Isu permit kerja di Sarawak: Kenapa tergesa-gesa?

Isu permit kerja di Sarawak: Kenapa tergesa-gesa?

sarawak
Kerajaan Sarawak tidak akan membenarkan lagi individu atau entiti luar menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negeri itu bagi tujuan bekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menegaskan tidak akan membenarkan lagi individu atau entiti luar menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negeri itu bagi tujuan bekerja atau menjalankan aktiviti ekonomi jelas akan mengeruhkan hubungan Sarawak dengan Semenanjung.

“Syarikat-syarikat luar jika mahu datang ke Sarawak, walaupun ia syarikat minyak dan gas, perladangan atau sebagainya tetapi tidak mempunyai permit, mereka tidak akan dibenarkan berada di sini.

“Begitu juga pekerja, tidak kira mereka jurutera atau sebagainya, jika mereka bukan rakyat Sarawak dan masuk bekerja di Sarawak, mereka harus mendapatkan permit kerja, kita akan sangat tegas dalam perkara ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, baru-baru ini. (Suara Sarawak, 19 November 2024).

Bagaimana jika saya bercadang hendak melebarkan perniagaan nasi lemak di Sarawak, berkunjung dua tiga hari untuk membantu saudara saya membuka gerai dan memberi tunjuk ajar bagaimana membuat sambal, bahan dan sajian-sajian lain bagi tujuan jualan.

Jadinya saya perlu mengisytiharkan tujuan kedatangan saya bagi mendapatkan permit kerja membantu saudara berniaga.

Kita faham jika isu permit kerja ditekankan sebagai menjaga keselamatan negeri Sarawak daripada pengaruh anasir-anasir asing yang menggugatkan keamanannya.

Tetapi apa sebenarnya motif di sebalik ketergesaan dalam penegasan isu permit kerja ini? Sudahlah isu pertikaian kawasan minyak dan gas antara kedua-dua pihak masih berlarutan, tidakkah isu permit kerja akan menyulitkan lagi keadaan?

Membuat kenyataan-kenyataan seperti ini di media tidak akan menyelesaikan masalah malah memuramkan lagi keadaan.

Ia akan menyukarkan urusan pekerjaan misalnya bagi yang datang sebagai doktor pakar, konsultan, penasihat, jurulatih, koordinator atau pemeriksa selama beberapa hari kerana perlu mendapatkan permit berstatus sebagai entiti luar atau rakyat bukan Sarawak dari Semenanjung ketika berada di bumi Kenyalang.

Adakah jika anda ditahan tidak mempunyai permit kerja anda akan dicap sebagai “PATI” (Pendatang Asing Tanpa Izin) oleh pihak imigresen di Sarawak?

Kenyataan tegas seperti ini seolah-olah menunjukkan wujudnya sebuah “negara dalam negara”. Kemungkinan akan ada operasi pihak imigresen Sarawak menjalankan operasi menangkap rakyat bukan Sarawak dari Semenanjung yang PATI di Sarawak.

Dalam kenyataan Abdul Karim yang memberikan contoh syarikat-syarikat luar jika mahu datang ke Sarawak, walaupun ia syarikat minyak dan gas, perladangan atau sebagainya tetapi tidak mempunyai permit jangka pendek, mereka tidak akan dibenarkan berada di sini, terfikir pula adakah ia merupakan petunjuk atau tanda bahawa pada masa akan datang kepakaran kejuruteraan dan cari gali minyak dari Petronas tidak akan diperlukan di Sarawak lagi?

Kemungkinan juga ialah kehadiran mereka akan dikurangkan dan lama kelamaan Petronas tidak ada pililhan lain melainkan menghentikan segala operasinya yang akan diambil alih sepenuhnya oleh Petros, syarikat minyak Sarawak.

Adakah ia adalah strategi bagi mengehadkan penglibatan Petronas di Sarawak?

Birokrasi seperti ini akan meregangkan hubungan Sarawak dengan Semenanjung yang akan ditanggapi dengan negatif antara kedua-dua pihak dan boleh melemahkan semangat Federalisme.

Di manakah semangat federalisme yang dijunjung dan Malaysia Madani yang disanjung?

Bagaimanakah pelaburan yang diuruskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) hendak masuk ke Sarawak jika banyak red tape arau kerenah bikrokrasi berhubung dengan pemberian permit kerja kepada pegawai kerajaan Persekutuan dari Semenanjung?

Ia akan menyekat pembangunan dan kemajuan Sarawak. Contohnya kenyataan Premier Sarawak, Abang Johari Openg bahawa Sarawak memerlukan jurutera untuk menyokong pengeluaran komponen untuk pemasangan pesawat tempatan.

Beliau turut menekankan potensi negeri itu untuk menghasilkan pesawat sendiri, lapor Borneo Post.

Tidakkah ini akan membantutkan keperluan tenaga kerja dan kemajuan Sarawak? Adakah permit kerja kecemasan akan dikeluarkan?

Kerenah-kerenah sang politikus bumi kenyalang dengan autonomi melampau seolah-olah tidak menghormati kerajaan Pusat! Pengaliran kerja antara Kerajaan Pusat dan Sarawak menjadi sukar dan berjalan tidak lancar.

Di mana kefahaman mereka terhadap Madani di Hati Rakyat Di Santuni?
Sejauh manakah peranan Timbalan Perdana Menteri, Kerajaan Madani Dato’’ Sri Haji Fadillah Yusof, untuk mencari persamaan dan menyelesaikan pertelingkahan dengan sentiasa berunding dalam isu-isu seperti permit kerja ini?

Politikus-politikus Sarawak diharap dapat menghayati Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tampuk pemerintahan negara, pada November 2022, isu Perjanjian Malaysia 1963 menjadi fokus utama agenda kerajaan Madani.

Dengan dasar dan pelaksanaan yang lebih manusiawi, Anwar telah menunjukkan komitmen dalam menunaikan janji kerajaan dalam membaiki hubungan antara Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan serta memastikan hak kedua-dua negeri diperbetulkan.

Di bawah naungan Malaysia Madani, tujuh daripada 11 tuntutan utama MA63 telah berjaya diselesaikan, suatu pencapaiaan yang menakjubkan.

Antara pencapaian terbesar ialah pemindahan kawalan bekalan gas kepada Sabah dan Sarawak yang akan meningkatkan potensi ekonomi setempat.
Di samping itu, penetapan Jabatan Kerjaraya Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal.

Kejayaan menyelesaikan isu MA63 menunjukkan kerajaan Persekutuan menghargai peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

Secara keseluruhannya, pencapaian yang dicapai Anwar sepanjang dua tahun ini dalam menyelesaikan MA63 adalah langkah proaktif ketika berdepan dengan kerenah sang politikus Borneo dan pertikaian-pertikaian yang perlu diatasi. Harap jangan pula diberi betis hendak peha pula!

  • Ismail Hashim Yahaya
  • Pemerhati geopolitk dan perhubungan antarabangsa
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN