halal di dalam produk sebelum dipasarkan. Ujian ini membantu mengesan jejak bahan tidak halal seperti babi atau alkohol yang mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas di dalam produk.
Agensi seperti institut halal juga berperanan penting dalam membantu pihak pengeluar mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Institut halal boleh memberikan latihan, bimbingan, dan khidmat perundingan untuk memastikan proses pengeluaran mereka selaras dengan syariah dan syarat pensijilan.
Selain itu, penyelidikan pembangunan bahan ramuan alternatif serta teknologi kebolehkesanan dan pemantauan boleh terus diperkasa bagi menjamin integriti dan keterjaminan makanan halal.
Kerjasama yang lebih erat antara pengeluar, institut halal dan pihak berkuasa dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk halal dan mengurangkan pelanggaran tatakelola dalam industri ini.
Dengan usaha ini, industri halal negara dapat berkembang dengan lebih baik serta mengutamakan kepentingan pengguna dengan memastikan kesahihan produk halal dalam pasaran.
Dr. Yazid Yaakob ialah Ketua Laboratori, Laboratori Polisi & Pengurusan Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia (UPM).