Melindungi pemberi maklumat rasuah - Utusan Malaysia

Melindungi pemberi maklumat rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Abu memberikan rasuah kepada Datuk Ali. Setelah penahanan Abu dan Datuk Ali, hanya Datuk Ali dituduh di mahkamah kerana menerima rasuah manakala Abu hadir sebagai saksi terhadap pendakwaan.

Senario begini selalu berlaku di dalam kes-kes rasuah yang dibicarakan di Malaysia dan negara Komanwel lain. Ramai mempersoalkan. Menyifatkan ia tidak adil seolah-olah melindungi pemberi rasuah.

Perlindungan sebenarnya boleh diberikan dalam banyak perkara bergantung kepada keadaan. Dalam keadaan begini, pertamanya perlu dirujuk pada Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah yang memberikan kuasa Pendakwa Raya menentukan hala tuju pendakwaan jenayah.

Pihak pendakwaan dalam hal ini akan menimbangkan sama ada dengan memberikan perlindungan secara tidak langsung ia akan memanfaatkan kes pendakwaan atau sebaliknya berdasarkan fakta kes.

Dalam senario kes rasuah, pemberi rasuah boleh dianggap sebagai subahat. Dan adakah keterangan mereka ini tidak boleh diterima kerana bersubahat?

Namun begitu keterangan seseorang yang bersubahat di dalam kes rasuah boleh diterima di bawah Seksyen 135, Akta Keterangan.

Di bawah Seksyen 52 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) ada terdapat peruntukan khas bagi seseorang itu yang dikatakan bersubahat di dalam kes rasuah sebagaimana diputuskan di dalam kes Azmil Muntapha lawan Pendakwa Raya (2024) 3 CLJ 705 yang menyatakan Seksyen 52 ASPRM 2009, memberi rasuah sahaja tidak menjadikan saksi itu dianggap ‹unworthy of credit› melainkan saksi memainkan peranan lebih aktif untuk merasuah seseorang penjawat awam.

Di dalam kes Mohd. Khir Toyo lawan PP (2015) 8 CLJ 769; (2015) 5 MLJ 429,  Mahkamah Persekutuan memutuskan pemberi rasuah di dalam kes ini bukanlah seorang subahat jika tidak terlibat dalam perbuatan jenayah itu dan hanya memberikan rasuah kerana diasak oleh keadaan.

Lazimnya keterangan yang bersubahat ini digunakan sebagai keterangan utama dalam kes rasuah. Secara tidak langsungnya mereka ini diberikan perlindungan oleh pihak pendakwaan di dalam kes di bawah ASPRM.

Di dalam kes PP lawan Rosmah Mansor (2022), mahkamah menerima keterangan penama Rizal yang menjadi perantaraan tertuduh dalam permintaan dan penerimaan wang rasuah setelah mahkamah menilai keterangan saksi ini. Rizal di dalam kes ini tidak dituduh dengan kesalahan rasuah.

Secara tidak langsung Seksyen 52 ASPRM 2009 adalah satu perlindungan saksi sebagaimana di dalam kes Mohd. Nasri Md. Isa dan Anor lawan Pendakwa Raya (2023) CLJU 1795 menyatakan: Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis atau rukun undang-undang berlawanan, dalam mana-mana prosiding terhadap mana-mana orang atas sesuatu kesalahan di bawah Akta ini-

(a) Tiada saksi boleh dianggap sebagai rakan sejenayah hanya semata-mata kerana saksi itu telah-
(i) Menyetujui terima, memperoleh, meminta, atau cuba memperoleh apa-apa suapan daripada mana-mana orang; (ii) Memberikan, menjanjikan, menawarkan atau bersetuju memberikan apa-apa suapan; atau (iii) Telah dengan apa-apa cara terlibat dalam perlakuan kesalahan itu atau tahu tentang perlakuan kesalahan itu.

Terdapat juga peruntukan khas di bawah Seksyen 65 ASPRM yang memberikan perlindungan pada pemberi maklumat dan dirahsiakan.

Apa-apa aduan yang dibuat berbangkit daripada maklumat yang diterima oleh seseorang pegawai SPRM, maklumat dalam aduan itu dan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan atau diperintahkan atau dikehendaki supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding sivil, jenayah atau dalam mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga boleh digunakan bagi mereka yang dapati ada berlakunya rasuah.

Syarat Perlindungan
 Pemberi maklumat bersedia untuk dikenali oleh SPRM.
 Pemberi maklumat hadir sendiri dan berjumpa dengan pegawai SPRM sama ada di pejabat atau di mana-mana tempat.
 Sekiranya pendedahan kelakuan tidak wajar dibuat melalui surat/emel/telefon/khidmat pesanan ringkas, pemberi maklumat perlu menyatakan identiti dan alamat atau cara bagaimana dia boleh dihubungi.

Jenis Perlindungan
 Identiti pemberi maklumat serta maklumat yang diberikan dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa termasuk semasa perbicaraan di mahkamah. (Seksyen 7(1)(a) Akta APPM 2010)
 Pemberi maklumat tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat pendedahan itu. (Seksyen 7(1)(b) Akta APPM 2010)
 Pemberi maklumat dilindungi daripada tindakan memudaratkan hasil tindak balas pendedahan yang dibuat. (Seksyen 7(1)(c) Akta APPM)
 Perlindungan turut diberikan kepada yang mempunyai kaitan/hubungan dengan pemberi maklumat. (Seksyen 7(3) Akta APPM 2010) (sumber sprm.gov.my)

Seksyen 6 bagi Akta ini terbahagi pada dua kategori pendedahan ‘kelakuan tidak wajar’:

1.Agensi Penguat kuasa Seksyen 6(1)
2.Ahli Parlimen dan ahli Undangan Negeri Seksyen 6(4)

Seksyen 2 di Akta yang sama menyatakan maksud kelakuan tidak wajar sebagai: ‘Kelakuan tidak wajar’ ertinya apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau jenayah.
Satu lagi kaedah bagaimana saksi dapat dilindungi adalah melalui Akta Perlindungan Saksi 2009. Di bawah Akta ini saksi bermaksud:-

(a) seseorang yang telah memberikan atau yang bersetuju untuk memberikan keterangan bagi pihak kerajaan dalam sesuatu prosiding jenayah;
(b) seseorang yang telah memberikan atau telah bersetuju untuk memberikan, selain yang disebut dalam perenggan (a), berhubung dengan perlakuan atau kemungkinan perlakuan sesuatu kesalahan;
(c) seseorang yang telah memberikan apa-apa maklumat, pernyataan atau bantuan kepada seseorang pegawai awam atau pegawai pihak berkuasa awam berhubung dengan sesuatu kesalahan;
(d) seseorang yang, bagi apa-apa sebab lain, mungkin mengkehendaki perlindungan atau bantuan di bawah Program; atau(e) seseorang yang kerana hubungan atau kaitannya dengan mana-mana orang yang disebut dalam perenggan (a) hingga (d), mungkin mengkehendaki perlindungan atau bantuan di bawah Program.

Seksyen 3 Akta 747 pula memperuntukkan tafsiran ‘saksi yang dilindungi’ ertinya seorang saksi yang pendedahannya akan menjejaskan pengumpulan keterangan atau risikan atau membahayakan nyawa dan keselamatan dirinya

Di bawah Seksyen 20 pula, akta yang sama menyatakan identiti peserta tidak boleh didedahkan dalam prosiding.

Secara kesimpulannya ada 4 cara saksi boleh dilindung iaitu atas kuasa pendakwa raya yang menjadikan dia sebagai saksi pendakwaan, di bawah Seksyen 65 ASPRM 2009, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Keempat-empat cara ini boleh digunakan mengikut kesesuaian kes dan bergantung pada tapisan bagi memastikan segala syarat dipatuhi menurut undang-undang.

DATO Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya