Sistem pendidikan mesti pupuk perpaduan negara

Sistem pendidikan mesti pupuk perpaduan negara

PENDIDIKAN tidak boleh hanya berbangga dengan pencapaian dan kecemerlangan akademik, penerimaan anugerah pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa, penghasilan inovasi dan penciptaan teori semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu aspirasi bagi pendidikan adalah membina perpaduan. Ini bermakna pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti yang terkandung dalam kurikulum tetapi pendidikan juga hendaklah berupaya menyatukan bangsa. Usaha ini dapat dilakukan oleh guru-guru menerusi aktiviti dalam bilik darjah atau dalam kawasan sekolah mahupun di luar kawasan sekolah, iaitu aktiviti yang mendorong murid untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara mesra merentas keturunan, agama dan bahasa.

Pemupukan nilai perpaduan pada anak bangsa sewaktu usia rebung dan di bangku sekolah membolehkan mereka mengenali, memahami dan menghargai perbezaan sesama mereka untuk bersama-sama hidup dalam rukun dan damai sebagai bangsa Malaysia. Sehubungan dengan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menegaskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bahawa perpaduan merupakan satu daripada beberapa aspirasi bagi sistem pendidikan.

Justeru, apabila disebutkan sebagai aspirasi, tentu aspirasi itu merupakan sebuah harapan besar masyarakat, bangsa dan negara yang diyakini dapat dijayakan oleh pendidikan. Oleh hal demikian, hendaklah selalu ada aspirasi perpaduan ini pada mentaliti guru sewaktu merancang dan melaksanakan aktiviti atau program dalam mendidik murid.

Sememangnya perlu diinsafi bahawa tiada jaminan bagi sesebuah kejayaan seperti membina dan membangunkan sebuah empayar, bangunan pencakar langit, ekonomi berpendapatan tinggi dan sebagainya itu akan kekal, andai masyarakat masih hidup dalam perasaan prejudis dan was-was sesama mereka. Keadaan ini umpama bom yang hanya menunggu detik untuk meletup.

Oleh itu, sistem pendidikan menerusi inisiatif pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum mahupun sistem pentadbiran pendidikan yang dilaksanakan mesti berupaya memupuk perpaduan dalam kalangan murid. Pendidikan tidak boleh hanya berbangga dengan pencapaian dan kecemerlangan akademik, penerimaan anugerah pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa, penghasilan inovasi dan penciptaan teori atau rumus baharu semata-mata.

Kebanggaan yang hanya setakat itu tanpa mampu memberikan natijah dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan murid atau anak bangsa, bermakna bangsa dan negara tercinta ini perlu terus bergelut untuk kelangsungan sebagai negara bangsa Malaysia yang harmoni. Hal ini mesti difahami dengan penuh jujur dan amanah oleh guru tidak kira keturunan dan agama.

Subjek Sejarah dilihat satu mekanisme penting bagi mendidik dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan murid sebagai generasi pewaris. Keyakinan pada subjek Sejarah dalam menjayakan aspirasi perpaduan telah menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek teras di sekolah. Hal ini telah mewajibkan semua murid belajar subjek Sejarah. Malah, subjek Sejarah bersama-sama subjek bahasa Melayu juga telah menjadi subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk layak sijil.

Namun begitu, tindakan yang telah diambil dilihat masih memerlukan usaha lain yang lebih signifikan bagi mencapai aspirasi perpaduan menerusi pembelajaran subjek Sejarah. Hakikatnya, pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah bukan sekadar menghafal tarikh dan peristiwa penting tetapi melampaui daripada semua itu untuk pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah mencapai matlamat tersebut.

Elemen perpaduan yang tersirat di sebalik sejarah mesti ditonjolkan kepada murid sebagai pewaris bangsa. Sekira tiadanya jiwa besar dalam mendukung perpaduan, Malaysia tidak wujud seperti hari ini. Oleh hal demikian, pemupukan tentang peri pentingnya perpaduan di sebalik sejarah tersebut hendaklah dipupuk dalam kalangan murid.

Sejarah kemerdekaan Tanah Melayu atau kemudiannya Malaysia memang menarik untuk ditonjolkan kepada murid kerana sejarah itu telah menaratif penerimaan kaum Cina dan India sebagai warganegara. Kaum Melayu, Cina dan India itu pula didapati telah hidup dengan harmoni selepas merdeka sehingga saling berkunjungan pada hari perayaan.

Kaum Melayu sebagai penduduk pribumi Tanah Melayu telah berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Bagaimanapun, penjajah British mahukan kemerdekaan Tanah Melayu itu hanya dengan penerimaan kaum Melayu terhadap kaum Cina dan India sebagai warganegara. Lantaran atas ihsan Raja-Raja Melayu dan baik budi orang Melayu, kaum Cina dan India diterima untuk hidup bersama-sama sebagai warganegara dalam negara yang merdeka. Tindakan ini adalah atas rasa belas kaum Melayu akan nasib kaum Cina dan India, iaitu jika mereka tidak diterima untuk hidup bersama-sama sebagai warganegara adalah mustahil untuk kedua-dua kaum itu pulang ke negara asal. Hal ini demikian kerana mereka telah lama meninggalkan dan sudah terlalu jauh dengan negara masing-masing.

Bagaimanapun keadaan itu bukanlah salah mereka. Dengan ini, penerimaan kaum Melayu akan kaum Cina dan India merupakan keputusan yang rasional atas kesederhanaan sikap. Keputusan kaum Melayu tersebut juga dapat mengelakkan sengketa yang tidak menguntungkan tetapi membantu untuk memperoleh kemerdekaan daripada British pula. Penerimaan kedua-dua kaum tersebut juga dilihat dapat membantu dalam memajukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Pengalaman kaum Cina dalam bidang perusahaan dan perniagaan serta pengalaman kaum India dalam perladangan getah dapat dimanfaatkan bagi membina kemakmuran ekonomi.

Sementara itu, kaum Cina dan India yang sudah terlalu jauh dengan negara asal bersedia untuk menyambut segala kebaikan yang dihulurkan oleh kaum Melayu. Kaum Cina dan India sudi hidup bersama-sama sebagai warganegara kerana mereka sedar bahawa ihsan Raja-raja Melayu dan tolak ansur serta kesederhanaan sikap kaum Melayu telah memberikan peluang keemasan kepada mereka untuk menjadi warganegara.

Hal ini kerana kaum Cina dan India bukan rakyat raja Melayu. Oleh hal demikian, kaum Cina dan India membalas kebaikan itu dengan memberikan taat setia kepada raja dan negara, di samping bersama-sama membangunkan dan memajukan serta menjaga kesejahteraan hidup di negara ini. Tindakan kaum Cina dan India itu juga sebagai tanda mensyukuri kewujudan Persekutuan Tanah Melayu ini.

Peristiwa di sebalik sejarah tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa asas kewujudan bangsa Malaysia yang majmuk ialah perpaduan. Perpaduan tersebut telah dipupuk menerusi nilai ihsan, sikap sederhana dan berterima kasih sama ada pada kaum Melayu, Cina dan India. Oleh itu, pengajaran di sebalik sejarah ini mesti ditonjolkan dengan jujur kepada murid pada hari ini supaya mereka menghargai kemajmukan dan kepelbagaian tersebut.

Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas telah menyebutkan bahawa perubahan demografi dan kualiti hidup membawa negara kepada cabaran untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat pada masa hadapan. Oleh itu, cabaran ini mesti disinggung menerusi elemen perpaduan dalam pendidikan pada hari ini. Kesungguhan untuk ini mesti ada kerana pemupukan nilai perpaduan menerusi pendidikan akan menyokong pembinaan identiti nasional dalam kalangan murid. – UTUSAN

DR. Mohd Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN