DATUK Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022. Minggu ini, genap dua tahun kepimpinan beliau menerajui Kabinet Perpaduan yang mempelopori konsep Kerajaan Madani.
Sepanjang dua tahun itu, tentunya rakyat selalu bertanya – “Apakah rekod pencapaian Kerajaan Madani dalam memperkasakan sektor pendidikan negara? Apatah lagi, Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara selepas rakyat keluar daripada pandemik Covid 19.
Penulisan ini berhasrat meneliti keupayaan Kerajaan Madani di dalam menjayakan sistem pendidikan negara. Bagaimanapun, tentulah tidak adil menilainya dalam tempoh hanya dua tahun, sedangkan untuk melihat keberhasilan sektor pendidikan serta kemenjadian murid, perlukan tempoh masa lebih panjang.
Bagaimanapun, ada baiknya jika kita dapat menilai komitmen dilakukan Kerajaan Madani sepanjang dua tahun lalu. Antara aspek utama menjadi perhatian adalah infrastruktur, pengupayaan teknologi digital, pencapaian penguasaan literasi dan STEM, pendidikan TVET, bantuan Pendidikan dan sokongan untuk murid berkeperluan khas.
Pada 2023, dari RM393.8 bilion jumlah belanjawan, Kerajaan Madani memperuntukkan RM 70.5 bilion untuk sektor pendidikan iaitu RM55.2 bilion pada KPM dan RM15.3 bilion untuk KPT. Seterusnya pada 2024, RM58.7 bilion diperuntukkan untuk KPM dan RM16.3 bilion untuk KPT menjadikan peruntukan untuk sektor pendidikan meningkat RM75 bilion. Seterusnya, pada 2025 nanti, RM64.1 bilion disediakan untuk KPM dan RM18 bilion KPT menjadikannya meningkat lebih RM82 bilion untuk sektor pendidikan.
Kedua, tentang komitmen Kerajaan Madani kepada pembinaan sekolah baharu. Bermula dengan hanya peruntukan membina 11 sekolah pada 2023 kemudian bertambah 26 sekolah dengan peruntukan RM2.5 bilion khususnya di Sabah, Sarawak, Pahang, Perak dan Kelantan. Pada 2025 nanti, kerajaan meluluskan peruntukan membina 44 sekolah. Selain itu, peruntukan penyelenggaraan sekolah juga ditambah khususnya menaik taraf sekolah luar bandar dan pedalaman.
Pada 2024, RM1.9 bilion diperuntukkan untuk menaiktaraf sekolah daif dan penyelenggaraan merangkumi RM930 juta bagi bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah merangkumi 185 di Sarawak dan 155 di Sabah manakala lebih RM1 bilion lagi disediakan untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah termasuk pendidikan khas. Pada 2025, peruntukan sekolah daif dan penyelengaraan sekolah juga ditingkatkan RM2.5 bilion.
Ketiga, KPM memperkenalkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) pada pertengahan 2023, yang memfokuskan pada usaha meningkatkan kecekapan digital pelajar dan guru. Sebenarnya, usaha ini bermula lebih awal melalui platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Malah pencapaian inisiatif DELIMa mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Keempat, sejak dua tahun lalu penekanan kepada keperluan literasi dan STEM diberikan perhatian lebih besar. Sebagai contoh pada Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan peruntukan khas RM100 juta untuk melaksanakan program mengurangkan isu keciciran literasi 3M khususnya di sekolah rendah. Selain itu Kerajaan Madani juga menyediakan peruntukan RM100 juta untuk meningkatkan penglibatan murid dalam program STEM.
Kelima, antara pencapaian paling ketara sepanjang dua tahun lalu adalah menjayakan aliran pendidikan TVET (Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional). Pada 2024, RM6.5 bilion disediakan untuk memperkasakan aliran TVET. Seterusnya 2025 nanti, peruntukan TVET ditambah kepada RM7.5 bilion.
Keenam, membaharui tekad program Bantuan Pendidikan untuk murid-murid dari keluarga miskin. Sebanyak 17 inisiatif bantuan disediakan untuk membantu murid-murid keluarga miskin mendapat bantuan kewangan, makanan tambahan, uniform sekolah, buku dan sebagainya. Malah kriteria pendapatan untuk bantuan biasiswa juga diperluaskan.
Ketujuh, komitmen juga diberikan kepada murid berkeperluan khas. Misalnya, belanjawan 2024, RM180 juta diperuntukan untuk pembangunan 18 blok pendidikan khas baru, dengan RM30 juta lagi untuk peralatan pendidikan khas dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
MELANGKAH KE HADAPAN
Pencapaian sistem pendidikan Kerajaan Madani sejak dua tahun lalu menunjukkan komitmen baik tetapi masih terdapat cabaran perlu ditangani. Pertama, meningkatkan keseimbangan akses dan kualiti pendidikan. Walaupun terdapat usaha memperbaiki sekolah di pedalaman, tidak dinafikan jurang kemudahan pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar masih wujud. Ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam kualiti pendidikan.
Seterusnya keperluan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan khas. Murid berkeperluan khas masih menghadapi halangan dari segi akses kepada pendidikan berkualiti dan sumber yang sesuai. Walaupun terdapat peruntukan, tidak dinafikan cabaran dari segi pelaksanaan pendidikan masih nyata.
Bagi meningkatkan infrastruktur dan keseimbangan akses pendidikan, disarankan agar diwujudkan pasukan audit bebas. Pasukan ini boleh melaksanakan audit infrastruktur di semua sekolah untuk mengenal pasti keperluan segera, terutamanya di pedalaman. KPM boleh menggunakan data pasukan audit bebas ini untuk mengutamakan peruntukan dana yang disediakan.
TIDAK KONSISTEN
Prestasi murid Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) masih ketinggalan berbanding negara lain. Murid di negara ini masih menunjukkan kelemahan dalam literasi membaca, matematik, dan sains. Prestasi dalam literasi matematik, sains, dan membaca belum menunjukkan peningkatan ketara berbanding negara lain, menunjukkan perlunya penekanan lebih kuat dalam pendidikan asas ini. Walaupun kurikulum diubah untuk memasukkan KBAT, ia tidak konsisten. Sebahagian guru masih belum mahir dengan kaedah ini.
Kurikulum masa depan perlu menekankan kemahiran seperti pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi, dan kolaborasi. Kecekapan digital juga akan menjadi teras, mempersiapkan murid pelajar untuk menghadapi dunia yang semakin canggih dari segi teknologi. Malah pada masa depan, sistem pembelajaran akan lebih menjurus kepada amalan pendidikan berasaskan projek dan inkuiri.
Murid akan lebih terlibat dalam pembelajaran berasaskan projek penyelesaian masalah yang menghubungkan teori dengan aplikasi praktikal.
Secara keseluruhan untuk dua tahun pertama ini, komitmen Kerajaan Madani kepada usaha pemerkasaan sistem pendidikan negara berada pada tahap memuaskan khususnya dalam infrastruktur. Malah fokus utama kerajaan kepada bantuan yang lebih besar kepada murid miskin, membangunkan lebih banyak sekolah serta perhatian kepada pengukuhan aliran TVET amat dialu-alukan rakyat.
DR. ANUAR AHMAD ialah Felo Bersekutu, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM)