Sita: Memalukan tetapi cara cepat kutip hutang - Utusan Malaysia

Sita: Memalukan tetapi cara cepat kutip hutang

writ penyitaan dan penjualan adalah cara tercepat untuk mendapatkan jumlah hutang kerana jualan lelong barangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam guaman sivil apabila mahkamah telah membuat satu keputusan memihak pada pihak menuntut (plaintif) terutamanya di dalam tindakan menuntut hutang, maka akan ada satu penghakiman.

Apabila plaintif mendapat penghakiman, yang mana selalunya wujud satu perintah untuk orang yang berhutang (defendan) membayar jumlah yang dinyatakan serta kos bersama faedah, sekiranya defendan gagal mematuhi penghakiman, plaintif akan cuba melaksanakan pembayaran melalui beberapa cara.

Antara cara untuk mempastikan defendan membayar hutang adalah dengan cara writ penyitaan dan penjualan. Yang mana plaintif akan memohon kepada mahkamah untuk dikeluarkan satu Writ Penyitaan dan Penjualan. Peruntukan ini terkandung di dalam Aturan 45 kaedah 1 Kaedah -Kaedah Mahkamah 2012.

Penyitaan bukanlah bermula secara tiba-tiba tetapi ia adalah hasil daripada tuntutan saman, penghakiman dan apabila gagal menurut penghakiman maka barulah berlaku penyitaan.

Writ penyitaan dan penjualan ini hanya boleh dilaksanakan terhadap harta yang boleh alih.
Harta yang boleh alih adalah termasuk barangan di dalam premis defendan, sama ada premis perniagaan ataupun rumah yang dihuni oleh defendan.

Bailif boleh memasuki premis dan jika berkunci maka pihak plaintif boleh memohon kepada mahkamah untuk mereka menggunakan kekerasan yang munasabah bagi memasuki premis itu. Perlu juga diingatkan bahawa ada barangan umpamanya alatan untuk masak, bekerja dan kegunaan sendiri tidak melebihi RM200/- tidak boleh disita.

Writ Penyitaan dan Penjualan hanya sah selama 12 bulan dari tarikh ia dikeluarkan. Selepas pengeluaran Writ dan Penyitaan oleh mahkamah, peguam Pemiutang Penghakiman boleh berhubung dengan bailif mahkamah (Bahagian Pelaksanaan) bagi mendapat tarikh untuk pelaksanaan Writ Penyitaan dan Penjualan.

Pada hari penyitaan dilakukan, pihak bailif mahkamah bersama wakil peguam Pemiutang Penghakiman akan hadir ke premis penghutang penghakiman untuk membuat senarai barang-barang yang boleh disita bagi memenuhi tuntutan seperti yang dikeluarkan dalam Perintah atau Penghakiman Mahkamah.

Bailif juga hendaklah memastikan barangan yang disita itu adalah di miliki oleh penghutang sepenuhnya dan bukan milik pihak ketiga (Lim Ker lawan Chew Seok Tee (1967) 1 LNS 88 (FC) satu lagi contoh ialah di dalam satu kes Khatheresen Doraisamy lawan Lee Hock Kim & Anor (2014) 1 LNS 93 pihak penuntut mengeluarkan satu surat ikatan jualan bagi menuntut hak milik sesetengah barangan yang disita.

Oleh itu, terdapat satu pertikaian tentang hak milik barangan yang disita, sama ada ia milik Penghutang Penghakiman. Mahkamah memutuskan bahawa Surat Ikatan Jualan yang dikeluarkan oleh pihak penuntut adalah pemikiran selepas (after thought) dan menolak tuntutan pihak penuntut untuk hak milik barangan tersebut.

Di dalam kes Tenaga Nasional Bhd lawan Transformer Repairs & Services Sdn Bhd & Ors (2024) juga adalah isu berkaitan bailif hendaklah memastikan siapa sebenarnya tuan punya bagi harta tidak alih yang disita dan yang akan dilelong.

Di Mahkamah Singapura, mahkamah telah membuat keputusan bahawa keahlian kelab yang mempunyai nilai tidak termasuk sebagai harta tidak alih yang boleh disita dan dilelong menurut proses ini. KLW Holdings Limited lawan Straightworld Advisory Limited dan satu lagi (2017).

Dalam proses ini, mahkamah akan melantik bailif untuk menyita premis. Setiap barangan yang disita akan direkodkan dan tiada siapa boleh mengalihkan barangan tersebut tanpa izin bailif. Kebiasaannya bailif akan melantik pengawal untuk memastikan tiada siapa mempunyai akses kepada barangan yang di sita.

Setelah 14 hari barangan disita maka bailif kan mengadakan lelongan. Hasil daripada lelongan akan ditolak kos-kos dan bakinya akan diserahkan kepada plaintif untuk melangsaikan hutang defendan.
Penyitaan dan jualan juga terpakai untuk harta tidak alih. Ia juga memerlukan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah. Dan sekiranya gagal membayar jumlah yang tertunggak, harta tidak alih itu boleh dilelong.

Writ hantar serah boleh dipohon daripada mahkamah agar dihantar serah harta tidak alih dan orang yang berhutang dilarang membuat apa-apa transaksi terhadap harta tersebut. Selepas itu, harta tersebut boleh dilelong untuk mendapatkan jumlah yang terhutang.

Sebenarnya writ penyitaan dan penjualan adalah cara tercepat untuk mendapatkan jumlah hutang yang didapatkan daripada penghakiman kerana jualan lelong barangan adalah cepat dan ia juga satu tindakan yang memalukan mereka yang berhutang apabila premis mereka ditampal dengan notis sitaan dan lelong. Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak akan mempercepatkan mereka yang berhutang membuat bayaran.

Sekiranya mereka yang diserahkan dengan writ Penyitaan dan Penjualan mereka boleh memohon untuk menangguhkan tindakan tersebut dengan memohon pada mahkamah.
Permohonan boleh dibuat dengan memberikan alasan penangguhan seperti berikut:
 Tidak mampu membuat bayaran, harta yang disita itu mempunyai nilai yang sangat rendah dan juga nyatakan liabiliti-liabiliti yang ditanggung olehnya.
 Isu-isu seperti berkaitan hakmilik harta tersebut.

Jika penangguhan dibenarkan maka proses sitaan dan lelongan tidak diteruskan sehingga mahkamah membuat keputusan berkaitan dengan isi-isu yang ditimbulkan.

Tindakan sitaan dan penjualan ini juga memerlukan plaintif meletakkan deposit pada mahkamah, membayar kos pengawal premis serta melantik wakil plaintif bagi memerhatikan proses lelongan.
Hasil daripada penyitaan dan penjualan harta alih atau tidak alih kadangkala tidak mencukupi untuk membayar jumlah yang dituntut bukan bermakna proses untuk mendapatkan jumlah terhutang akan tamat.

Pihak plaintif boleh mengambil tindakan pelaksanaan penghakiman yang berlainan jika mahu mendapatkan bakinya umpamanya mengambil tindakan susulan seperti bankrapsi atau melalui saman penghutang penghakiman yang mana prosesnya juga perlu mendapatkan perintah mahkamah.

Dato’ Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya