Kenapa sampai perlu ditembak? - Utusan Malaysia

Kenapa sampai perlu ditembak?

Anjing jalanan bernama Kopi yang tular di media sosial kerana berkawan dengan seekor kucing dan disenangi penduduk ditembak mati oleh pihak berkuasa tempatan di Terengganu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akta Kebajikan Haiwan 2015 mendefinasikan ‘haiwan’ di bawah Seksyen 2, akta tersebut sebagai apa-apa makhluk hidup selain manusia dan termasuk apa-apa haiwan, burung, haiwan akuatik, reptilia atau serangga tetapi tidak termasuk hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Secara umum definisi yang diterima pakai untuk kebajikan haiwan pula telah pun ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE). OIE adalah suatu organisasi di antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1924 dengan keanggotaan daripada 178 negara yang diwakili oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar dari setiap negara sebagai delegasi kebangsaan.

OIE mendefinisikan kebajikan haiwan sebagai bagaimana sesuatu haiwan yang dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran di mana dia berada.

Haiwan boleh dikatakan berada dalam tahap kebajikan yang tinggi bila mana (berdasarkan indikasi bukti saintifik) dia sihat, selesa, mendapat bekalan makanan dan nutrisi yang cukup, selamat daripada sebarang bentuk ancaman, dapat mempamerkan corak kelakuan semulajadi, dan dalam keadaan tidak menanggung sebarang kesakitan, derita, dan tekanan.

Tahap kebajikan haiwan yang tinggi memerlukan kawalan penyakit dan rawatan perubatan veterinar, tempat penginapan yang bersesuaian, pengurusan, nutrisi, pengendalian secara berperikemanusiaan, dan penyembelihan/pembunuhan yang berperikemanusiaan.

Kebajikan haiwan merujuk kepada keadaan haiwan tersebut; manakala layanan yang diterima oleh haiwan dirangkumi dalam terma lain seperti penjagaan haiwan, pengurusan haiwan dan juga layanan secara berperikemanusiaan.

Intipati di atas antaranya adalah haiwan harus dan wajib diberikan layanan secara keberperikamanusian.
Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah menyatakan di bawah Seksyen 29 berkaitan perbuatan perbuatan yang menganiaya haiwan dan di bawah Seksyen 30 menyatakan pembunuhan haiwan perlu menurut peruntukan Akta itu.

Akta Haiwan ini meliputi dua kategori haiwan:
 Haiwan peliharaan
 Haiwan terbiar
Sementara itu, bagi mereka yang melakukan kesalahan juga dibahagikan kepada:
 Pemilik (pemunya)
 Mana-mana orang

Baru-baru ini ada berita seekor anjing yang tular di media sosial dengan panggilan ‘Kopi’ yang sering dilihat menemani dan bermain dengan seekor anak kucing mati akibat ditembak oleh pihak Majlis Daerah Besut (MDB). Kejadian itu membangkitkan rasa tidak puas hati orang ramai berbilang kaum.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu telah menyatakan tindakan mereka adalah menurut Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing 1990 (Majlis Daerah Besut).

Jika dilihat di bawah Aturan 9 sememangnya ada kuasa pihak MDB mengambil tindakan terhadap haiwan lebih daripada umur tiga bulan dijumpai lepas bebas di tempat awam dan mana-mana anjing yang berpenyakit yang bukan di bawah rawatan veterinar merampas dan membinasakan anjing tersebut tetapi tidak ada peruntukan undang-undang bahawa MDB boleh membinasakan haiwan menggunakan senjata api di tempat awam.

Jika dilihat pula Undang-undang Kecil Haiwan Merayau Majlis Perbandaran Besut 1988 memang ada kuasa untuk menembak haiwan di bawah Aturan 6 tetapi definisi haiwan di bawah undang-undang kecil ini lebih menjurus kepada haiwan ternakan yang merayau.

Sebagaimana definisi haiwan di bawah aturan 2 yang menyatakan haiwan termasuklah kuda, lembu sapi, kerbau, kambing biri-biri, gajah termasuk lah ayam itik, ayam Turki angsa dan burung dan lain-lain ternakan.

Tindakan membunuh haiwan adalah termaktub di bawah Akta Kebajikan Haiwan yang menyatakan seperti berikut: Seksyen 30 (1) – Tidak seorang pun boleh membunuh dengan menembak dengan senjata api mana-mana anjing, kucing atau mana-mana bintang lain yang ditetapkan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta melainkan jika dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam kecemasan atau bagi maksud kawalan penyakit.

Pembunuhan mana-mana haiwan dilarang melainkan untuk:
 Bagi maksud untuk dimakan oleh manusia
 Haiwan yang mengalami sakit yang tidak dapat dirawat dan diperakui oleh seorang veterinar
 Pembunuhan yang disifatkan perlu bagi menamatkan penderitaan haiwan
 Pembunuhan untuk mencegah bahaya yang sudah nyata kepada kehidupan atau anggota badan manusia.
 Bagi maksud kawalan populasi
 Pembunuhan yang diluluskan oleh jawatankuasa etika haiwan bagi tujuan penyelidikan ujian dan pengajaran
 Pembunuhan bagi apa-apa sebab yang ditentukan oleh pihak veterinar

Berdasarkan perkara ini dan dibaca bersama undang-undang kecil MDB, adalah amat tidak sesuai tindakan menembak itu dilakukan di tempat awam dan undang-undang kecil berkaitan pelesenan anjing tidak menyatakan penghapuskan anjing boleh dilakukan dengan menembak. Dan berdasarkan definisi Pertubuhan Kebajikan Haiwan Sedunia tindakan dan layanan lebih berkemanusiaan perlu diambil bagi menangani masalah seperti yang berlaku pada anjing-anjing yang tidak berlesen.

Undang-undang perlu digubal dengan jelas bagaimana haiwan membinasakan harus dilakukan dan bukan sekadar bergantung kepada budi bicara Yang Dipertua Majlis.

Isu membinasakan anjing bukan saja melibatkan MDB tetapi juga banyak PBT kawasan lain. Majlis-majlis ini akan menjalankan kuasa di bawah undang-undang kecil mereka dan mengetepikan peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Saya berpendapat bahawa banyak lagi cara untuk dilakukan demi mengimbangi kepentingan awam dan kepentingan haiwan.

Terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan pencinta haiwan yang boleh bekerjasama dalam perkara ini dan bukan mengambil jalan singkat dengan menembak haiwan. Jika diteruskan maka Akta Kebajikan Haiwan 2015 akan menjadi hiasan semata-mata dan tidak mencapai hasrat undang-undang ini digubal.

Surah al-An’am ayat ke 38: Dan tidak seekor pun haiwan yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat seperti kamu juga. Tidak kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Manusia walaupun apa latar belakang dan agama seharusnya melayan haiwan dengan penuh rasa kemanusiaan, haiwan juga mahu hidup dan dilindungi daripada segala perbuatan bahaya dan penganiayaan.

DATUK Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya