AKHIRNYA, pendakwah kontroversi Indonesia, Miftah Maulana Habiburrahman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Utusan Khas (Bahagian Kerukunan Beragama) Presiden Prabowo Subianto, pada Jumaat lalu.
Sama ada Miftah yang bergelar Gus ini berbuat begitu kerana dia berasa akan dipecat dan tidak mahu menunggu waktu itu atau secara berlapang dada, insaf dan malu dengan keterlanjurannya, saya fikir ini adalah satu-satunya jalan terbaik untuknya.
Beliau yang baru memegang jawatan tersebut pada 22 Oktober lalu, nyata tersilap langkah. Perbuatannya amat mengejutkan walaupun ada yang cuba menyelamatkan beliau, mengaitkannya dengan ‘lakonan’.
Tetapi itulah, walau apa pun sebagai seorang yang mengelar dirinya pendakwah, ilmu agama yang tinggi, sepatutnya turut menggunungkan adab. Akibat lisan yang tidak dijaga, perkataan ‘goblok’ yang keluar daripada mulutnya menjunamkan dia keluar daripada Kabinet Prabowo.
Setelah menghina seorang penjual minuman teh ais, Pak Sunhaji di khalayak ramai dalam majlis ‘Magelang Bersholawat’ di Kabupaten Magelang, Jawa Tengah dengan panggilan bodoh itu baru-baru ini, Miftah menerima kecaman hebat orang ramai dalam media sosial.
Akaun media sosialnya bukan saja diserang oleh warga tempatan tetapi juga netizen Malaysia. Semuanya amat simpati dengan penjual teh itu yang hanya tercegat berdiri dan berdiam diri mendengar penghinaan itu.
Apabila video berkenaan tular, ramai rakyat di Malaysia turut membuat pencarian di internet. Siapa Gus Miftah ini? Setelah melihat video itu, saya juga tertanya-tanya, betulkah dia ini seorang ulama? Gayanya seperti seorang pelawak yang melawak tak kena tempat.
Cara dia di pentas, mengejek, memperolok-olokan orang, membuat lawak keterlaluan, malah pernah juga menyekeh kepala isterinya dalam satu acara hiburan, tidak menunjukkan langsung dia seorang ulama.
Pendekatannya amat berbeza daripada ulama yang dikenali di negara itu – Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Khalid Basalamah.
Dan siapa pula orang di sebelah Miftah ketika majlis berselawat itu? Beria-ia benar dia turut mentertawakan penjual tersebut. Adakah dia agamawan jugakah? Sudahkah Presiden Prabowo yang berjiwa rakyat itu menegur perbuatannya juga?
Prabowo sejurus selepas tular cerita itu, telah menegur perbuatan Miftah dan menegaskan, beliau memandang tinggi dan menghargai setiap pekerja di jalanan, petani dan juga nelayan.
Sudah tentulah, menghina pekerjaan rakyat marhaen, memanggil gelaran yang memalukan tidak boleh diterima oleh sesiapa pun selagi kita bergelar manusia. Senyuman Pak Sunhaji itu tentu menutup rasa malu dan dukanya yang bergelut mencari rezeki untuk keluarga.
Apa pun pekerjaan yang halal, apabila ia mulia di sisi Tuhan, siapakah kita yang cuma hamba-Nya untuk memperlekehkannya?
Tetapi apa pun Miftah sudah mengakui kekhilafannya. Dia sudah meminta maaf kepada penjual teh itu dengan datang sendiri ke rumahnya.
Untungnya, kedatangan dan permohonan maaf Miftah disambut amat baik malah dipeluk oleh Pak Sunhaji.
Khabarnya, Pak Sunhaji sejak tularnya video itu, rumahnya dikerumuni orang ramai dan menerima banyak wang sumbangan termasuk ada yang mahu menajanya ke umrah, mendirikan rumah untuknya, membuka ruang untuknya berniaga dan membiayai kos sekolah dua orang anaknya.
“Minta maaf bapak, saya belum jadi seperti yang diharapkan,” kata Miftah menerusi siaran langsung yang disiarkan oleh CNN Indonesia ketika mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo di atas kesempatan yang diberikan kepadanya selama ini.
Tindakan meminta maaf dan mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan penting, jarang berlaku tak kiralah dalam arena politik atau dalam persekitaran pekerjaan kita.
Di negara ini pula, banyak perkara yang boleh selesai dengan hanya permohonan maaf. Selepas itu menghina lagi.
Diharapkan Miftah beroleh pengajaran daripada perbuatan yang bergurau ‘tidak kena tempat’ itu dan tidak lagi membuat perkara pelik-pelik lagi di pentas dengan motif mengajar agama.
Banyak pengajarannya di sini. Betapa tinggi ilmu dan jawatan akan musnah jika tiada adab. Siapa kata dunia sudah tidak peduli dengan adab di zaman ini? Adab akan tetap menang melawan orang yang biadab.
Di media sosial misalnya, walaupun ramai yang suka mengeluarkan komen-komen tiada adab apabila mengulas sesuatu isu, tetapi apabila timbul isu penghinaan, mempersendakan atau membuat lawak bodoh, orang ramai akan bersatu dan bersetuju, adab dan akhlak itu tetap nombor satu.
Sedangkan mereka pun ada waktunya sama, memanggil orang itu bodoh, bangang atau bahlol dalam ruangan komen. Tetapi bila terkena pada orang lain, keburukan itu baru benar-benar nampak.
Dan sebab itu juga, saya fikir kebanyakan kita tidak sukakan lawak-lawak tak tentu hala. Tak kiralah sama ada ia dilakukan oleh seorang penceramah, pemimpin politik atau pelawak yang suka menggunakan perkataan bodoh, bahlol atau seumpamanya ketika berucap atau membuat persembahan.
Apabila kata-kata sebegini diluahkan termasuk menggunakan body shaming sebagai bahan lawak, ia seperti merendahkan pemikiran atau IQ mereka sendiri.
Dan ternyata, apabila hal-hal membabitkan golongan ulama, ini adalah bola tanggung kepada yang ‘pakar’ mengutuk ulama di sini. Mereka juga ambil peluanglah. Tak pasal-pasal semua agamawan dan ulama di sini mahu dipalitkan sama. Semuanya dipukul rata penunggang agama.
Tak pasal-pasal juga dikait-kaitkan dengan hal-hal politik. Sudah-sudahlah. Politik mencaci dan mengaibkan ini dua kali lima saja. Mana-mana pun parti yang jadi pemerintah, masa jadi pembangkang begitu tetapi sudah jadi kerajaan mengharap dan menasihati pula pembangkang hentikan politik mencaci dan fitnah.
Apa pun, kesimpulannya tentang menjaga adab dan hormat dengan pekerjaan orang lain – jika tidak dapat menolong apa-apa, jangan sakiti hati orang yang sedang bergelut mencari nafkah. Pejuang nafkah adalah mulia di sisi Pencipta. Kita semua punya ‘peperangan’ dalam diri yang berbeza-beza.
Macam apabila terjumpa kucing atau anjing jalanan meminta makanlah, kalau tidak suka, jalan sajalah. Kenapa perlu disepak terajang haiwan ciptaan Tuhan itu. Susah sangatkah menjadi manusia yang beradab? – Mingguan Malaysia