PADA cuti persekolahan, kebiasaannya banyaklah majlis kenduri kahwin. Kadang-kadang terpaksa terkejar-kejar dalam masa sehari itu untuk memenuhi beberapa jemputan.
Selalunya, apabila berkesempatan berkumpul dengan kawan-kawan lama dalam kenduri itu, masa inilah banyak soalan keluar.
Soalan lazim, sudah tentulah anak awak bila lagi hendak kahwin? Tetapi selain soalan itu, anak-anak buat apa sekarang? Dan kerja di mana? Juga paling kerap ditanyakan.
“Anak saya sejak habis belajar universiti tahun lepas sampai sekarang sudah empat kali tukar kerja. Nampak gaya menjelang akhir tahun ini, mahu sampai enam kali.
“Ada saja tidak kena. Jauhlah, naik pengangkutan awam lambatlah, boss cerewetlah, gaji tak berbaloilah dan macam-macam lagi,” kata seorang kawan dalam majlis perkahwinan di Serdang, baru-baru ini.
Budak-budak sekarang, ada masalah di tempat kerja sikit atau rasa penat, terus berhenti kerja. Sebulan dua menganggur dan dapat kerja tidak sampai tiga atau empat bulan berhenti lagi, tambahnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga April 2024, jumlah penganggur dalam negara adalah sebanyak 566,100 orang. Jumlah berkenaan sekali gus mencatatkan kadar pengangguran dalam negara sebanyak 3.3 peratus.
Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.7 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.7 peratus.
Dalam perbualan itu lagi, seorang kawan lain mencelah – Anak muda tukar-tukar kerja itu biasalah, lainlah kalau yang berbuat begitu berusia 40-an dan masih belum stabil kerjayanya. Itu memang masalah besar. Jadi, ibu bapa tidak perlu risau sangat. Lama-lama okeylah.
Menurutnya lagi, anaknya juga sudah banyak kali tukar kerja. Agaknya generasi Z dan Y ini memang beginilah. Bukan macam kita dahulu, setia pada satu tempat kerja sampai ke tua.
Golongan Gen Z adalah mereka yang dilahirkan antara Januari 1995 dan Disember 2003, manakala Y (Milenial) adalah kumpulan yang lahir antara Januari 1983 dan Disember 1994.
Saya juga berpendapat, lompat-lompat kerja ini memang sudah jadi kebiasaan pada yang mula-mula masuk alam pekerjaan.
Pada saya, mereka ini sedang mencari keserasian, kalau sudah serasi dan rasa selesa, mungkin tidak timbul isu lagi, walaupun gaji dibayar agak rendah daripada pekerjaan sebelumnya.
Seingat saya, tempoh untuk serasi pada saya dulu, tidaklah lama sangat. Tukar kerja dua kali sahaja dan pekerjaan ketiga lekat sehingga kini.
Dalam tempoh yang panjang itu, rasanya tidak terfikir mahu cari kerja lain, walaupun kerja lasak, tidak tentu masa, dengan gaji biasa-biasa saja. Yang penting cari pengalaman, selain mahu bekerja di syarikat yang besar dan kukuh. Gaji lama-kelamaan pasti akan naik.
Tidak macam sekarang, dengar ada syarikat lain menawarkan gaji lebih tinggi dengan macam-macam imbuhan, ramai akan mencuba walaupun sudah berada di tempat yang baik selain ramai anak muda mahu mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwa.
Pada saya faktor kos sara hidup juga membuatkan generasi Z ini tercari-cari pekerjaan yang gajinya munasabah. Kita pun tidak boleh terbawa-bawa dengan ‘kenangan silam’ gaji ketika itu RM1,000 pun cukup hidup di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.
Kebanyakan majikan sekarang mahu seorang pekerja mahir yang membuat tiga atau empat kerja dalam satu masa, tetapi gaji dibayar untuk satu job scope saja dan underpaid.
Dengan sering bertukar kerja, ada yang berpandangan, generasi Y dan Z ini terlalu demand atau tidak tahan lasak. Betulkah?
Seorang majikan memberitahu saya, generasi baru tamat pengajian di institusi pengajian tinggi sekarang agak berani dalam menanyakan hal-hal kerja fleksibel semasa temuduga kerja.
Katanya, ada yang bertanya tentang bekerja dari rumah atau dari mana-mana, sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.
Bukan setakat itu, selain mahu gaji atas RM3,000, ada yang bertanya jika mereka cemerlang adakah imbuhan lain selain naik gaji?
Memang berani anak muda sekarang, seingat saya, dulu kita tidak berani mahu tanya atau minta macam-macam pada pihak yang menemuduga. Asalkan diterima bekerja, itu sudah cukup bagus.
Menurut laporan Business Insider 2023, pekerja Gen Z akan menukar kerjaya sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang fasa pekerjaan dan hampir dua pertiga akan meninggalkan majikan semasa dalam tempoh dua tahun akan datang. Namun, menurut laporan Wellness at Work 2024, generasi millenial paling teruk terjejas dengan 69 peratus mengalami burnout atau keletihan melampau diikuti gen Z, 64 peratus.
Walau apa pun, sudah tentu keseimbangan antara kerja dan kehidupan menjadi dambaan setiap daripada kita, tidak kiralah dalam generasi manapun kita berada.
Bagaimanapun, saya berpendapat soal lembik, tidak tahan lasak dan malas ini bukan mewakili kepada mana-mana generasi pun. Kita jangan pukul rata semua generasi Z begitu.
Ramai juga golongan ini yang gigih bekerja dan boleh diharapkan serta boleh bekerja dalam tekanan. Cumanya, mereka perlu dibimbing oleh majikan atau pekerja senior yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.
Generasi sebelum ini pun ramai juga yang malas dengan segala ‘jenis kaki’ – kaki MC, kaki EL (cuti kecemasan), kaki bodek dan kaki komplen.
Bercakap banyak, kerja tak jalan pun, adalah satu penyakit dalam dunia pekerjaan yang mungkin membuatkan pekerja lain, angkat kaki dan mencari kerja lain kerana tidak mahu bekerja dalam suasana toksik.
Yang betulnya, kecemerlangan dalam kerja banyak bergantung kepada keupayaan, kemahuan dan sikap seseorang terhadap kerja, tidak kiralah dalam kategori generasi Y, Z atau yang sudah berusia. – Mingguan Malaysia