Naib Canselor bukan macam lantik guru besar atau pengetua sekolah - Utusan Malaysia

Naib Canselor bukan macam lantik guru besar atau pengetua sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA saya memasuki Universiti Malaya pada sesi 1969-1970 Naib Canselornya ialah Dr. Ungku Aziz, seorang ahli ekonomi dan siswazah PhD daripada Universiti Waseda. Beliau ialah seorang yang berwatak serius, tetapi sentiasa senyum dan berdarah raja Johor.

Saya mengandaikan pemerintah ketika itu atau Perdana Menteri yang telah melantik beliau menggantikan Naib Canselor Inggeris.

Ketika itu rata-rata orang awam tidak mempertikaikan kriteria pelantikan Naib Canselor dan mereka tidak peduli pun. Tetapi kini apabila seorang Naib Canselor dilantik di mana-mana universiti tempatan, di media sosial penuh dengan pertanyaan.

Di kampus masing-masing juga ramai kakitangan universiti yang berkenaan telah berbincang di kantin, di kedai kopi malahan di pejabat.

Pada 1970 apabila beberapa universiti baharu ditubuhkan antara nama-nama besar yang sering disebut sebagai calon Naib Canselor ialah Dr. Rashdan Baba, Dr. Ungku Omar, Dr. Ariffin Marzuki, Arshad Ayub, Ainudin Abdul Wahid, Dr. Hamzah Sendut dan mungkin lain-lain tokoh akademik lagi. Dengan kata lain, umum adalah sangat peka terhadap pelantikan Naib Canselor.

Oleh kerana peristiwa 13 Mei 1969 baru sahaja berlalu ahli politik sering melaungkan bahawa pensyarah Melayu mesti dilantik sebagai Naib Canselor untuk menjaga kepentingan bumiputera yang ketika itu diandaikan sangat ketinggalan dalam sektor pendidikan dan ekonomi.

Secara kebetulan Dr. Hamzah Sendut telah dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Rashdan Baba dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kemudian Universiti Pertanian Malaysia.

Rata-rata orang awam tidak mempertikaikan kaedah perlantikan itu dan kriteria pelantikan tidak pernah dibahaskan.

Secara kebetulan kini saya sedang menulis suatu rencana pendek mengingati peranan arwah Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abdul Rahman dalam perkembangan sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pada 1980-an saya pernah mendengar berita di kantin bahawa arwah pernah ditawarkan jawatan Naib Canselor oleh arwah Tun Abdul Razak Hussin, ketika itu Canselor Universiti dan beliau telah menolaknya.

Alasannya, ketika itu arwah adalah tersangat muda dan mentah. Saya andaikan umur arwah dalam lewat 30-an. Jawatan akademik yang tertinggi di universiti telah ditawarkan oleh Canselor bukan dipilih oleh Menteri Pelajaran. Kini semua jawatan Naib Canselor universiti tempatan telah dilantik oleh Menteri Pendidikan Tinggi.

Saya pasti wujud suatu jawatankuasa yang dibentuk sebagai Jawatankuasa Mencari calon untuk dipersembahkan kepada Menteri. Akhirnya menteri yang mempunyai prerogatif untuk melantik calon yang sesuai.

Kini juga telah timbul suatu fenomena baru bahawa Naib Canselor universiti di beberapa negeri wajib anak watan negeri yang berkenaan.

Justeru bagi jawatan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mesti seorang profesor kelahiran Kelantan dan bagi jawatan itu di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mesti seorang profesor kelahiran Sarawak.

Maksudnya, calon itu bukan sahaja harus memuaskan kriteria Menteri Pendidikan Tinggi tetapi mungkin juga kerajaan negeri dan pihak-pihak lain yang berkepentingan negeri.

Bagi saya proses yang sebegini tidak menunjukkan ketelusan akademik bagi jawatan akademik yang tertinggi di suatu universiti.

Seorang calon Naib Canselor wajib seorang kakitangan akademik yang prestasi akademiknya tidak boleh dipersoalkan di samping kemahiran mentadbir dan mengurus sebuah institusi pendidikan dan sumber manusia yang terpelajar.

Proses ini berbeza di Amerika Syarikat, saya telah dimaklumkan bahawa Rektor atau Presiden universiti telah dilantik dalam kalangan korporat yang mahir mengurus di samping mampu mendapatkan dana kewangan bagi universiti yang tersebut dengan apa cara pun. Mereka yang dilantik biasanya tidak dipertikaikan.

Berbeza di negara kita, setiap Naib Canselor yang baru dilantik biasanya dipertikaikan serta merta bukan saja dalam media sosial bahkan juga di kantin universiti yang berkenaan.

Pada hemat saya, calon Naib Canselor harus mempunyai beberapa kritera dan antaranya adalah:
Pertama, beliau wajib seorang profesor yang keberhasilan akademiknya tinggi, bukan sahaja seorang pengajar yang hebat, penyelidik yang dihormati dan penerbit makalah akademik yang prolifik.

Kedua, beliau harus mempunyai watak dan akhlak yang murni dan disenangi kakitangan akademik dan bukan akademik.

Ketiga, beliau wajib mempunyai kemahiran dan kepakaran mengurus institusi pendidikan yang terbukti.

Keempat, beliau seharusnya tidak menunjukkan minat kepada sesuatu parti politik dan kelima, beliau dihormati oleh sektor swasta, korporat dan juga terkenal di persada antarabangsa. Para pembaca rencana ini boleh menambahkan beberapa lagi syarat dan kriteria yang tertentu dan khusus.

Bagaimanapun, ada beberapa universiti tempatan yang dikenali dengan wawasan tertentu. Contohnya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI telah memfokuskan kepada pendidikan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berwawasan untuk memperkasakan keusahawanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memfokuskan kepada pertahanan dan seterusnya.

Di sini, saya tidak menetapkan bahawa calon Naib Canselor bagi universiti tersebut wajib masing-masing terdiri daripada seorang profesor pendidikan atau profesor pedagogi, atau profesor usahawan atau perniagaan atau seorang Jeneral (B).

Yang penting, seorang calon yang memenuhi kriteria di atas dan mendapat penghormatan kakitangan akademik universiti tersebut, sekiranya calon itu kena pada bidang yang berkenaan, itu suatu bonus. Pelantikan Naib Canselor jangan disamakan dengan pelantikan guru besar atau pengetua sekolah.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad ialah bekas Dekan, Fakulti Sains dan Teknologi (2003-2004), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya