Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza? - Utusan Malaysia

Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?

Benarkah gaji pekerja yang mempunyai ijazah di negara ini ada yang lebih rendah daripada pekerja asing?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBANDINGKAN zaman dulu ketimbang zaman sekarang memang jauh berbeza. Kita kena hadam dengan keadaan sekarang. Pemikiran orang sekarang berlainan dengan dulu dan cara bekerja pun kena berubah. – Selalunya kita dengar kata-kata yang begini lah. Kerajaan cakap begitu. Majikan pun mengingatkan perkara sama.

Kita kena berubah mengikut masa. Ada masa kita bekerja dalam tekanan dan ada masa fleksibel. Cara bertindak dan menangani masalah pun kena mengikut pendekatan terkini.

Tetapi itulah, bila masuk bab gaji yang lebih kurang sama saja kadar upahnya dengan 20 tahun dulu, susah pula hendak buat perubahan dan penambahbaikan.

Daripada gaji minimum RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah/Sarawak hinggalah RM1,500 sekarang dan RM1,700 mulai Februari tahun depan, banyak majikan mengeluh ‘peningkatan’ itu memang betul-betul ‘pening’.

Tetapi pada masa sama tidak mahu menyedari kita hidup di zaman serba mahal terutama tinggal di bandar. Gaji RM2,500 ke bawah sudah dikira miskin, tak kira miskin bandar atau miskin tegar, pokoknya miskin lah.

Dulu gaji RM2,000 sudah dikira lumayan. Boleh beli kereta dan menyewa di kawasan selesa. Menyewa di Bangsar, Kuala Lumpur misalnya. Bilik boleh disewa RM150 hingga RM250. Sekarang bilik sewa di bandar pun sampai RM600 hingga RM1,000. Itu belum masuk kos ke tempat kerja, makan dan bil utiliti.

Mahu beli rumah? Harga rumah semuanya bernilai RM350,00 ke atas. Dekat bandar, jangan haraplah, aparment kecil pun harga lebih setengah juta ringgit.

Ramai orang miskin ‘berlegar-legar’ di sekeliling kita. Jadi, bagaimana mahu menoktahkan kemiskinan itu?

Inisiatif gaji Minimum Kebangsaan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pembentangan Bajet pada 15 Oktober 2010. Ia adalah salah satu instrumen dasar melalui Model Baru Ekonomi (MBE) bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang terangkum dan mampan menjelang tahun 2020.

Dasar ini bertujuan memastikan pekerja dapat memenuhi keperluan asas dan menyediakan suasana sesuai untuk industri dalam meningkatkan nilai rantaian pengeluaran mereka.

Gaji minimum mengikut Akta 732 adalah gaji pokok, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Pun begitu, saya berpandangan adalah lebih baik kerajaan menetapkan agar sektor swasta juga perlu ada tangga gaji tertentu mengikut kelayakan akademik iaitu dari peringkat sijil hinggalah ijazah.
Ini adalah lebih baik berbanding mengenakan gaji minimum. Sebab ada setengah majikan, pukul rata saja pekerja baru diberikan gaji minimum walaupun punya ijazah.

Seorang pensyarah di Universiti Malaya, baru-baru ini berbual dengan saya, dia rasa ‘letih’ bila melihat pelajarnya apabila sudah tamat pengajian dapat kerja tetapi dibayar bawah RM2,000.

“ Belajar bertahun-tahun, duit ibu bapa habiskan berpuluh ribu ringgit. Keluar dari universiti gaji RM1,600 atau paling tinggi RM2,000. Sama saja dengan yang ada sijil SPM dan ada yang lebih rendah daripada pekerja asing,” katanya.

Tambahnya, tiada beza atau tiada beza besar antara pekerja ada ijazah dengan yang masuk dengan SPM. Ada beza pun dalam RM100 atau RM200 saja.

Universiti tidak sepatutnya, mengeluarkan ‘tenaga kerja miskin bandar’. Pendidikan sepatutnya menjadi ‘alat’ banteras kemiskinan.

Menurutnya, sistem pendidikan kita sudah cantik dan kerajaan sentiasa mencari mekanisme untuk terus memperbaikinya, tetapi ia dirosakkan dengan sistem gaji hentam kromo yang mengikut kehendak majikan bukan tuntutan pasaran kerja semasa atau gaji setimpal.

Sebab itu, katanya, dia juga bersetuju satu tangga gaji tertentu patut ditetapkan oleh kerajaan untuk pekerja swasta daripada peringkat sijil hingga ijazah.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengingatkan majikan supaya tidak menjadikan kadar gaji minimum baharu RM1,700 sebagai gaji permulaan untuk semua pekerja, termasuk siswazah. Kadar ini adalah untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah.

Tegasnya, majikan perlu mematuhi arahan penyelarasan gaji dan memberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran dan kelulusan akademik pekerja untuk mengelakkan aliran keluar bakat.

“Saranan pemberian gaji selaras dengan kelayakan akademik, peranan kerja dan kemahiran ini adalah untuk kebaikan syarikat juga sebab kalau tak diberi gaji setimpal, akan berlaku kes seperti aliran keluar bakat kita dan sebagainya. Majikan juga tidak dapat bakat dan tenaga kerja yang baik,” katanya.

Tentunya, tenaga kerja yang asyik keluar masuk dalam syarikat kerana upah yang tidak setimpal, merugikan kerana terpaksa melatih pekerja baru dan bila sudah mahir lari lagi ke tempat lain. Akhirnya jadi sebagai ‘tempat latihan’ saja bukan lokasi kerja tetap.

Pun begitu, ada juga kebimbangan disebabkan kenaikan kos operasi akibat kenaikan gaji minimum, akan berlakunya kenaikan perkhidmatan dan seterusnya harga barangan.

Sebab itu apabila buka cerita pasal gaji, ia satu isu yang tak habis-habis diperkatakan. Naik ada masalah, tak naik lagilah bermasalah. Sebabnya, bila gaji naik, peniaga pula pakat-pakat naikkan harga barangan.

Bermula Disember ini penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sebanyak 15 peratus dengan dua fasa. Tetapi itulah, kalau peniaga buat hal, naikkan harga barang, pekerja swasta terutamanya kategori miskin bandar yang tidak naik gaji ini pun terpalit sama.

Jadi kerajaan perlu bertegas, menggunakan undang-undang mengawal kenaikan harga barang dan pada masa sama memastikan majikan perlu patuh perintah gaji maksimum.

Kalau majikan asyik rasa terbeban, cuba pula jadi pekerja dengan gaji di bawah RM2,000. Sama dan perit tak bebanannya itu?

Sementara itu, pekerja juga harus menunjukkan dedikasi yang tinggi terhadap kerja, jangan banyak ‘main’, jangan banyak cuti kecemasan dan jangan bodek lebih, kerja kurang tetapi sibuk minta naik gaji. Kita kena ada situasi ‘menang-menang’ antara majikan dan pekerja. Baru ada harmoni. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya