Tokoh kaum India yang sukar dicari ganti - Utusan Malaysia

Tokoh kaum India yang sukar dicari ganti

2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUN Samy Vellu adalah Presiden MIC yang keenam. Meninggal dunia pada 15 September tahun 2022 yang mana tarikh itu terus dikenang oleh masyarakat India bagi memperingati tokoh yang banyak berjasa bukan sahaja kepada kaum itu, tetapi juga negara.

Sumbangan Samy Vellu dalam sosio politik negara cukup besar sama ada yang membabitkan isu sosial, ekonomi, politik mahupun pendidikan.

Perjuangannya untuk memartabatkan ekonomi kaum India di negara ini misalnya berterusan hingga ke nafas terakhir mendiang dan antara kejayaannya yang akan terus terpahat dalam ingatan rakyat negara ini ialah penubuhan AIMS universiti di Kedah.

Mendiang juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe di Seremban yang memberi fokus kepada memartabatkan pendidikan dalam kalangan masyarakat India.

Samy Vellu juga adalah penggerak kepada penubuhan MIED yang memberi geran dan pinjaman kepada pelajar kaum India melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kejuruteraan , ekonomi dan teknologi maklumat.

Mendiang memang terkenal sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati walaupun tegas. Dalam kalangan pengamal media, Samy Vellu adalah segelintir pemimpin yang memiliki karakter tersendiri yang menjadi trademark beliau sebagai pemimpin berkaliber.

Hubungannya dengan media sentiasa mesra tetapi pada masa yang sama tegas terutama yang membabitkan isu masyarakat India dan kementerian yang diwakili mendiang.

Maklumat dan butiran seolah-olah berada di hujung jari. Kementerian yang paling sinonim dengan mendiang adalah Kementerian Kerja Raya yang mana di bawah kepemimpinannya menyaksikan pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan dengan isu utama adalah tol.

Walaupun ia isu panas tetapi Samy Vellu mampu menyelesaikan dan mampu merasionalkan kemarahan rakyat hingga ada yang menggelar beliau dengan panggilan Samy Tol. Pada beliau itu semua tidak mengapa asalkan kepentingan yang membabitkan rakyat dikompromi.

Sebab itu, ada yang mengatakan ‘Samy Vellu sentiasa mempunyai jawapan kepada semua benda’.
Parlimen Sungai Siput adalah medan perjuangan mendiang sejak dari awal penglibatannya dalam politik. Sumbangan dalam politik negara terutama dalam mengekalkan perpaduan kaum cukup besar.

Walaupun pada akhirnya mendiang gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas lapan penggal, tetapi peranan beliau dalam menjadi jambatan perpaduan antara kaum India dan kaum-kaum lain di negara ini cukup besar.

Kerana kelantangan dan ketokohan Samy Vellu maka calon-calon India diberi peluang bertanding dalam setiap pilihan raya umum walaupun di kawasan yang majoritinya bukan kaum India.

Mendiang menggunakan hubungannya dengan UMNO dan MCA sebagai jambatan bukan sahaja tujuan perpaduan kaum, tetapi bagi memastikan kaum India mempunyai jumlah wakil rakyat yang selayaknya sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN)

Sebab itu juga, Samy Vellu dihormati sama ada oleh kawan atau lawan. Di Dewan Rakyat gaya debat mendiang sentiasa menjadi tumpuan. Mendiang tidak ada masalah untuk berhadapan dengan apa juga soalan sama ada daripada pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Segala itu berkaitan dengan kementeriannya dijelaskan berdasarkan fakta dan angka yang kadang-kadang menyebabkan pembangkang malu sendiri dengan apa yang ditegaskan mendiang.
Sebab itu, mendiang Samy Vellu adalah antara tokoh yang popular di Parlimen. Sosoknya sentiasa jadi perhatian. Hujah dan jawapannya sentiasa dinanti-nantikan dan cara mendiang menyampaikan hujah menarik perhatian.

Dalam arena politik, Samy Vellu adalah wajah MIC. Ini terbukti apabila selepas beliau, belum ada pemimpin MIC lain yang benar-benar dapat menyamai ketokohan mendiang itu.

Mendiang ialah individu yang sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi. Sebab itu sentiasa berpegang kepada prinsip tiada rakyat tiada kerajaan. Dalam apa juga keadaan rakyat mesti diutamakan kerana itu adalah teras kewujudan demokrasi dan kerajaan.

Dalam hubungan antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pula terutama dengan UMNO, mendiang berpegang kepada prinsip karam dan berenang bersama.

Kerana itu tidak ada istilah tikam belakang walaupun ketika UMNO dilanda krisis perlembagaan hingga menyebabkan parti Melayu itu dibubarkan pada tahun tahun 1987. Malah MIC di bawah pimpinan Samy Vellu dan MCA terus mempertahankan semangat setiakawan hingga UMNO baharu ditubuhkan.

Di Kementerian Kerja Raya, prestasi mendiang cukup membanggakan. Sampai ke hari ini walaupun kepimpinan kementerian itu bersilih ganti, namun ia cukup sinonim dengan Samy Vellu.

Sebabnya, mendiang terlibat dalam banyak keputusan dan perubahan penting melibatkan kementerian itu. Selain pembinaan lebuh raya, di bawah pentadbiran mendiang juga menyaksikan penswastaan Lembaga Elektrik Negara (LLN) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Telekom kepada Telekom Malaysia dan kini TM serta Perkhidmatan Pos Malaysia.

Samy Vellu juga antara individu penting di sebalik idea Malaysia perlu memiliki satelit sendiri yang menyaksikan peluncuran Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT) pada 1996.

Antara Samy Vellu dan rakyat tidak jurang. Mendiang mewujudkan ruang khas untuk menemui rakyat terutama untuk golongan miskin dan yang memerlukan bantuan mengemukakan masalah mereka.
Inilah Samy Vellu, tokoh pemimpin MIC dan kaum India yang sehingga kini terus dikenang.

Tarikh pemergian mendiang sentiasa diingati melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan sama ada oleh parti atau individu yang menghargai jasa dan sumbangan mendiang kepada rakyat negara.

Seperti kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak: “Saya tidak pasti sama ada dalam 1,000 tahun lagi kita akan mempunyai seorang lagi Samy Vellu.”

Peruji Perumal ialah Penolong Pengarang Malaysia Nanban dan seorang penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya