DALAM pejam celik, pergi kerja, balik kerja, letih melilau cari tempat letak kereta atau subuh-subuh lagi sudah beratur panjang untuk menaiki pengangkutan awam, rupa-rupanya dalam tempoh sebulan lebih lagi kita akan memasuki tahun baharu 2025 pula.
Begitu pantas masa berjalan. Rasanya baru saja kita menyambut tahun 2024, sudah nak sambut tahun baharu lagi.
Tak tahulah kalau ada pula yang merasakan masa cukup lama bergerak bagaikan merangkak. Selalunya orang yang tidak berbuat apa-apa sangat atau mempunyai banyak masa lapang saja merasakan perjalanan masa itu bagaikan ditahan-tahan.
Tetapi apa pun, masa tidak menunggu kita. Peredarannya meningkatkan usia. Senang cakap, kita semua semakin tua.
Maka soalan paling popular atau lazim setiap hujung tahun – Sudah tercapaikah azam yang dibuat pada awal Januari lalu? Apakah pencapaian yang telah diraih setakat ini dalam tempoh beberapa hari berbaki tahun 2024 ini?
Sudah berjaya kuruskah kalau azam mahu kurus atau sudah berapa wang yang berjaya disimpan sehingga hari ini jika menabung adalah azam tahun 2024 atau sudah berjayakah hidup dengan sifar hutang?
Apa pun tentunya bagi kebanyakan kita, kos sara hidup adalah perkara utama untuk ditangani tahun berganti tahun dan bebanan hutang adalah salah satu isu terbesarnya.
Dan ini menimbulkan lagi satu persoalan besar, bolehkah kita hidup dengan sifar hutang? Sedangkan separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang bank.
Siapa yang tidak pernah berhutang bank? Membeli rumah, aset dan kenderaan memerlukan pinjaman bank. Kerajaan pun menanggung hutang mentadbir negara, inikan kita, rakyat yang mentadbir keluarga. Orang kaya pun berhutang, membuat pinjaman berjuta ringgit di bank, inikan yang berpendapatan sederhana atau rendah.
Hakikatnya, bukan semua hutang itu tidak baik. Hutang membeli rumah atau aset adalah perkara baik, lebih-lebih lagi nilai aset itu akan meningkat pada masa hadapan.
Punya kenderaan sendiri juga, satu keperluan. Jangan kata, tidak perlu beli sebab tidak mahu berhutang. Tidak ramai boleh membeli kenderaan secara tunai.
Kebanyakan penduduk di negara ini mula berhutang di awal usia 20-an iaitu selepas memasuki alam pekerjaan dan ia melarat-larat sampai ke usia persaraan.
Dalam pada itu, peminjam juga ramai yang bankrap kerana tidak mampu membayar hutang.
Berdasarkan statistik terkini Jabatan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdi), individu berusia antara 35 hingga 44 tahun paling tinggi diisytiharkan bankrap dengan jumlah 18,454 kes diikuti golongan umur 45 hingga 54 tahun iaitu 12,752 kes dan golongan muda iaitu 25 hingga 34 tahun (10,302 kes).
Sejak 1967, had keberhutangan maksimum yang dibenarkan untuk mengisytiharkan seseorang sebagai bankrap telah meningkat secara mendadak. Bermula dengan RM2,000 pada tahun itu, ia meningkat kepada RM100,000 pada tahun 2020.
Perubahan ini menandakan bahawa kadar hutang semakin meningkat seiring dengan kos hidup yang semakin tinggi, sekali gus meningkatkan risiko kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, hutang isi rumah Malaysia telah meningkat daripada RM1.53 trilion pada 2023 kepada RM1.57 trilion setakat Jun tahun ini. Jumlah itu, bersamaan dengan 83.8 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jenis pembiayaan terbesar hutang isi rumah adalah membabitkan pinjaman perumahan iaitu merangkumi 61 peratus diikuti pinjaman kenderaan (13.5 peratus), pembiayaan peribadi (12.4 peratus) dan pinjaman lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya.
Kata Menteri Kewangan itu, kerajaan akan terus memantau tahap keberhutangan isi rumah dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012. Dasar ini bertujuan mengawal kadar hutang individu dengan lebih baik dan memastikan pinjaman diberikan secara bertanggungjawab.
Tahukah kita, hutang isi rumah Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ASEAN? Pada 2021, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Thailand, ketiga Singapura, keempat Indonesia dan Filipina di tempat kelima.
Dalam situasi ini, Bank Negara Malaysia (BNM) memelihara kestabilan kewangan dengan memantau dan mengawal aktiviti pinjaman bagi semua institusi kewangan di Malaysia.
Selalunya bank akan memberikan pinjaman kepada peminjam yang benar-benar layak dan berkemampuan membayar berdasarkan gaji bulanan dan dokumen-dokumen sokongan lain.
Yang menjadi masalahnya, apabila perbelanjaan isi rumah bertambah akibat peningkatan kos sara hidup. Kebanyakan harga barang naik termasuk makanan dan perkhidmatan. Maka gaji yang melayakkan untuk meminjam itu, bakinya tidak cukup untuk menampung seluruh perbelanjaan bulanan.
Pada masa sama, harga rumah semakin meningkat dan kurangnya rumah mampu milik untuk dibeli. Skim pembiayaan bank juga tidak bersifat fleksibel kepada yang berpendapatan rendah.
Dan bagaikan menyimbah luka dengan air panas, ia ditambah pula jika berlaku lagi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). Siapa kata peminjam bank tidak terjejas?
Negara ini juga terus dihambat dengan isu gaji tidak setimpal yang memburukkan lagi keadaan peminjam bank untuk melangsaikan hutang sedangkan untuk memakmurkan dan mensejahterakan rakyat, kadar upah pekerja adalah isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Tidak boleh dinafikan ramai juga yang berbelanja tidak mengikut kemampuan. Pinjaman bank satu hal. Ada yang suka berhutang dengan cara beli dulu bayar kemudian (Buy now pay later) melalui pembelian secara online. Ini antara tarikan besar menambah hutang.
Pengurusan wang dan hutang adalah ilmu yang perlu ada dalam diri semua orang selain belajar pandai di sekolah atau di universiti dan kolej. Mempunyai wang yang banyak kena ada ilmu mengurus wang, yang tidak berduit sangat, bergaji rendah pun kena pandai mengurus wang.
Jadi, berbalik pada azam menabung tahun ini, bagi saya sekecil-kecil jumlah yang mampu disimpan juga pencapaian yang boleh dianggap kejayaan daripada tidak ada langsung. Tetapi itulah, kebanyakan kita menganggap kejayaan itu hal yang besar-besar saja, yang kecil-kecil tak nampak dan tidak diraikan.