Banjir: Kerajaan perlu keluar daripada mod penafian - Utusan Malaysia

Banjir: Kerajaan perlu keluar daripada mod penafian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap tahun, kita membaca, mendengar dan kadang-kala melihat sendiri kesan banjir apabila bermulanya musim hujan di Malaysia pada penghujung tahun. Lebih 150,000 orang rakyat dipindahkan akibat banjir pada minggu lepas.

Kehilangan harta benda dan kerosakan infrastruktur mungkin mencecah beberapa bilion ringgit. Ini anggaran berdasarkan pengalaman banjir yang berlaku pada tahun-tahun lalu. Selain itu, enam nyawa sudah terkorban minggu lepas sahaja.

Tetapi adakah usaha ikhlas wujud untuk menyelesaikan masalah banjir di Malaysia? Adakah kerajaan berada dalam satu fasa penafian untuk mengenal pasti punca sebenar banjir di Malaysia? Jika ya, apakah sebabnya?

Kebanyakan pimpinan politik akan meletakkan beban atau alasan kepada alam sekitar dan kuasa Tuhan apabila berlakunya bencana alam.

Kali ini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri II juga tidak ketinggalan berbuat demikian apabila mengatakan hujan lebat yang turun di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari berturut-turut adalah bersamaan dengan enam bulan.

Walaupun fakta ini adalah betul, tetapi kerajaan Malaysia sepatutnya juga sudah sedar tentang wujudnya perubahan iklim dalam tempoh hampir 30 tahun lepas. Tidakkah kita mampu melakukan persediaan?

Malaysia telah menandatangani Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) pada 9 Jun 1993 dan mengesahkannya pada 17 Julai 1994.
Selain itu juga,terdapat diskusi dan kertas kerja sejak tahun 1990-an yang membincangkan perubahan iklim, termasuk kadar hujan yang tidak menentu.

Jadi, adakah adil bagi pimpinan politik Kerajaan Persekutuan dan negeri menggunakan alasan sebegini?

Jika 30 tahun sudah tahu kadar hujan [jumlah hujan (mm) / masa] akan naik daripada kadar biasa, kenapa tiada perancangan dan tindakan diambil? Adakah perbelanjaan berbilion-bilion ringgit akan menyelesaikan masalah banjir di Malaysia, termasuk yang di Kelantan dan Terengganu? Mungkin boleh, tetapi tidak pasti.

Projek-projek tebatan banjir hanya ‘merawat’ simptom, tetapi punca banjir masih tidak ditangani. Sebanyak 33 projek tebatan banjir diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun lepas dengan kos hampir RM12 bilion.

Banyak projek tebatan banjir di Selangor yang tidak siap-siap. Shah Alam masih dilanda banjir kilat walau Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk projek tebatan banjir.

Namun tiada perdebatan atau persoalan dibangkitkan oleh media arus perdana kepada Kerajaan Negeri Selangor berkenaan isu ini, terutama apabila setiap kali berlakunya banjir kilat.

Kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan dan Terengganu kebanyakannya terletak di hilir sungai. Ini mungkin berpunca daripada penggondolan hutan di kawasan hulu sungai.
Contohnya, sejak pembukaan jalan Blue Valley – Gua Musang, banyak kawasan hutan telah digondol akibat pemberian permit penerokaan tanah tanpa kawalan.

Keadaan serupa berlaku di Pahang, di mana kawasan antara Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara mengalami impak besar akibat aktiviti pembalakan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendapat bahawa Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dan juga kerajaan-kerajaan negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Selangor, Pahang dan Kedah, perlu keluar dari mod penafian (atau pura-pura tidak sedar) jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah banjir di Malaysia.

Antara perkara yang perlu mula dibincangkan segera adalah:

1. Perubahan iklim adalah realiti sebenar. Akibatnya, kadar hujan yang turun semakin tidak menentu. Pengurangan karbon di atmosfera adalah penyelesaian jangka masa panjang dan tindakan kerajaan harus menjurus kepada pengenalan cukai karbon terhadap industri yang mencemari udara.
2. Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, dan oleh sebab itu adalah penting untuk memulakan perbincangan sesama negara ASEAN supaya cukai karbon hampir seragam di semua negara ASEAN. Ini akan menghalang persaingan yang tidak sihat sesama negara-negara ASEAN dalam menarik pelaburan asing (FDI).
3. Projek-projek tebatan banjir harus dikaji semula dari segi kos dan keberkesanannya. Perlu ada intervensi oleh masyarakat tempatan dan pakar-pakar luar dalam projek tebatan banjir di tahap perancangan.
4. Perbelanjaan berbilion-bilion ringgit untuk tebatan banjir tidak seharusnya diletakkan di bawah dana kecemasan, di mana ia tidak diaudit dan oleh sebab itu berlakunya ketirisan.
5. Pemberian permit pembukaan hutan, terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah harus dirombak. Perlu adanya peruntukan undang-undang supaya Menteri Besar (MB), Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri boleh didakwa di mahkamah jika memberikan permit penerokaan hutan di kawasan hulu sungai.
6. Sebuah Jawatankuasa Bebas Tanah Negeri (JBTN) perlu dibentuk di peringkat negeri dan perlu dianggotai oleh wakil-wakil daripada kerajaan, pembangkang, masyarakat sivil dan rakyat marhaen. JBTN perlu mempunyai kuasa mutlak untuk membatalkan kelulusan tanah di hulu sungai.

Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Ketua Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya