Hentikan siasatan terhadap mahasiswa, ahli akademik

Hentikan siasatan terhadap mahasiswa, ahli akademik yang berani bersuara

dapsy
Ho Chi Yang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAPSY Malaysia menyeru pihak polis untuk menghormati kebebasan bersuara dan segera menghentikan siasatan terhadap empat individu yang berucap semasa sidang akhbar berkaitan isu seorang profesor yang didakwa menghantar gambar bogel kepada pelajar.

Empat individu yang disiasat oleh pihak polis adalah Presiden UM Feminism Club, Chin Jes Weng, jurucakap lulusan sarjana kajian jantina UM, S Indramalar, bendahari Majlis Perwakilan Pelajar UTAR, Wong Xiao You, dan Ahli Exco Persatuan Staf Akademik UM, Aznijar Yazid.

DAPSY menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan berhimpun adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebarang tindakan untuk menyekat atau menekan suara mahasiswa yang memperjuangkan keadilan adalah bercanggah dengan prinsip Kerajaan Perpaduan yang menjunjung kebebasan rakyat Malaysia, termasuk mahasiswa, untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Tambahan pula, siasatan terhadap mahasiswa yang bersuara di dalam kampus akan mewujudkan duluan “precedent” yang sangat bahaya kerana mengancam kebebasan akademik, sebuah prinsip asas yang menjadi tunjang kepada pembangunan ilmu dan intelektual di negara ini. Institusi pendidikan tinggi seharusnya menjadi ruang yang terbuka untuk dialog, debat, dan kritikan tanpa rasa takut, dan bukan medan intimidasi terhadap mereka yang berani menyuarakan pandangan atau membela keadilan.

Sebagai sebuah organisasi yang konsisten mendukung kebebasan bersuara, DAPSY Malaysia berdiri teguh bersama mahasiswa, akademik, dan semua pihak yang berani menegakkan keadilan dan hak asasi manusia. DAPSY percaya bahawa hanya dengan memastikan kebebasan ini dihormati, institusi pendidikan dapat menjadi ruang yang selamat dan bebas untuk semua.

Tindakan pihak polis bukan sahaja menjejaskan hak kebebasan bersuara, malah mencetuskan suasana “white terror” yang boleh menghalang mangsa dan orang ramai daripada tampil ke hadapan untuk menuntut keadilan.

Pihak polis harus memberi keutamaan kepada siasatan kes-kes jenayah yang serius, termasuk dakwaan gangguan seksual oleh profesor terbabit, dan bukannya mengalihkan perhatian kepada individu atau kumpulan yang menyuarakan kebimbangan secara aman. Tugas pihak berkuasa bukanlah untuk menekan atau menghalang kebebasan bersuara, tetapi untuk memastikan keadilan dilaksanakan dengan adil dan telus.

Oleh itu, DAPSY Malaysia menyeru pihak polis untuk segera menghentikan siasatan terhadap individu-individu yang menyuarakan isu ini demi menjunjung kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Ho Chi Yang
Setiausaha Publisiti DAPSY Malaysia merangkap ADUN Tanah Rata

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya