Orang kaya pun kadang-kadang sesak! - Utusan Malaysia

Orang kaya pun kadang-kadang sesak!

Ada juga usahawan berjaya yang telah memindahkan lokasi perniagaannya dari di tengah bandar atau bandar raya ke kawasan terceruk kerana faktor menjimatkan kos operasi. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA tengah hari itu, saya rasa malas memandu. Malas mahu mengharungi kesesakan jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Petaling Jaya. Jadi saya fikir, lebih baik naik Grab saja. Saya akan duduk diam-diam di belakang. Malas bercakap. Mahu layan telefon. Itu perancangan dalam kepala saya.

Tetapi, sebaik saja menutup pintu kereta, pemandu Grab itu terus menyapa mesra. “Pergi kerja ke puan?” Mungkin sebab nampak saya awal-awal lagi sudah menggantung tali pas kerja di leher dari rumah – sebabnya malas saya tercari-cari dalam beg, bila sampai di pintu pejabat nanti.

Iyalah, masalah orang perempuan ini, dia bawa beg kecil atau besar, sama sahaja,barang yang disimpan di dalam beg itu mesti macam ‘sesat’ bila dicari.

Ya, jawab saya sepatah. Dia terus bertanya, kerja apa masuk tengah hari ini puan? Saya rasa terperangkap dengan soalan itu. Malas menipu, terus saya jawab kerja surat khabar.

Apa lagi, dia pun buka cerita. Terus cakap pasal ekonomi – Apa pendapat puan dengan ekonomi negara kita ini sekarang? Soalnya.

“Kita kena simpan duit.” – Tiba-tiba jawapan itu yang keluar daripada mulut saya. Walhal dalam kepala saya mahu jawab, satu dunia pun ekonomi tidak baik ketika ini. Simpan duit? Ia bukan mudah, macam pakar-pakar motivasi dan sesetengah majikan punya sembang.

“Puan, saya buat dua kerja, walaupun peniaga SME (industri kecil dan sederhana), ada syarikat sdn. bhd. Saya setiap hari akan peruntukan masa enam jam untuk bawa Grab.

“Meniaga pun ‘sakit’ sekarang puan, kalau boleh simpan duit memang sangat bernasib baik,” cerita lelaki yang saya fikir usianya dalam lingkungan lewat 30-an itu.

Katanya, dia terpaksa buat dua atau tiga kerja dalam sehari untuk ‘mencantikkan’ bayaran pinjaman perniagaannya dari sebuah bank. Sejak pandemik Covid-19, bisnesnya terus muram. Tidak nampak sebarang cahaya pun di hujung terowong. Macam orang selalu kata.

Tambahnya, hendak pinjam bank pun susah juga sekarang. Ramai kawan-kawan peniaga sepertinya sukar mendapatkan pinjaman.

Dia mendakwa, bank hanya mahu menolong orang kaya bukan orang yang tiada modal untuk berniaga.
Katanya, bank mahu ada banyak wang dalam akaun untuk meluluskan pinjaman. Kalau sudah ada banyak wang, kenapa mahu pinjam bank?

Pihak bank bukan memudahkan pinjaman, malah menyusahkan. Bank Negara patut lihat masalah itu. Senang cakap, tak nak beri, cakap sajalah. Tak payah beri banyak syarat dan minta dokumen macam-macam, katanya lagi.

“Apa-apa bisnes pun, susah sekarang ini. Jadi, kerajaan kena fokus bab jaga ekonomi rakyat dan negara. Pastikan peniaga boleh bernafas, pastikan barang keperluan dan perkhidmatan tidak naik,” katanya.

Ramai peniaga SME terutamanya, susah cari makan. Sebab itu, katanya, ramai yang susah hendak bayar hutang pinjaman perniagaan. Bukannya liat hendak melunaskan.

Usahawan yang kaya raya dan terkenal pun boleh kena sita rumahnya dan jadi bankrap, inikan peniaga bertaraf ikan bilis.

Ada juga usahawan berjaya yang telah memindahkan lokasi perniagaannya dari di tengah bandar atau bandar raya ke kawasan terceruk kerana faktor menjimatkan kos operasi.

“Orang kaya pun kadang-kadang sesak der,” katanya yang mengingatkan saya dialog dalam filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok yang membuatkan saya ketawa.

Pemandu itu yakin, usahawan yang diambil tindakan sita rumah dan bankrap, memang betul-betul tidak mampu hendak bayar hutang pinjaman kerana bisnes tengah tenat sekarang. Bukan saja-saja.

Tidak kiralah membuat pinjaman bank, Mara (Majlis Amanah Rakyat) atau Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) hendak bayar balik kena dapat untung. Meniaga apa yang untung sekarang?
Memang ketika ini pihak yang meminjamkan wang dalam negara ini menghadapi kesukaran untuk mengutip hutang pinjaman perniagaan.

Mara sejak 2014 sehingga 2024, jumlah hutang keseluruhannya adalah RM1.66 bilion. Daripada jumlah itu, RM126.8 juta adalah tunggakan yang tidak dibayar langsung yang membabitkan 13,548 peminjam.

Daripada RM126.8 juta, RM75.5 juta adalah untuk pembiayaan perniagaan, manakala pendidikan pula RM51.3 juta.

Dalam pada itu, sepanjang RMK-12 , Mara telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM49.7 juta kepada 2,343 usahawan belia di bawah satu prgoram. .

Sementara itu, sebanyak RM2.6 bilion pinjaman perlu dikutip semula oleh Tekun Nasional bagi tempoh 2008 hingga tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, ia adalah jumlah kolektif pinjaman yang perlu dibayar serta pinjaman baharu melibatkan lebih 100,000 peminjam bagi tempoh itu.

“Mereka sedang bayar. Sekarang kita nasihat dan buat panggilan untuk bercakap dengan mereka, pembayaran sedang dibuat tetapi duit itu memang tergantung. Kalau RM2.6 bilion dipulangkan kepada kita, lagi banyak kita boleh pinjamkan kepada peminjam di luar sana,” katanya kepada media baru-baru ini.

Bercerita pasal langkah kerajaan untuk membantu peniaga SME, pemandu Grab itu berkata, tumpu sajalah sepenuhnya perhatian pada membangunkan ekonomi negara.

“ Ini tidak, apabila bercakap pasal ekonomi, masalah rakyat, isu rasuah atau isu-isu semasa lain mesti tiba-tiba hendak kaitkan pula dengan pemimpin-pemimpin lain yang dia bergaduh.

“ Tidak kiralah dalam kerajaan atau pembangkang. Mengata pemimpin itu dan ini pula. Kenapa tidak fokus hal bangunkan ekonomi negara saja.Tak perlu usik sana, usik sini,” katanya.

Politik dendam ya? Kata saya sengaja ‘membakar line’’.

“Jaga hal dan perut rakyat. Kalau rakyat marah, semua boleh tukar nanti,” katanya.

Ya setuju, patut yang lebih diutamakan adalah mendengar masalah rakyat. Bukan mendengar kata-kata pemimpin parti lawan untuk berbalas-balas kenyataan.

Tapi kalau dengar dan tahu masalah rakyat dan kemudian cakap saja, janji itu ini, tidak buat apa-apa langkah atau tindakan yang membantu, letih juga rakyat. Sebagai rakyat tentunya segala langkah yang baik itu akan disokong dan dipuji, segala yang tidak memanfaatkan mereka itu akan ditegur. Cara mana rakyat menegur? Tentulah melalui pilihan raya.  – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya