Rangkuman pendidikan 2024 - Utusan Malaysia

Rangkuman pendidikan 2024

Pendedahan hasil tinjauan menunjukkan hampir 40 peratus murid yang menjadi responden menyatakan guru selalu tidak masuk kelas. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiga hari lagi kita akan masuk ke tahun 2025. Bagi sektor pendidikan, 2025 adalah tahun terakhir yang menandakan tamatnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang berjalan sejak lebih 12 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, kita sudah melihat pencapaian, polemik dan ketidaktentuan sektor pendidikan negara.

Tentunya keadaan ini dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu politik negara yang kurang stabil antara 2016 hingga 2022, pandemik Covid-19 antara 2020 hingga 2022 dan isu kecekapan sistem penyampaian pendidikan negara yang berdepan dengan pelbagai polemik pendidikan sepanjang tempoh PPPM.

Bagi sektor pendidikan edisi 2024, antara berita gembira paling awal untuk rakyat adalah kesediaan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyediakan peruntukan terbesar untuk pendidikan berjumlah RM58.7 bilion untuk KPM dan RM18.1 bilion untuk KPT. Malah Kerajaan Perpaduan juga memberikan perhatian khusus kepada pendidikan keluarga miskin dengan menambah peruntukan untuk RMT, BAP dan pelbagai bantuan persekolahan lain.

Bagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan wujud pelbagai polemik dan isu pendidikan sepanjang 2024. Tulisan ini cuba menyegarkan kembali ingatan pembaca tentang pelbagai isu dan polemik yang timbul sebagai rangkuman pendidikan 2024.

Seawal Januari 2024 lagi, negara kita bermula dengan isu besar pendidikan apabila dihadapkan dengan keputusan PISA Malaysia yang merosot teruk. Malah apabila diumumkan keputusan PISA pada Disember 2023, Malaysia antara lima negara di dunia yang merosot paling besar.

Bagi peringkat negara ASEAN yang ikut serta di dalam PISA, Malaysia diumumkan sebagai negara paling merosot dalam semua domain penilaian PISA iaitu membaca, Sains dan Matematik. Ramai melahirkan rasa kecewa, malah Perdana Menteri di dalam ucapan di Universiti Malaya menzahirkan kekecewaannya dengan prestasi buruk pendidikan negara di dalam PISA.

Sekitar April 2024, Bank Dunia pula menerbitkan laporan khas tentang sistem pendidikan di Malaysia bertajuk Malaysia Economic Monitor: Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills. Antara lain, laporan ini mendedahkan walaupun ekonomi negara berkembang secara signifikan, didapati prestasi pendidikan masih ketinggalan berbanding negara ASEAN lain seperti Singapura dan Vietnam.

Laporan ini mendedahkan walaupun masa pembelajaran murid-murid di Malaysia adalah 12.5 tahun tetapi produktiviti pembelajaran hanyalah 8.9 tahun sahaja. Berbanding Vietnam, murid-murid di sana mencapai produktiviti pembelajaran 10.7 tahun bagi tempoh masa pembelajaran yang sama seperti Malaysia manakala di Singapura, masa pembelajaran murid adalah 13.9 tahun dan masa produktif pembelajaran 12.8 tahun. Data ini menunjukkan masa produktif pembelajaran murid Malaysia jauh di belakang Singapura dan Vietnam.

Paling mengejutkan dalam laporan itu adalah pendedahan hasih tinjauan yang menunjukkan hampir 40 peratus murid yang menjadi responden menyatakan guru-guru selalu tidak masuk kelas. Apabila diteliti penggunaan masa guru di sekolah, mendapati mereka memberikan banyak masa di sekolah kepada urusan bukan pengajaran berbanding purata negara lain.

Salah satu polemik yang berlarutan sepanjang 2024 adalah isu keputusan KPM mengekalkan pemansuhan UPSR dan PT3. Sebahagian besar ibu bapa dan guru tidak bersetuju dan mendesak supaya UPSR dan PT3 dikembalikan. Walaupun pemansuhan UPSR dilakukan pada 2021 dan PT3 pada 2022, sehingga 2024, polemik ini berlanjutan tanpa penyelesaian memuaskan hati semua pihak.

Jika kita mengikuti secara dekat polemik ini, walaupun keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 telah dilakukan, jelas pihak berkuasa dalam pengurusan pendidikan masih gagal memberikan kefahaman kepada ibu bapa dan guru.

Di hujung 2024, sebahagian negeri khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah dilanda banjir besar. Ratusan ribu mangsa berpindah ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS), termasuk lebih 5,000 calon SPM. Banyak pihak merayu supaya Ujian Lisan ditangguhkan sementara waktu kepada calon SPM yang terlibat banjir.

Bagaimanapun, rayuan ini tidak dipertimbangkan Ujian Lisan diteruskan seperti dijadualkan. Calon-calon dipindahkan ke asrama-asrama harian bagi membolehkan mereka hadir ketika ujian lisan dijalankan. Walaupun mereka ini diuruskan untuk menghadapi ujian lisan seperti calon SPM lain, sebenarnya secara prinsip penilaian pendidikan berpusat seperti SPM, adalah tidak adil bagi calon yang berada di dalam situasi banjir yang pastinya menjejaskan emosi dan fokus mereka meneruskan ujian tersebut. Mereka sepatutnya diberikan masa untuk kembali stabil dan fokus sebelum menghadiri ujian lisan itu.

Situasi ini membawa kita kepada persoalan ‘mengapa persiapan untuk menyediakan asrama kepada calon SPM yang berpotensi menjadi mangsa banjir tidak dilakukan lebih awal?’ Dicadangkan supaya pada masa depan, calon SPM yang tinggal dalam kawasan kediaman yang selalu banjir perlu diberikan keutamaan untuk ditempatkan di asrama harian sejak di Tingkatan Empat lagi. Ini bagi mengelakkan terpaksa menghadapi peperiksaan SPM dalam emosi tidak stabil.

Sepanjang 2024, tidak banyak reformasi pendidikan yang benar-benar dirasai. Kita hanya melihat tindakan bersifat reaktif. Misalnya, pada Mac 2024, program Intervensi Kurikulum dilaksanakan sebagai respons kepada isu kurikulum KSSR yang padat. Akhirnya guru diberikan autonomi mengurangkan kepadatan sehingga 50 peratus.

Sepanjang 2024, kita lebih banyak melihat tindakan meneruskan amalan pendidikan sedia ada tanpa banyak idea baharu. Misalnya, walaupun Dasar Pendidikan Digital dilancarkan pada 2023, sepanjang 2024, kita belum melihat anjakan besar kepada pemerkasaan dasar ini selain hanya mempromosi penggunaan DeLIMA.

Kita juga masih tertanya-tanya tentang wajah sebenar Kurikulum Baharu 2027 yang akan dimulakan pada peringkat pra sekolah pada 2026. Apakah Kurikulum ini benar-benar baharu? Tidak lagi beracuan kurikulum KSSR dan KSSM yang terlalu padat?

Satu hal menarik sepanjang 2024, hampir semua polemik pendidikan negara tidak datang daripada suara orang politik. Hampir semua isu dan polemik pendidikan dijuarai suara ibu bapa, guru dan pengamal media massa. Ini perkembangan baik kerana pendidikan tidak sepatutnya dibayangi sebagai isu politik.

Sepanjang 2024 juga kita sudah kurang mendengar isu sekolah vernakular dimainkan atas sentimen politik etnik. Ini juga perkembangan baharu di dalam sistem pendidikan negara.
Apa yang boleh digambarkan keseluruhannya, 2024 adalah tahun yang tidak begitu memberangsangkan untuk sistem pendidikan negara.

Dr. Anuar Ahmad ialah Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, (MINDA UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya