Gangguan seksual - Jangan tanya kenapa ‘terpilih’, bersuaralah! - Utusan Malaysia

Gangguan seksual – Jangan tanya kenapa ‘terpilih’, bersuaralah!

Seringkali apabila kes gangguan seksual, cabul atau rogol dilaporkan di media sosial, banyak komen yang menyalahkan mangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN ketika ini sudah ada lelaki yang ‘berani’ tampil membuat aduan bahawa mereka juga menjadi mangsa gangguan seksual, wanita tetap paling banyak menjadi golongan yang tidak ‘pasal-pasal’ dijebak dengan jenayah tersebut.

Kenapa saya katakan tidak pasal-pasal? Sebabnya, tidak ada angin, ribut atau pokok yang sengaja digoyang-goyang, wanita malang ini ‘terpilih’ untuk mendengar, membaca, atau ditunjukkan bahasa tubuh berbaur lucah oleh pelaku.

Pelaku ini pula selalunya adalah orang yang merasakan dia boleh ‘mengawal mangsa’ dengan berwajah selamba atau berperwatakan baik. Maka betullah peribahasa kita – Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Dan tidak pasal-pasal juga, mangsa mengalami trauma dan kemurungan. Hidup dalam keadaan tertekan manakala pelaku elok-elok saja hidup bergembira ke sana ke sini dan bagi yang sudah berkahwin pula berbahagia bersama anak-anak serta isteri.

Persoalannya, sampai bila mahu hadap semua ini? Menunggu sehingga pelaku insaf atau bertaubat nasuha? Bagaimana kalau pelaku tiada keinsafan dan terus ‘menggila’ sehingga ke usia tua?

Adilkah mangsa melalui situasi ini? Wanita ingatlah! Kita kini bukan hidup dalam dunia gelap dan serba jahil lagi. Kita ada hak dan undang-undang yang melindungi. Bersuaralah demi keadilan diri. Kalau untuk diri sendiri pun berat mulut, siapa yang akan memperjuangkan keadilan itu?

Sebanyak 85 peratus kejadian gangguan seksual di negara ini yang dilaporkan pada tahun lalu melibatkan mangsanya wanita.

Sehingga Ogos tahun ini, terdapat sekitar 442 kes dilaporkan manakala kes gangguan seksual yang dilaporkan pada 2023 adalah 460 kes manakala tahun sebelumnya, 422 kes.

Itu yang yang dilaporkan. Bagaimana yang tidak dilaporkan? Disenyapkan atau didiamkan dan mangsa terpaksa melalui keadaan yang amat ‘merimaskan’ dan menakutkan itu.

Pada kebanyakan mangsa, mereka merasa takut, bimbang perbuatan tersebut akan melampau kepada jenayah cabul atau lebih teruk lagi rogol tetapi pada masa sama, tidak berani menyuarakan perbuatan itu.

Mungkin dalam ketakutan itu masih mahu menjaga aib pelaku atau pelaku seorang ahli keluarga atau kawan-kawan di tempat kerja atau sekadar kawan di media sosial atau takut dengan ugutan.
Tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, sekiranya laporan tidak dibuat, tindakan undang-undang tidak dapat dilaksanakan.

Dalam Program Bitara INTAN: Seminar Antigangguan Seksual di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara, Kedah, bulan lalu, kata Nancy: “Kita juga tidak mahu bilangan ini menjadi satu bilangan yang normal atau bilangannya akan bertambah dari semasa ke semasa, kalau tidak mahu buat laporan polis agar tindakan jenayah dapat diambil, mangsa boleh mengambil tindakan sivil melalui Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS).”

TAGS yang ditubuhkan pada 8 Mac lalu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan apa-apa aduan gangguan seksual sebagaimana ditakrifkan dalam Seksyen 2, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).

Sehingga bulan lalu, kira-kira 1,000 kes datang ke TAGS dan 300 daripadanya membabitkan pengadu lelaki dengan lapan kes gangguan seksual di seluruh Malaysia telah dibawa ke tribunal tersebut untuk diproses dan diselesaikan.

Mangsa gangguan seksual diminta tampil membuat aduan di kaunter TAGS, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat di Putrajaya atau menghubungi Talian Kasih 15999.

Menurut pengamal undang-undang, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, gangguan seksual boleh didefinisikan sebagai apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat, fizikal yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

Menurut beliau, bagi pihak pengadu di dalam sesuatu kes, cara pembuktiannya adalah melalui keterangan lisan di dalam mahkamah atau tribunal.

“Di dalam undang-undang, keterangan terbaik adalah keterangan lisan. Keterangan lain-lain iaitu saksi, keterangan rakaman dan keterangan bertulis merupakan hanya keterangan sokongan,” jelasnya kepada saya.

Menurutnya lagi, di dalam isu gangguan seksual, kebiasaannya melibatkan suasana pekerjaan yang mana kes-kes yang diputuskan melibatkan kes di Mahkamah Industri.

“Jarang berlaku kes gangguan seksual dituduh dalam keadaan luar suasana pekerjaan dan jika ada pun akan dituduh di bawah Sek 354 Kanun Keseksaan iaitu pertuduhan di bawah mencabul kehormatan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan di mana adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu mengaibkan kehormatan seseorang,” terangnya lagi.

Jenayah gangguan seksual, bukan boleh dibuat main atau gurauan. Ia menjatuhkan maruah dan memurungkan mangsa.

Dan lebih memberi tekanan, apabila mangsa tidak mendapat sokongan atau bantuan orang sekeliling dalam mendapatkan keadilan.

Seringkali apabila kes gangguan seksual, cabul atau rogol dilaporkan di media sosial, banyak komen yang menyalahkan mangsa manakala pelaku pula meraih simpati ramai.

Mangsa dipersalahkan, diperlekehkan, dihina dan dituduh melayan atau mungkin memakai pakaian yang boleh mendorong ke arah itu. Sedangkan, ramai juga mangsa yang menutup aurat dan juga warga emas!

Mungkin kalau yang menjadi mangsa itu adalah adik beradik atau isteri mereka, barulah lain pula nadanya.

Tetapi itulah yang peliknya, apabila dibawa ke mahkamah yang tertuduh merayu dikurangkan ikat jamin atau diringankan hukuman dengan alasan mengalami penyakit kronik, menanggung isteri dan anak-anak masih kecil atau menjaga ibu yang sudah tua dan sedang sakit.

Masa melakukan perbuatan tersebut, tidak sedar pula diri itu ada darah tinggi, sakit jantung, kencing manis atau tidak teringat pula pada anak-anak dan isteri?

Saya fikir, orang yang melakukan gangguan seksual inilah yang amat memerlukan bantuan pakar kesihatan mental, bukan mengheret mangsa sehingga mengalami trauma dan gangguan jiwa.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya