CUBA bayangkan pada zaman belum adanya media sosial, telefon pintar dan wifi: iaitu kira-kira sebelum 2010-an. Umumnya orang memperoleh maklumat utamanya dari akhbar iaitu sejak ia mula diterbitkan pada sekitar tahun 1920-an. Sudah banyak generasi untuk sampai tahun 2010-an itu.
Pada zaman itu, seseorang mula membaca akhbar ketika bersekolah menengah. Mereka terus membaca akhbar setiap hari sepanjang hayatnya. Tidaklah semua orang seperti ini tetapi sebahagian besar adalah sememangnya begitu sebelum muncul media sosial.
Ada pula yang walaupun tidak membaca akhbar setiap tetapi membaca akhbar mingguan, malah antaranya membaca lebih daripada satu akhbar.
Sememangnya apabila membaca akhbar, seseorang tidaklah membaca keseluruhan akhbar dari muka depan hingga ke muka sukan. Setiap orang mempunyai minat berbeda, maka tentulah mereka membaca hanya apa saja yang diminati. Umpamanya ada yang membaca hiburan atau sukan saja. Ada pula yang meminati isu-isu antarabangsa, maka itulah yang ditatapnya.
Saya sendiri mula membaca akhbar hampir setiap hari sejak tingkatan satu. Saya baca akhbar di perpustakaan sekolah dan terus membacanya apabila sudah bekerja. Banyak orang yang membaca akhbar di pejabat. Ia sudah menjadi kemestian bagi membantu urusan kerja. Tetapi apabila bersara, generasi pembaca akhbar ini terus membaca akhbar sehingga mereka tidak berupaya membaca lagi. Tetapi keadaan ini beransur-ansur hilang apabila media sosial muncul.
Bayangkan betapa generasi pembaca akhbar ini mengumpul maklumat dan pengetahuan yang diperoleh dari membaca akhbar setiap hari sejak dari bangku sekolah. Mereka dapat gambaran bagaimana sesuatu kejadian atau isu berkembang sepanjang hayat pembaca itu.
Tetapi lebih penting lagi adalah penguasaan mereka dalam penggunaan bahasa Melayu. Di negara ini, semua warganegara mempelajari mata pelajaran bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Tetapi tentulah kemahiran berbahasa bergantung pada kekerapan penggunaannya. Mereka yang membaca akhbar bahasa Melayu setiap hari tentunya menguasai bahasa itu lebih baik. Ditambah pula jika seseorang iru membaca majalah bahasa Melayu setiap bulan dan sentiasa membaca buku.
Akhbar pula disediakan oleh karyawan yang kerjanya menulis setiap hari. Kemahiran menulis mereka tentulah lebih tinggi berbanding seseorang yang hanya kadangkala menulis. Pada akhbar pula. terdapat pelbagai peringkat bagi menghasilkan berita dan rencana yang baik. Ada pemberita, penulis, penyunting dan editor.
Bahasa yang digunakan dalam akhbar bahasa Melayu perlu baik, dari segi perkataan, nahu, beradab dan tidak bercampur dengan bahasa Inggeris supaya boleh difaham oleh semua lapisan masyarakat.
Bayangkan bagaimana pendidikan bahasa Melayu yang diterima oleh para pembaca akhbar secara harian. Ia pastinya mempengaruhi minda seseorang untuk menggunakan bahasa Melayu secara baik, sama ada dalam bentuk pertuturan atau tulisan.
Akhbar terdiri daripada berita dan rencana. Setiap bahagian akhbar seperti politik, jenayah, mahkamah, hiburan, antarabangsa dan sukan mempunyai gaya masing-masing yang menuntut pembaca memiliki kemahiran bahasa tersendiri untuk memahaminya.
Sebagai seorang pelajar sekolah yang baru mula membaca akhbar tentu berasa sukar memahaminya. Hanya setelah berulang kali membaca akhbar, maka kemahiran itu dikembangkan. Tetapi itupun hanya pada bidang-bidang yang diminati.
Apabila media sosial yang dimudahkan dengan adanya telefon pintar dan wifi muncul pada sekitar tahun 2010, sedikit demi sedikit media massa di negara ini tidak lagi dominan. Bermula dengan adanya Twitter, kemudian Facebook diikuti dengan YouTube, Instagram, Telegram, kumpulan WhatsApp dan paling popular kini ialah TikTok.
Para pelajar menjadi dewasa tanpa menjadi pembaca akhbar. Tarikan media sosial bukan saja disebabkan begitu banyak maklumat yang terkandung di dalamnya tetapi juga sifatnya yang memberi ketagihan kepada penggunanya hinggakan mereka tidak ada ruang masa dan kemampuan membaca akhbar, majalah dan buku. Orang dewasa juga meninggalkan membaca akhbar setiap hari. Tidak lagi kelihatan pesara membaca akhbar di kedai-kedai makan.
Bukanlah bererti akhbar telah pupus. Masih ada juga pembaca akhbar harian tegar tetapi ia tidak dominan seperti zaman sebelum 2010-an.
Maka dengan berakhirnya generasi pembaca akhbar harian, berkuranglah kemahiran membaca berita dan rencana. Kini ada orang berasakan sukar untuk menggunakan bahasa Melayu secara baik kerana kekurangan membaca bahan bacaan secara konsisten.
Perkara ini dapat dikesan dalam hantaran dan komen di platform-platform media sosial. Warganet seringkali menggunakan bahasa campuran Melayu-Inggeris kerana tidak dapat mengungkap sesuatu buah fikiran dalam bahasa Melayu. Ia juga ditulis dengan ejaan yang tidak betul dan menggunakan bahasa secara belasah saja, tanpa tertib apatah lagi adab.
Media sosial mendidik penggunanya untuk mengutamakan visual dan audio dengan pembacaan tulisan yang minimum. Generasi TikTok tidak akan selesa dengan tulisan-tulisan panjang.
Maka pada masa akan datang mereka yang mahir membaca berita dan rencana juga menjadi langka. _ Mingguan Malaysia