SETIAP kali musim percutian, kita sering dilaporkan bahawa negara jiran seperti Thailand, menerima kemasukan pengunjung yang luar biasa jumlahnya dari negara ini. Atas tarikan tertentu, contohnya makanan dan hotel yang lebih murah, Hat Yai contohnya menjadi destinasi wajib pergi bagi segelintir rakyat kita.
Bagaimanapun, setiap negara perlu ada pengurusan krisis pelancongan di mana apabila sesuatu insiden luar jangka berlaku, pihak berkuasa dapat menanganinya secara efisien dan meyakinkan.
Insiden tanah jerlus yang melibatkan seorang pelancong dari India di Kuala Lumpur baru-baru ini memberikan tamparan hebat kepada imej pelancongan negara. Lebih membimbangkan lagi ia berlaku di tengah-tengah destinasi pelancongan pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Mungkin kita tidak melihat implikasinya untuk jangka masa pendek, tapi kesannya umpama bom jangka yang barangkali satu hari nanti akan menghancurkan industri pelancongan negara.
Kita semua sedia maklum industri pelancongan adalah salah satu sektor ekonomi paling dinamik di dunia. Namun, industri ini juga terdedah kepada pelbagai krisis, termasuk bencana alam, insiden keselamatan, wabak penyakit, dan krisis politik.
Maka pengurusan krisis dalam industri pelancongan sangat penting bagi memastikan kelangsungan, keselamatan, dan reputasi destinasi pelancongan serta kesejahteraan pelancong dan penduduk setempat berada pada tahap terbaik.
KURANGKAN IMPAK
Selain insiden yang menimpa pelancong India di Kuala Lumpur baru-baru ini, insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu dan Ranau Sabah pada 5 Jun 2015, menyebabkan kematian 18 pendaki, termasuk pelancong asing dari Singapura, Jepun, dan China adalah antara contoh yang menggugat reputasi pelancongan negara. Kejadian ini menarik perhatian dunia dan menimbulkan isu keselamatan pendakian serta prosedur kecemasan di kawasan pelancongan itu.
Dalam hal ini pengurusan krisis dan proses komunikasi yang berkesan dapat membantu mengurangkan kesan ini dengan memastikan tindak balas yang cepat dan terkawal. Sekiranya berlaku bencana alam seperti gempa bumi atau banjir di kawasan pelancongan umpamanya pihak berkuasa dan pengusaha destinasi tersebut perlu segera melaksanakan pelan tindakan kecemasan.
Ini termasuk menyalurkan maklumat tepat dan sahih kepada pelancong dan penduduk setempat, menyediakan laluan keluar yang selamat, dan memastikan sokongan logistik seperti pengangkutan dan bantuan perubatan disediakan dengan segera.
Bila berlaku krisis akibat bencana alam atau apa sahaja, semua pihak ingin menjadi champion dalam memberikan cerita, pandangan dan komen walaupun tanpa sumber sahih. Dalam situasi tanah jerlus yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini, kita dapat lihat pelbagai spekulasi dibuat netizen sehingga ada yang mengatakan Kuala Lumpur sudah tidak selamat untuk dikunjungi kerana struktur tanah batu kapurnya yang tidak kukuh.
Penyebaran maklumat yang tidak sahih tanpa pengesahan daripada pihak berautoriti ini bukan sahaja akan menyebabkan salah faham dalam kalangan masyarakat malah ia secara tidak langsung bakal menimbulkan kebimbangan untuk pelancong yang datang ke destinasi tersebut.
Dalam situasi krisis seumpama itu, penyebaran maklumat yang cepat dan tepat adalah sangat penting. Pelancong perlu dimaklumkan mengenai situasi semasa, langkah-langkah keselamatan, dan tindakan yang perlu diambil. Maklumat yang salah atau lambat bukan sahaja boleh menyebabkan panik malah menjejaskan keselamatan pelancong serta reputasi destinasi tersebut.
Justeru, kita perlukan satu proses komunikasi krisis berkesan yang merupakan elemen penting dalam pengurusan krisis. Pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pengendali produk pelancongan perlu mewujudkan satu pusat komunikasi bersepadu bagi menyalurkan informasi segera dengan menggunakan saluran komunikasi seperti media sosial, laman web rasmi, dan pusat maklumat.
REPUTASI
Bila sebut soal reputasi pelancongan, kita tidak boleh berkompromi lagi. Reputasi yang baik merupakan aset penting dalam industri pelancongan khususnya dalam usaha kita menarik kunjungan pelancong. Untuk itu pengurusan krisis yang cekap termasuk dalam usaha untuk memulihkan imej destinasi selepas krisis berlaku.
Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan cara melibatkan penyertaan media dalam memberikan liputan positif tentang langkah-langkah pemulihan, serta menjalankan kempen pemasaran yang menekankan bahawa destinasi tersebut selamat untuk dikunjungi. Selain itu mekanisme perhubungan awam yang baik juga boleh membantu memulihkan keyakinan pelancong dan mempercepatkan proses pemulihan industri pelancongan di destinasi itu.
KESELAMATAN
Bagi memastikan imej pelancongan negara sentiasa baik faktor keselamatan dan keselesaan pelancong haruslah diutamakan. Pelancong yang berhadapan dengan krisis perlu berasa dalam keadaan selamat dan dilindungi. Ini memerlukan tindakan segera dari pihak berkuasa, termasuk evakuasi cepat dan teratur, penyediaan bantuan perubatan, dan sokongan emosi bagi yang terjejas.
Selain itu, pengurusan krisis juga perlu melibatkan penyediaan latihan dan persediaan awal bagi kakitangan industri pelancongan untuk menangani situasi kecemasan. Latihan ini boleh membantu mereka bertindak balas dengan tenang dan berkesan apabila berhadapan dengan krisis, seterusnya memastikan pelancong diberikan bantuan yang sewajarnya.
Industri pelancongan perlu sentiasa kalis krisis dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis pada bila-bila masa. Pihak kerajaan menerusi MOTAC khususnya boleh membangunkan Jawatankuasa Khas atau Pusat Pengurusan Krisis Pelancongan dan Pengurusan Risiko yang melibatkan penilaian terhadap potensi ancaman, perancangan langkah pencegahan, dan pelaksanaan simulasi krisis secara berkala.
Menerusi persediaan rapi, destinasi pelancongan dapat bertindak dengan lebih pantas dan berkesan apabila krisis sebenar berlaku. Apa yang paling utama kebajikan pelancong sentiasa terpelihara dalam situasi krisis berlaku.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, persediaan dan pengurusan krisis yang kukuh adalah kunci kepada kelangsungan dan kejayaan jangka panjang industri pelancongan.
Datuk Azlie Halim ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Timbalan Pengerusi Malaysia International Tourism Development Association ( MITDA)