Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000 - Utusan Malaysia

Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000

statistik itu tidak semestinya menggambarkan makin ramai tidak mahu berkahwin, tetapi mungkin juga sukar mencari pasangan. - Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKALANYA, saya suka ‘menyakat’ seorang pekerja di kios minuman yang saya sudah biasa berbual dengannya setiap kali memesan teh kurang gula di situ. Saya agak usia dia mungkin dalam lingkungan awal 30-an.

Soalan lazim saya kepadanya, kenapa dia tidak kahwin-kahwin? Selalunya dia menjawab dengan tersengih-sengih – belum jumpa lagi orang yang betul-betul cantik.

Tetapi pada hari itu, dia ada jawapan baru pada soalan itu. Katanya – “ Kak, gaji minimum RM1,500 tapi hantaran kahwin lebih RM15,000. Tahun depan gaji minimum RM1,800 nanti hantaran naik lebih RM20,000 pula. Berapa tahun punya simpan baru dapat kahwin?

“Hantaran mahal-mahal nanti dah kahwin makan di kedai juga. Bila gaduh sikit, masuk Facebook,” jawabnya dengan penuh bersemangat. Macam lepas geram saja bunyinya. Ok lain kali, saya tidak mahu tanya lagi.

Memang sekarang ini, majlis perkahwinan tidak seperti dulu. Gah, diadakan di dewan-dewan besar atau hotel, ada perancang majlis, makanan ditempah dan lain-lain. Dulu kenduri kahwin buat di halaman rumah saja. Bergotong-royong. Masak bersama-sama penduduk setempat.

Mungkin kejiranan dulu tidak sama dengan sekarang. Tidak mengenali sangat siapa duduk di sebelah rumah. Ada jiran yang pantang letak kereta depan rumah mereka sekejap, sudah screenshot gambar kereta. Masuk dalam grup WhatsApp penduduk.

Adakah sebab hantaran mahal antara punca makin ramai orang bujang di negara ini tidak mahu berkahwin?

Hantaran perkahwinan saja sudah mencecah belasan dan puluhan ribu, sepatutnya wang sebanyak itu boleh digunakan untuk perbelanjaan rumah tangga nanti.

Pada masa sama, kos sara hidup semakin meningkat. Apabila keluarga semakin membesar, kedudukan kewangan tentulah menjadi semakin mencabar.

Jadi, ‘siling’ gaji berapa yang layak untuk berkahwin? Kalau gaji rendah kenalah cari pasangan yang memahami. Sanggup susah senang bersama. Tetapi selalunya, masa bercinta lain, semua sanggup. Makan sepinggan, minum segelas. Bila sudah kahwin, mana cukup makan sepinggan dalam sehari!

Perlu diingat, faktor kewangan adalah punca nombor satu perceraian di negara ini bukan curang.

Baru-baru ini dilaporkan kadar perkahwinan di negara ini menurun 12.5 peratus kepada 188,100 pada 2023 berbanding 215,0222 pada 2022. Penurunan ini menyebabkan Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) menurun daripada 6.6 kepada 5.7 bagi setiap penduduk.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peratusan orang Islam yang tidak berkahwin juga lebih tinggi iaitu meningkat kepada sebanyak 16.8 peratus pada 2023 atau 140,176 orang berbanding 2022 atau 168,467.

Perkembangan itu membimbangkan kerana kurangnya kadar kelahiran yang bakal menyebabkan negara kekurangan sumber manusia pada masa depan.

Saya fikir, statistik ini tidak semestinya menggambarkan makin ramai tidak mahu berkahwin, tetapi mungkin juga sukar mencari pasangan. Macam susah cari kerja jugalah.

Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an yang juga masih belum berkahwin, bercerita kepada saya, dia bukan tidak mahu berkahwin, tetapi ramai lelaki ingat dia sudah ada pasangan.
Iyalah, dia cantik, bergaya dan lemah lembut. Dalam hati saya, tak akanlah orang sebegini rupa tidak dapat memikat hati sesiapa.

Tetapi itulah, mungkin orang lelaki ingat dia sudah berteman atau takut untuk mendekati kerana bimbang kos yang tinggi kerana melihat penampilannya sebegitu. Bagaimanapun, katanya, dia hidup gembira walaupun belum berkahwin.

“Bangun tidur pukul berapa, nak balik rumah pukul berapa, nak pergi mana-mana. Tiada halangan. Kalau berkahwin kita pun tak tahu dapat menikmati kehidupan seperti ini lagi,” katanya.

Dia juga setuju, kalau mahu berkahwin, kena cari lelaki yang pekerjaannya terjamin dan berpendapatan tinggi. Katanya, perkahwinan bukan untuk menyusahkan isteri mahupun suami.

Dalam pada itu, katanya, ada juga lelaki yang mencari isteri bergaji tinggi kerana mahu senang, goyang kaki semuanya disediakan isteri. Mahu ambil kesempatan. Lelaki begini juga ramai.

Bagaimanapun, dia tidak setuju, makin ramai yang tidak mahu berkahwin kerana katanya banyak saja laman web cari jodoh menjadi tumpuan ramai ketika ini. Ramai yang sanggup bayar yuran untuk menyertai laman web sebegitu untuk mencuba mendapatkan pasangan hidup. Siapa yang tidak mahu berkahwin?

Bagaimanapun, saya rasa rata-rata mungkin setuju, media sosial juga membuatkan makin ramai rasa bimbang untuk berkahwin. Berita cerai-berai selebriti, setiap minggu, setiap bulan, membuatkan orang muda risau walaupun mereka bukan artis.

Apatah lagi, yang bukan artis atau kawan-kawan dalam media sosial pun, sibuk mencanang cerita rumah tangga sendiri. Para isteri terutamanya, kalau bergaduh, sindir-sindir dan mengata suami di media sosial. Tak payahlah memalukan diri sendiri.

Dan sebagai ibu bapa juga, sudah tentu kita mahu anak lelaki atau anak perempuan kita mempunyai persediaan yang cukup untuk melayari bahtera rumah tangga. Selain bersedia daripada segi kewangan, ilmu agama, bab munakahat pun wajib didalami dan difahami.

Apa pun yang muda, tetap akan jadi tua juga nanti. Bila tidak punya keluarga sendiri, ibu bapa pun sudah lama meninggalkan kita, siapa akan menemani dan menjaga dalam usia warga emas itu?

Kerjaya tidak bersama kita di hujung usia, biarpun sehebat mana dulu kita bekerja, kita boleh diganti dan dilupakan. Kawan-kawan juga begitu. Sifir hidup sememangnya begitu. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya