Pembangunan tanpa kawalan berisiko tanah runtuh - Utusan Malaysia

Pembangunan tanpa kawalan berisiko tanah runtuh

KEADAAN tanah runtuh di Taman Melawati, ekoran hujan lebat berterusan yang melanda di ibu negara, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejadian tanah runtuh sering dikaitkan dengan hujan lebat yang berpanjangan. Memandangkan sekarang adalah musim peralihan monsun, maka hujan lebat semakin kerap berlaku. Kejadian tanah runtuh sering menyebabkan kerosakan harta benda dan membahayakan nyawa terutamanya mereka yang berada di lokasi berisiko kejadian tanah runtuh seperti kawasan berbukit atau lereng.

Hujan lebat berterusan menjadikan tanah sangat tepu dengan air. Air akan memasuki rongga-rongga tanah menyebabkan struktur geologi menjadi longgar dan berat tanah bertambah, ini akan mengurangkan kestabilan tanah bercerun lalu berlakunya tanah runtuh.

Air hujan yang mengalir deras di permukaan tanah juga boleh menyebabkan hakisan tanah berlaku.
Di kawasan yang mempunyai cerun curam atau tidak dilindungi dengan baik oleh tumbuh-tumbuhan, hakisan lebih mudah berlaku, mengurangkan daya ikat tanah dan mengakibatkan tanah runtuh.

Selain itu, risiko tanah runtuh bertambah di kawasan cerun berpasir, ini kerana tanah berpasir tiada kemampuan untuk menahan air. Tanah berpasir yang basah mudah terlerai dan menjadi sangat tidak stabil lalu mencetuskan tanah runtuh.

Aktiviti penebangan hutan, pembangunan tanpa kawalan, dan pemotongan cerun untuk pembinaan jalan atau bangunan tanpa kaedah yang betul juga meningkatkan risiko tanah runtuh apabila hujan lebat. Vegetasi adalah penting untuk menahan tanah, dan apabila ia dihapuskan, tanah menjadi lebih mudah runtuh.

Semua pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi kerajaan serta masyarakat perlu memainkan peranan dan mengambil tindakan yang melibatkan kesedaran, pencegahan, dan perlindungan untuk mengurangkan kesan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat.

Bagi mengurangkan risiko tanah runtuh, cerun atau kawasan berbukit tidak boleh dibiarkan terdedah tanpa tumbuhan menutup bumi. Tumbuhan, terutama pokok, memainkan peranan penting dalam menahan tanah dan mencegah hakisan. Akar pokok membantu memegang tanah, mengurangkan risiko tanah menjadi longgar.

Oleh itu, PBT dan orang awam perlu menjaga kawasan hutan dan tidak melakukan penebangan pokok tanpa kawalan. Selain itu, penanaman pokok di lereng bukit juga perlu bagi membantu menstabilkan tanah.

Sistem saliran air hujan yang baik perlu dibina dan dikekalkan di kawasan cerun. Saliran air hujan yang berfungsi dengan baik boleh mengelakkan air bertakung di kawasan cerun. Air yang terkumpul dapat meningkatkan kelembapan tanah hingga menyebabkan tanah menjadi tepu dan akhirnya runtuh.

Komuniti perlu memastikan longkang dan saliran sentiasa bersih daripada sampah dan halangan. PBT harus mengelakkan pembinaan rumah, bangunan, atau infrastruktur di kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh, seperti lereng bukit yang curam.

Penilaian geoteknikal perlu dilakukan sebelum sebarang projek pembangunan dilaksanakan bagi memastikan pembinaan adalah selamat.

Masyarakat perlu peka terhadap tanda-tanda awal tanah runtuh seperti rekahan di tanah, pokok yang mula condong, aliran air yang keruh, atau bunyi retakan.

Jika tanda-tanda ini diperlihatkan, penduduk harus segera melaporkan kepada pihak berkuasa dan berpindah ke tempat yang selamat.

Masyarakat perlu dididik tentang risiko dan tindakan kecemasan bagi mengurangkan kesan kejadian tanah runtuh.

Program kesedaran mengenai risiko tanah runtuh dan tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan harus dianjurkan oleh pihak berkuasa. Masyarakat perlu tahu langkah-langkah menyelamatkan diri, termasuk laluan evakuasi, tempat berkumpul, dan siapa yang perlu dihubungi jika berlaku tanah runtuh.

Dinding penahan juga perlu dibina di kawasan yang berisiko tinggi berlaku kejadian tanah runtuh. Struktur penahan seperti dinding konkrit, dan tembok penstabil perlu dibina untuk menyokong cerun yang curam. Ini dapat membantu menghalang tanah daripada runtuh.

Komuniti boleh membantu mengurangkan aliran air yang deras di kawasan cerun dengan membina teres atau tanggul kecil yang memecahkan aliran air, sekali gus mengurangkan hakisan tanah. Teknik ini juga boleh mengelakkan air daripada mengalir dengan kuat ke arah kawasan berisiko.

Masyarakat perlu proaktif dalam melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat aktiviti pembangunan yang mencurigakan, seperti pemotongan cerun atau pembinaan tanpa kelulusan. Ini boleh mengelakkan risiko lebih besar akibat pembangunan yang tidak selamat.

Selain itu, sekiranya kedapatan tanda-tanda awal kejadian tanah runtuh akan berlaku terutamanya jika ia dikesan selepas hujan lebat, masyarakat perlu segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Orang ramai perlu menghubungi pihak berkuasa dan agensi kecemasan bagi melaporkan tanda tanah runtuh serta mengikut arahan pihak berkuasa tempatan jika ada pengumuman amaran tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Dengan tindakan ini, masyarakat boleh membantu mengurangkan risiko tanah runtuh dan melindungi diri daripada bencana tersebut yang berlaku disebabkan oleh hujan lebat.

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Norhidayu Kasim ialah Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya