Mengenang Carter yang berusaha untuk menubuhkan negara Palestin - Utusan Malaysia

Mengenang Carter yang berusaha untuk menubuhkan negara Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika dunia meraikan gencatan senjata antara Hamas dan Israel, ada wajarnya untuk mengenang bekas presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter yang mengusahakan penubuhan negara merdeka Palestin dalam kerangka penyelesaian dua negara (two state solution). Walaupun belum tercapai, tetapi itulah jalannya.

Kini masalah itu bakal berada di tangan Donald Trump yang akan mengangkat sumpah jawatan presiden esok (20 Januari).

Beliau telah menyatakan bahawa Greenland dan Terusan Panama sewajarnya dijadikan milik Amerika. Dalam kempen pilihan raya, Trump mengecam Carter kerana beliaulah yang melepaskan terusan itu kepada Panama. Malah beliau menyifatkan Carter sebagai presiden terburuk Amerika.

Tetapi tindakan Carter itu adalah suatu yang berprinsip kerana terusan itu adalah milik Panama walaupun Amerika yang membinanya. Cadangan untuk menyerahkannya pada Panama sudah dikemukakan oleh presiden terdahulu tetapi hanya Carter yang berani melakukannya walaupun ia menjejaskan popularitinya dalam kalangan pengundi.

Malah Carter boleh dikatakan sebagai seorang presiden Amerika terbaik walaupun beliau gagal memenangi pilihan raya bagi penggal kedua. Beliau dianggap sebagai seorang yang komited terhadap perdamaian dan bersikap berperikemanusiaan. Carter menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pengeboman terhadap negara-negara asing.

Dalam kempen pilihan raya sebelum 4 November lalu, Trump banyak mengkritik Carter. Tetapi apabila beliau meninggal dunia, Trump berhenti mengata buruk terhadap beliau. Malah beliau turut hadir acara pengebumian pada 9 Januari lalu. Buat pertama kalinya lima orang yang pernah, sedang dan bakal presiden hadir dalam majlis menghormati seorang bekas presiden. Mereka adalah Bill Clinton, George W Bush, Barack Obama, Donald Trump dan Joe Biden.

Tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa beliau tidak hadir kerana menganggap Carter pro-Palestin dan anti-Israel.

Sememangnya Carter sering mengkritik Israel dan lobi Yahudi sejak beliau tidak lagi memegang jawatan presiden. Beliau menganggap Israel adalah negara apartheid kerana melakukan diskriminasi terhadap warga negaranya yang bukan orang Yahudi.

Salah satu buku yang ditulis beliau adalah Palestine: Peace not Apartheid (Palestin: Perdamaian bukan Apartheid).

Carter, berusia 100 tahun meninggal dunia pada 29 Disember lalu. Beliau ialah satu-satunya bekas presiden Amerika yang mencapai usia 100 tahun. Beliau ialah presiden Amerika Syarikat ke-39 dari tahun 1977 hingga 1981.

Semasa pemerintahan beliau, berita radio akan menyatakan “Presiden Carter berkata…”
Sebutan untuk Carter dan kata adalah sama.

Semasa pilihan raya presiden 1976, Carter mengalahkan calon Gerald Ford. Ketika itu saya berada di Tingkatan Lima dan sering pergi ke Perpustakaan Lincoln Cultural Center di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pusat itu dikendalikan oleh Kedutaan Amerika. Semasa pilihan raya presiden, pusat itu mengadakan majlis awam bagi memperkenalkan sistem politik Amerika.

Semasa kepresidennya, beliau menekankan soal perdamaian dan hak asasi manusia. Namun sebahagian besar rakyat Amerika terutama pihak Republikan melihat beliau sebagai lemah dan menjadikan Amerika lembik. Tambahan pula Demokratik yang merupakan parti Carter sering dipandang sebagai parti yang tidak tegas terhadap negara-negara asing.

Pencapaian besar Carter adalah dapat mengadakan Perjanjian Camp David yang mendamaikan Mesir dan Israel. Melalui pujukan yang bertalu-talu beliau dapat membawa Presiden Mesir, Anwar Sadat dan Perdana Menteri Menachem Begin ke meja rundingan.

Beliau juga membuat kerangka bagi penyelesaian dua negara yabg membawa kepada Tebing Barat dan Gaza ditadbir oleh pihak Palestin. Dalam kerangka itu, Palestin mempunyai hak untuk mempunyai negara sendiri.

Kegagalan Carter adalah terhadap Iran. Shah Iran adalah sekutu Amerika dan banyak melakukan pelanggaran hak asasi manusia. Akhirnya pada 1979, rakyat Iran bangkit dan kemarahan mereka bukan saja pada Shah tetapi juga Amerika, ketika itu Carter ialah presidennya.

Namun begitu, Carter menggalakkan Shah meninggalkan negaranya yang membawa kepada kejatuhan rejimnya. Amerika pula tidak memberi perlindungan padanya. Mesir yang memberi tempat pada Shah.
Apabila pelajar-pelajar Iran mengambil tebusan rakyat Amerika di kedutaannya di Teheran, Carter menghantar pasukan helikopter untuk menyelamatkan mereka tetapi operasi itu gagal dan semua helikopter itu jatuh terhempas di padang pasir.

Usaha rundingan Carter untuk membebaskan tebusan itu akhirnya berjaya tetapi pelajar Iran itu hanya membebaskannya selepas pilihan raya presiden supaya Carter dipandang gagal oleh rakyat Amerika. Dalam pilihan raya 1980, Carter kalah pada Ronald Reagan.

Apabila bersara beliau aktif melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Afrika melalui yayasannya, Carter Center. Tanpa jawatan presiden, beliau bebas bercakap dan menyuarakan pandangannya terhadap Palestin dan Israel.

Beliau hanya menjadi presiden selama empat tahun tetapi kegiatan kemanusiaannya adalah lebih lama iaitu dari 1982. Sumbangannya itu membawa kepada Hadiah Nobel bagi keamanan pada 2002. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya