Kenaikan cukai taksiran di Selangor: Beri kami hak untuk tentukan ke mana wang dibelanja

Kenaikan cukai taksiran di Selangor: Beri kami hak untuk tentukan ke mana wang dibelanja

DARREN ONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu, kerajaan negeri Selangor mengesahkan bahawa cukai taksiran akan dinaikkan sebanyak 25% bermula Januari 2025. Kenaikan ini dijangka meningkatkan hasil untuk majlis tempatan sebanyak RM355 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim, menyatakan bahawa “Dana ini akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam di seluruh daerah.”

Walaupun Parti Sosialis Malaysia Selangor (PSM Selangor) bersetuju bahawa infrastruktur dan perkhidmatan awam di Selangor memerlukan banyak penambahbaikan, kami juga berkongsi keraguan ramai pembayar cukai Selangor sama ada wang ini akan dibelanjakan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Salah satu sebab utama keraguan ini ialah dana daripada kenaikan cukai ini akan diuruskan oleh majlis tempatan yang tidak dipilih oleh rakyat. Rakyat Malaysia dahulunya mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan tempatan mereka (iaitu Datuk Bandar, Ahli Majlis).

Kuasa ini telah dirampas daripada rakyat selepas tahun 1963. Walaupun terdapat seruan sebelum ini untuk mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan (termasuk kenyataan terbaru oleh Pengerusi Wilayah Persekutuan DAP, Tan Kok Wai, setahun lalu), tiada sebarang kemajuan dicapai sama ada oleh Kerajaan Negeri Selangor mahupun Kerajaan Persekutuan, meskipun kedua-duanya dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Rakyat Selangor terpaksa menerima “percukaian tanpa perwakilan”! RM355 juta hasil cukai ini tidak akan diuruskan oleh individu yang dinilai sebagi orang cekap atau bertanggungjawab oleh pengundi Selangor, sebaliknya dana ini diurus oleh sekumpulan orang yang biasanya merupakan kroni ketua parti politik yang dilantik oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, tanpa sebarang perundingan dengan rakyat yang terpaksa membayar kadar cukai yang meningkat.

Memandangkan kecenderungan wang awam hilang ke dalam poket kroni di Malaysia, pembayar cukai Selangor berhak untuk curiga sama ada mereka akan melihat sebarang manfaat daripada kenaikan cukai ini.

Oleh itu, kami membuat tiga tuntutan berikut kepada kerajaan negeri Selangor:

1) Kami menuntut kemajuan nyata ke arah pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor. Dengan kenaikan kadar sebanyak 25% ini, majlis tempatan mengambil bahagian yang jauh lebih besar daripada pendapatan rakyat Selangor. Kami berhak untuk mendapatkan lebih banyak suara dalam menentukan ke mana dana ini dibelanjakan.  Oleh itu, Pilihanraya Kerajaan Tempatan perlu diadakan dengan segera.

2) Kami menuntut kejelasan mengenai projek-projek yang akan dibiayai dengan dana ini dan komitmen terhadap ketelusan. Khususnya, projek-projek ini perlu dianugerahkan melalui proses tender terbuka, bukan hanya diserahkan kepada syarikat kroni.

3) Kami menuntut agar kerajaan negeri Selangor menaikkan cukai kepada golongan kaya, bukan membebankan rakyat biasa melalui kenaikan cukai menyeluruh.

Kami mengakui bahawa terdapat beberapa pengecualian cukai taksiran untuk golongan termiskin. Namun begitu, kenaikan kadar ini tetap akan membebankan banyak keluarga Selangor yang sedang bersusah payah untuk membiayai kehidupan.

Selangor menghadapi masalah ketidaksamarataan yang serius, dengan penduduk yang tersangat kaya. Kerajaan negeri seharusnya menyasarkan golongan kaya, bukan menaikkan cukai ke atas golongan miskin dan kelas pertengahan.

Prof. Darren Ong
Bendahari, 
Parti Sosialis Malaysia (Selangor)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya