Kita lahir di sini, tanah Semenanjung Emas. Segenap penduduknya menuturkan bahasa Melayu, bahasa rumpun Melayu-Polinesia yang sebarannya menjangkau dari Pulau Easter ke Madagaskar dan dari Taiwan ke utara New Zealand. Bahasa itu menjadi bahasa perdagangan seluruh alam Melayu seawal abad ke 16, bahasa rasmi pentadbiran, bahasa pengungkapan ilmu dan kearifan tempatan, dan menjadi bahasa yang merakamkan sejarah tamadunnya seawal 682 Masihi.
Semenanjung Emas terus megah berdiri menjadi Semenanjung Tanah Melayu, dijajah dan merdeka serta bersatu menjadi Malaysia. Sepanjang jalan sejarahnya, pelbagai bangsa datang melalui berbagai-bagai jalan yang ditakdirkan. Namun bahasa Melayu terus berkembang di tanahnya sendiri dan diangkat menjadi bahasa kebangsaan negara yang merdeka pada 1957.
Pemilihan bahasa kebangsaan merupakan langkah penting untuk membina sesebuah negara. Mahatma Gandhi dalam Hind Swaraj, membenarkan peri pentingnya bahasa yang sama demi memupuk perpaduan menerusi komunikasi di antara pelbagai budaya di negara India yang akan merdeka daripada British. Bahasa Hindi seyogia diangkat menjadi bahasa kebangsaan untuk mempromosikan kebersamaan dan mencitrakan nilai identiti sepunya dalam kalangan rakyat India.
Kepercayaan itu membuahkan hasil jua memudahkan pemahaman, kerjasama, serta membantu merapatkan jurang antara pelbagai komuniti. Nilai bahasa menjadi unsur penting dalam membina kesedaran nasional yang kolektif.
Pemilihan bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatu daripada sekian banyak dialek tempatan di China yang terbentuk daripada faktor sejarah, politik, dan sosial, termasuk kemerosotan Dinasti Qing yang mendorong keperluan untuk bahasa penyatuan, gerakan pembaharuan bahasa yang menyokong pengiktirafan Mandarin sebagai bahasa standard, dan dasar pendidikan yang menggalakkan penggunaannya di sekolah-sekolah. Selepas penubuhan Republik Rakyat China, kerajaan melaksanakan pelbagai reformasi, termasuk dalam bidang pendidikan dan bahasa, untuk mempromosikan Mandarin (Putonghua) sebagai bahasa standard bagi tujuan komunikasi dan integrasi di seluruh negara melalui Guoyu Yuyan Shijian De Jueding.
Selain itu, ada juga pengaruh daripada cendekiawan dan reformis bahasa yang menyokong usaha ini untuk meningkatkan literasi dan persatuan dalam kalangan rakyat China. Sedar ruang dan faham nilai bahasa Mandarin dipromosikan dalam urusan rasmi dan media sebagai simbol kemodenan dan identiti nasional.
Kita adalah pewaris Malaysia yang berjabat erat walaupun berlainan latar belakang keturunan dan kepercayaan, begitulah juga dengan budaya dan bahasa ibunda masing-masing kekal hidup dalam harmoni. Sumber kekayaan; keanekaan budaya dan kepelbagaian bahasa yang bebas kita tuturkan, pelajari dan amalkan dalam kehidupan seharian adalah perbezaan istimewa yang mewarnakan Malaysia.
Dalam kepelbagaian, bahasa kebangsaan terus menjadi jambatan yang menghubungkan kita semua sebagai simbol bitara bahawa kita semua adalah rakyat yang lahir, membesar dan dewasa dalam satu negara yang sama, bangga berkongsi bendera yang sama dan menyanyikan lagu kebangsaan yang seni kata dan iramanya sudahpun mendarah daging.
Selaras dengan tata bernegara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi bahasa bagi semua maksud rasmi, iaitu bagi apa-apa maksud kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Semua urusan yang berkait dengan pelaksanaan apa-apa hasrat kerajaan sama ada dikendalikan oleh pihak kerajaan, swasta mahupun masyarakat awam, perlulah menggunakan bahasa kebangsaan.
Bait-bait Rukun Negara adalah ikrar untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai cita-cita negara. Prinsip ketiga dalam Rukun Negara memberikan aku janji kesetiaan kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh tidak meletakkan bahasa kebangsaan pada tempatnya sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negara.
67 tahun negara mencapai kemerdekaan, mengapa cinta kepada negara yang memberikan kedamaian hidup dan kemakmuran ekonomi yang kita nikmati, yang didambakan oleh rakyat negara lain yang kurang bernasib baik perlu diletakkan syarat? Negara tidak meminta kemewahan kita.
Sebaliknya, kita perlulah meletakkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya. Walaupun di satu sudut bergema Tok Janggut 13 Liang, Cinta Ahmad Mutawakkil, Nilamsari, Di Sebalik Topeng, Megat Terawis, Cicit Wan Lebo, Kopi Pangku, Lantai T. Pinkie malah anak-anak mengajak Ayuh Ke Muzium di seberang tambak, citra apakah yang cuba diungkapkan oleh Malaysia Techlympics 2024 ke October BIG Day, TMP20204-Promising Perak, Program MYHackathon 2024, COMSEC Fun Hike ‘KABAT BUKIT MARAS’, Program Cashless Society, Malaysia International Tourism Expo 2024 (MITE), dan Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge: Road To HSN 2024 yang mengusarkan bahasa jiwa bangsa.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini juga masih terdapat papan iklan di premis perniagaan yang meminggirkan bahasa kebangsaan sehingga terpaksa diberi peringatan mesra bahkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak yang berwewenang.
Busana bangsawan sulam suasa,
Sulam berbunga daun keladi;
Bahasa kebangsaan warisan bangsa,
Santun tuturnya berhias budi.
Buah pulasan masaknya merah,
Isinya mengkal tidak berpangsa;
Bahasa kebangsaan citra maruah,
Budi dan akal tamadun bangsa.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diberikan tanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan perlu jua mengadaptasi kemajuan teknologi dalam menyediakan wadah terbaik untuk mengangkat kandungan mahupun memperkembang bakat insan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).
AI dikenal pasti dapat memelihara bahasa dan sastera Melayu khususnya pembangunan model bahasa besar bagi penandaan, penterjemahan mahupun mentranskripsikan dialek Melayu, di samping pengukuhan penguasaan tatabahasa. Sumber-sumber bahan dan data yang dimiliki oleh DBP yang dapat dimanfaatkan melalui AI dalam usaha memetakan pembangunan leksikon bahasa Melayu dan pembangunan masa depan bahasa dan sastera Melayu sejagat. Sayangi bahasa, sayangi negara.
Dr. Hazami Jahari ialah Ketua Pengarah DBP