Hormati bahasa kebangsaan - Utusan Malaysia

Hormati bahasa kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majlis Bulan Bahasa Kebangsaan di Ipoh pada 6 Oktober lalu mendapat sambutan yang baik. Ia dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai persatuan bahasa, sastera dan budaya dari seluruh negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan yang amat memberangsangkan.

Beliau menyebutkan bahawa rakyat Malaysia perlu ada kesedaran kerakyatan dengan meletakkan bahasa kebangsaan di tempat utama dalam komunikasi di tanah air.
Sikap sebahagian daripada golongan elit yang mengetepikan bahasa kebangsaan dikritik keras. Kata Perdana Menteri, mereka itu taasub dengan bahasa Inggeris.

Sesiapa yang mendengar ucapan tersebut dengan rapi, pasti akan memahami maksudnya dengan tepat. Perdana Menteri tidak menolak penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa lain, kerana keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa adalah kelebihan.

Lagipun, bahasa Inggeris terutamanya perlu dipelajari oleh sesiapa yang terpilih atau memilih belajar di universiti-universiti luar negara.

Perkara yang menerima kecaman daripada beliau adalah sikap xenosentrisme (xenocentrism), iaitu kepercayaan bahawa bahasa luar lebih hebat dan lebih bertamadun daripada bahasa utama di tanah air sendiri. Perkara ini, disebut oleh Perdana Menteri dengan jelas.

Kepercayaan bahawa bahasa luar – khususnya bahasa Inggeris – lebih bertamadun, pada dasarnya bertolak daripada pengaruh zaman penjajahan.

Namun, perlu juga disedari, penjajahan tidak negatif sepenuhnya, kerana sejumlah hal atau perkara yang berkaitan kemodenan dibawa ke sini.

Asimilasi budaya dan sastera dialami oleh masyarakat Melayu sebahagiannya bersebabkan kehadiran pengaruh luar yang datang dalam zaman penjajahan. Rakyat tempatan berpeluang bersekolah dalam zaman penjajahan, dan hasilnya mereka yang berbakat besar mencapai kedudukan yang baik.
Perlu disebutkan, walaupun tokoh-tokoh berkenaan mendapat ruang dan peluang, mereka tetap berjuang menuntut kemerdekaan.

Tokoh-tokoh ASAS 50, iaitu antara lain Afrini Adham, Keris Mas, Usman Awang, Asraf, dan beberapa lagi, memperjuangkan kemerdekaan melalui penghasilan karya sastera. Mereka tidak selesa berada di bawah pemerintahan penjajah.

Dalam hal bahasa kebangsaan, Asraf yang terkemuka. Beliau mempelajari tatabahasa dengan teliti, sehingga berupaya menghasilkan makalah yang bernas tentang frasa dan ayat bahasa Melayu.
Mungkin kebanyakan orang tidak tahu, bahawa Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, tokoh bahasa terkini, ialah murid Asraf.

Pada era terkini, bahasa kebangsaan hendaklah dipertahankan berasaskan pemikiran semasa. Negara akan maju jika rakyatnya bersatu padu dalam segala hal, termasukkan penjagaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan. Tidak perlulah diulangi penyebutan negara-negara maju di dunia.

Anwar juga ada menyebutkan bahawa usaha untuk maju dalam bahasa lain jangan sampai ke tahap meminggirkan bahasa kebangsaan. Bahasa Kebangsaan amat berpotensi bagi menyatukan rakyat Malaysia.

Jadi, golongan elit yang cenderung mengetepikan bahasa Melayu perlu mengubah sikap. Sikap memandang rendah terhadap bahasa negara tentulah menyeleweng daripada semangat kebangsaan.
Dalam kalangan hadirin, ada yang kurang memahami perkara yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

Oleh itu, beberapa hari setelah majlis berakhir, ada respons daripada pihak tertentu yang menampakkan kekeliruan.

Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak sekali-kali memuatkan atau mencadangkan sikap anti bahasa lain.

Hakikat ini telah lama diketahui atau difahami. Kecintaan terhadap bahasa kebangsaan seharusnya berada dalam diri setiap rakyat Malaysia tanpa perlu dituntut atau digesa.

Namun, oleh sebab peristiwa-peristiwa dan fenomena tertentu dalam negara, kita mendapati pada masa ini kecendrungan berbahasa Inggeris (dan berbahasa mengikut kaum) telah kelihatan bersahaja dan tidak dirasai aneh.

Ertinya, kecenderungan berbahasa Inggeris dan berbahasa mengikut kaum kelihatan wajar.
Namun, usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak, terutama Dewan Bahasa dan Pustaka, universiti-universiti, persatuan-persatuan bahasa, dan beberapa pihak lagi, berjaya pada tahap tertentu dalam memperkuat kecintaan kepada bahasa kebangsaan.

Perlu difahami bahawa teguran Anwar bermaksud mencadangkan agar golongan elit berubah sikap. Tentulah hasilnya tidak akan bersifat segera. Dalam jangka masa yang agak panjang, kita yakin akan muncul sikap baharu.

Pelajar-pelajar universiti akan memperoleh pekerjaan, dan sebahagian daripada mereka akan berada dalam goongan elit. Jika mereka memperlihatkan kecintaan yang mendalam terhadap bahasa kebangsaan, maka akan kelihatanlah kumpulan elit mempunyai sikap baharu.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri tidak bernada paksa. Beliau memberi teguran dan saranan. Beliau sedar, apa-apa pun jika dipaksa, akan kelihatan palsu. Peminggiran bahasa lain, jika disarankan, akan kedengaran sebagai paksaan.

Oleh itu, Perdana Menteri menyatakan ideanya daripada pandangan realis, iaitu beliau tidak anti mana-mana bahasa. Rakyat hendaklah tahu bahasa yang utama.
Selain segi bahasa, rakyat Malaysia telah lama bersikap berbaik sangka dengan orang luar.

Kita sedar, pada satu ketika sejumlah rakyat kelihatan menjadi golongan anglofilia (anglophilia), iaitu terlampau menyenangi apa-apa sahaja yang bersifat kebaratan. Dalam kamus, ‘anglofilia‘ ditafsirkan ‘menyenangi budaya England‘.

Kesimpulan maksud ucapan Perdana Menteri adalah beliau tidak mencadangkan pandangan remeh terhadap Bahasa Inggeris, di samping itu beliau tidak pula mengagung-agungkan bahasa itu. Bagi beliau bahasa kebangsaan tidak berada di bawah bahasa Inggeris.

Sudah tentu, kenyataan beliau mengenai fakta bahasa kebangsaan ini tidak perlulah dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan individu.

Bahasa-bahasa itu penting sebagai bahasa ilmu, dan dalam konteks yang berlainan, Bahasa kebangsaan penting kerana merupakan penanda kesatuan rakyat, dan wajib dihormati kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152 Fasal (1).

DATUK Rahman Shaari ialah Sasterawan Negara yang Ke-15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya