Penjawat awam kerajaan pusat, kerajaan negeri perlu bekerjasama

Penjawat awam kerajaan pusat, kerajaan negeri perlu bekerjasama

Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika melancarkan Kursus Terbuka Dalam Talian H.E.M.A.T. dalam program Bitara INTAN di Kota Kinabalu, Sabah, pada 14 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN rasmi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ke Negeri Sabah pada 13 dan 14 November lalu telah membawa agenda penting dalam memperkukuhkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, memacu pembangunan mampan dan menanamkan nilai H.E.M.A.T. dalam kalangan penjawat awam. Lawatan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap rakyat Sabah, tetapi turut mengukuhkan asas bagi pembangunan yang terangkum dan berprestasi tinggi.

Bersempena lawatan rasmi ini, Wan Ahmad Dahlan telah menyampaikan ucapan kepada penjawat awam Sabah melalui program Bitara INTAN dalam “Bicara Aspirasi H.E.M.A.T.: Merealisasi Aspirasi Perkhidmatan Berprestasi Tinggi” yang menumpu kepada nilai-nilai H.E.M.A.T. sebagai gagasan dalam melakar Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam untuk diperkukuh sebagaimana saranan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Penerapan Nilai H.E.M.A.T.: Mengarusperdanakan Keprihatinan

Nilai H.E.M.A.T. (Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi, Telus Tadbiran) yang diperkenalkan pada bulan Februari lalu menjadi asas kepada reformasi sektor awam. Wan Ahmad Dahlan menegaskan, “Nilai H.E.M.A.T. ini dicipta supaya lebih bersifat personal dan mudah untuk diterapkan dalam tugasan harian. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membentuk perkhidmatan awam yang progresif, inklusif dan berdaya saing.”

Sebagai contoh, berdasarkan rekod Biro Pengaduan Awam, sehingga Ogos lalu, aduan rakyat di Negeri Sabah ini tertumpu kepada aspek kemudahan dan infrastruktur awam. Makanya, selaras dengan itu juga, dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan Ikhtiar 5 sebagai Pembangunan Terangkum. Ini bermakna pembangunan negara pada tahun depan akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Justeru, melalui ucapan Belanjawan 2025, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan pembangunan negeri Sabah sebanyak RM6.7 bilion untuk penyediaan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih. Selain itu, surat setuju terima (SST) bagi 17 buah pakej pembinaan jalan di bawah Fasa 1B Pan Borneo Sabah, termasuk jajaran Kota Belud-Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau bernilai RM9.7 bilion telah pun dikeluarkan. Ini tidak termasuk sejumlah peruntukan yang besar untuk menaik taraf prasarana daif sekolah-sekolah di Sabah.

Inilah, mengikut Wan Ahmad Dahlan, cerminan nilai ‘Empati Rakyat’ oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat negeri Sabah. Wan Ahmad Dahlan menegaskan, “Nilai ‘Empati Rakyat’ yang terkandung dalam H.E.M.A.T. jelas diterjemahkan melalui peruntukan ini. Kerajaan Persekutuan komited memastikan rakyat Sabah mendapat akses kepada infrastruktur asas yang penting untuk kesejahteraan.”

Untuk memastikan pelaksanaan semua perancangan untuk kepentingan rakyat yang terkandung dalam bajet besar yang diperuntukkan kepada pembangunan negara khasnya melalui Belanjawan 2025, termasuk di Sabah, ini maka peranan besar penjawat awam adalah diperlukan.

Seperti yang diseru oleh Wan Ahmad Dahlan, penjawat awam Sabah perlu memainkan peranan proaktif dalam menjayakan pembangunan negara dan aspirasi Sabah Maju Jaya. Penjawat awam tidak hanya pelaksana dasar tetapi juga agen perubahan yang mampu mencetuskan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, “Semua pegawai awam perlulah sentiasa mendukung agenda negara. Kita harus sentiasa berusaha untuk bersama-sama menggalas amanah yang diberikan. Untuk itu, saya menyeru kepada seluruh warga kerja perkhidmatan awam persekutuan di Negeri Sabah untuk sama-sama keluar dari zon selesa kita. Bersama-sama merencana inisiatif-inisiatif baharu dan menterjemahkannya dalam bentuk penyampaian perkhidmatan yang dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat.”

Bagi memastikan hal ini berlaku, maka penjawat awam Sabah perlu memastikan sinergi antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah sentiasa kukuh dan diperkemaskan dari semasa ke semasa. Pentingnya hubungan erat ini ditekankan oleh Wan Ahmad Dahlan melalui kata-katanya, “Kerjasama erat adalah kunci untuk memastikan dasar dan projek pembangunan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.”

Peranan Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Seri Rosli Isa, turut diapresiasi sebagai jambatan penting antara kedua-dua pentadbiran kerana kepimpinan beliau diyakini akan dapat membawa perkhidmatan persekutuan negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi selain menjadi jambatan antara pentadbiran kerajaan persekutuan dan pentadbiran kerajaan negeri.

Ke Arah Aspirasi Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya

Aspirasi Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya menjadi panduan utama dalam pelaksanaan dasar dan projek pembangunan. Kerajaan bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur, tetapi juga memperkukuhkan modal insan melalui penghayatan nilai-nilai seperti integriti, inovasi dan ketelusan.

Wan Ahmad Dahlan menutup ucapannya dengan menyeru penjawat awam Sabah untuk terus berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat. “Dengan izin Allah, kita mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” tegas beliau.

Salah satu momen penting dalam lawatan ini adalah program menyantuni pesara yang uzur di mana Wan Ahmad Dahlan menyampaikan bantuan dan keperluan asas kepada para pesara eKasih, pesara persekutuan dan balu yang merupakan cerminan prinsip ‘Empati Rakyat’ dalam nilai H.E.M.A.T., di mana kebajikan rakyat, termasuk pesara yang pernah berkhidmat untuk negara, sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Lawatan rasmi Wan Ahmad Dahlan ke Sabah membawa agenda yang jelas, membangunkan Sabah melalui kerjasama sinergi, penerapan nilai-nilai H.E.M.A.T. dan sokongan penuh kepada penjawat awam. Dengan peruntukan bajet yang besar, penjawat awam Sabah kini diberi tanggungjawab besar untuk merealisasikan aspirasi nasional dan negeri, sekaligus menjadikan Sabah sebagai model kejayaan pembangunan mampan.

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya