Memacu agenda pendidikan bumiputera - Utusan Malaysia

Memacu agenda pendidikan bumiputera

Apa yang paling penting, murid bumiputera sendiri mestilah meningkatkan azam dan kemampuan untuk berjaya. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023, bumiputera di negara ini mewakili 70.1 peratus daripada jumlah penduduk. Sebahagian besar bumiputera masih tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bumiputera adalah kumpulan etnik yang paling tinggi kadar kemiskinan mutlak di negara ini iaitu 85.2 peratus berbanding etnik Cina 3.9 peratus, India 9.4 peratus dan lain-lain 1.5 peratus.

Kemiskinan keluarga mempengaruhi prestasi pendidikan anak-anak kerana berdepan cabaran seperti kekurangan bahan pembelajaran, tiada sokongan pembelajaran tambahan seperti tuisyen dan persekitaran belajar yang tidak kondusif di rumah.

Laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 2020 pula menunjukkan murid dari keluarga berpendapatan rendah, (yang majoritinya tentulah bumiputera), cenderung untuk menunjukkan prestasi lebih rendah dalam ujian standard, kurang hadir ke sekolah, dan berisiko tinggi berhenti sekolah awal. Kajian oleh Khazanah Research Institute pada 2022 mengesahkan murid bumiputera paling ramai di dalam keluarga berpendapatan rendah.

Sementara itu, berdasarkan laporan PISA 2022, pelajar Malaysia secara keseluruhannya berada di kedudukan bawah purata antarabangsa dalam Matematik, Sains, dan Literasi Membaca. Walaupun data khusus murid bumiputera tidak dinyatakan, kita dapat fahami murid dari pedalaman dan keluarga berpendapatan rendah mencatatkan keputusan lebih rendah berbanding pelajar bandar dan keluarga berpendapatan tinggi.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2023 pula mendapati 25 peratus remaja dari keluarga berpendapatan rendah mengalami tekanan emosi. Kadar keciciran sekolah menengah dalam kalangan pelajar miskin juga lebih tinggi berbanding pelajar daripada keluarga berkemampuan.

Laporan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 menunjukkan graduan bumiputera menghadapi kadar pengangguran lebih tinggi berbanding bukan bumiputera. Pada 2022, laporan DOSM menunjukkan pengangguran graduan seramai 187,800 orang, dengan bumiputera mencecah 70.9 peratus berbanding Cina 17.8 peratus, India 6.4 peratus dan lain-lain 4.9 peratus. Selain itu, penyertaan bumiputera di dalam kerjaya profesional juga masih rendah.

Walaupun bumiputera membentuk lebih 70 peratus populasi Malaysia, penyertaan dalam kerjaya seperti arkitek, peguam, dan akauntan masih rendah berbanding bukan bumiputera.

Jurang yang ketara dalam sektor pendidikan dan kerjaya profesional antara bumiputera berbanding etnik lain mencerminkan cabaran struktural yang sedang dihadapinya serta kesan kepada pembangunan sosioekonomi mereka. Beberapa strategi berikut boleh dipertimbangkan dalam meningkatkan prestasi pendidikan bumiputera.

Pertama, memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak bumiputera. Pendidikan awal penting untuk memastikan mereka mendapat asas kukuh dalam pembelajaran. Contohnya, membuka lebih banyak pusat asuhan dan tadika dengan tenaga pengajar yang terlatih, terutamanya di kawasan pedalaman dan berpendapatan rendah, untuk memastikan kanak-kanak bumiputera mendapat permulaan yang baik dalam pendidikan mereka.

Kedua, memperluaskan akses internet di luar bandar dan menyediakan komputer atau peranti kepada murid bumiputera dari keluarga kurang berkemampuan. Pada 2022, kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati lebih daripada 50 peratus rumah di pedalaman Sabah dan Sarawak mempunyai akses internet yang terhad atau tiada langsung.

Ketiga, memperbanyakkan tuisyen kepada murid keluarga miskin terutamanya di luar bandar. Program ini sangat membantu murid bumiputera yang ketinggalan dalam mata pelajaran tertentu. Kerajaan atau badan bukan kerajaan boleh menyediakan tuisyen percuma khusus untuk mata pelajaran mencabar seperti Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris.

Keempat, menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan lebih menyeluruh. Bantuan kewangan adalah faktor utama dapat membantu murid bumiputera meneruskan pendidikan ke peringkat tinggi. Kerajaan boleh memperluaskan program biasiswa dan bantuan kewangan yang sedia ada, khususnya kepada pelajar bumiputera yang cemerlang tetapi daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Contohnya, biasiswa untuk kursus-kursus kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, dan teknologi maklumat boleh diperuntukkan kepada pelajar bumiputera yang berpotensi.

Kelima, mempertingkatkan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melatih pelajar bumiputera dengan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri. Institusi TVET yang lebih moden dan canggih perlu dibangunkan di luar bandar untuk memberi peluang kepada bumiputera yang tidak memilih laluan akademik konvensional.

Keenam, meningkatkan kesedaran ibu bapa supaya peka dengan kepentingan pendidikan. Program seperti Sarana Ibu Bapa telah membantu meningkatkan penglibatan mereka dalam pendidikan anak-anak. Bagaimanapun, ibu bapa di sekolah pedalaman belum terlibat secara aktif. Mereka biasanya menghadapi kekangan untuk disebabkan oleh faktor kemiskinan atau kekurangan kesedaran tentang peranan mereka dalam pendidikan anak-anak.

Ketujuh, menambah guru terlatih di luar bandar. Kualiti guru berperanan besar dalam kejayaan akademik. Ramai murid bumiputera di luar bandar memerlukan bimbingan guru terlatih khususnya dalam subjek kritikal Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Strategi terakhir adalah meningkatkan Program Kesihatan Mental dan Sokongan Emosi secara berkala kepada murid bumiputera yang dikenal pasti berisiko untuk keciciran pendidikan. Kesihatan mental yang baik adalah asas kepada prestasi akademik yang baik. Oleh itu, menyediakan program sokongan mental seperti kaunseling dapat membantu murid mengurus tekanan dan menanamkan keyakinan diri.

Secara keseluruhannya, data-data di atas menunjukkan langkah-langkah sokongan tambahan diperlukan untuk mereka mendapat peluang yang sama dalam mencapai kejayaan akademik. Apa yang paling penting, murid bumiputera sendiri mestilah meningkatkan azam dan kemampuan untuk berjaya. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf pendidikan, tetapi menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya