Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan - Utusan Malaysia

Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan

1,091 projek naik taraf sekolah daif dilulus, kos RM8.5 bilion – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dikembalikan. Cadangan ini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Rata-rata ibu bapa dan guru juga menyokong cadangan itu. Tentulah cadangan ini agak mencabar untuk diputuskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sahaja. Sehubungan itu, dimaklumkan cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibuat keputusan. Kita sedar cadangan untuk mengembalikan UPSR dan PT3 ini mencabar atas dua perkara.

Cabaran pertama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan tamat tahun depan. Sesuai dengan itu, KPM telah pun memaklumkan pasukannya sedang dalam proses merangka untuk menyediakan dasar pendidikan negara yang baru untuk dilaksanakan selepas tamatnya PPPM 2013-2025.

Secara rasionalnya, dengan tempoh berbaki setahun lebih, timbul persoalan apakah sesuai dikembalikan UPSR dan PT3 dalam masa terdekat?

Oleh itu dicadangkan, jika Jemaah Kabinet bersetuju untuk mengembalikan UPSR dan PT3, sebaiknya agenda itu dimasukkan ke dalam dokumen pelaksanaan dasar pendidikan yang baru nanti selepas PPPM tamat. Maksudnya, bukanlah dilakukan sekarang.

Cabaran kedua, KPM juga memaklumkan penggubalan kurikulum baru untuk sistem persekolahan di negara ini telah dimulakan. Mulai 2026, kurikulum baru akan dilaksanakan untuk prasekolah dan pada 2027 akan dimulakan pula untuk sekolah rendah dan sekolah menengah.

Jika Jemaah Kabinet bersetuju untuk kembalikan UPSR dan PT3, sebaiknya pelaksanaannya hanya bermula dalam Kurikulum Baharu 2027. Bukanlah di dalam kurikulum KSSR (semakan 2017) yang berjalan sekarang.

Kedua-dua cabaran ini perlu dipertimbangkan sewajarnya supaya urusan pendidikan berjalan lancar dan keputusan Jemaah Kabinet itu nanti dapat diterima semua pihak. Walaupun kewajaran mengembalikan semula UPSR dan PT3 adalah tinggi kerana PBD semakin dipersoalkan keberkesanannya oleh kebanyakan ibu bapa dan guru, masa yang ada sangat suntuk untuk terus melaksanakan cadangan ini.

Tetapi di sebalik polemik cadangan pengembalian UPSR dan PT3 ini dibincangkan oleh masyarakat, satu hal yang jelas kepada kita adalah cadangan mengembalikan UPSR dan PT3 ini membuktikan Pentaksiran Bilik darjah (PBD) tidak berjaya dilaksanakan seperti yang dihasratkan pada 2017. Malah cadangan supaya UPSR dan PT3 dikembalikan pun asalnya bermula daripada keluhan dan gesaan supaya PBD dirombak.

Sejak UPSR dan PT3 dimansuhkan pada 2021 dan 2022 sehingga ke hari ini, kita seringkali mendengar keluhan guru dan ibu bapa supaya UPSR dan PT3 dikembalikan kerana pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) tidak berkesan di dalam menilai keupayaan akademik anak-anak mereka.

PBD yang dimulakan tujuh tahun lalu dikatakan oleh ibu bapa sebagai pentaksiran yang tidak jelas dan terlalu subjektif. Acapkali, keputusan PBD dilaporkan kepada ibu bapa, pasti ada rungutan dan suara tidak berpuas hati tentang kaedah PBD yang dilaksanakan kepada anak-anak mereka.

Sebenarnya, pelaksanaan PBD didapati tidak berkesan atas beberapa sebab. Pertama, guru terpaksa menguruskan bilangan murid yang terlalu ramai di dalam kelas. Sudah menjadi kebiasaan sesebuah kelas di negara ini mempunyai bilangan murid lebih 40 murid.

Sepatutnya, untuk melaksanakan PBD secara berkesan, guru-guru perlu menguruskan pembelajaran murid dalam kumpulan kecil. Bilangan murid yang kecil di dalam sesebuah kelas akan memberikan peluang guru membimbing murid secara lebih berkesan.

Sebab kedua, pelaksanaan PBD berhadapan dengan isu silibus yang tidak menyokong kepada keberkesanan PBD. Silibus KSSR yang digunakan di sekolah sekarang adalah yang digubal pada 2012 dan disemak semula pada 2017.

Maksudnya, silibus sekarang digubal atas acuan peperiksaan kerana UPSR dan PT3 hanya dimansuhkan pada 2021 dan 2022. Silibus yang digunakan sekarang berorientasikan peperiksaan dan bukan PBD. Itulah sebabnya isu silibus berat dan tinggi seringkali ditimbulkan guru dan ibu bapa.

Hakikatnya, memanglah sesuatu kurikulum yang berorientasikan peperiksaan akan mengandungi kandungan silibus yang lebih banyak dan berat sesuai dengan tujuannya menguji pengetahuan. Apabila UPSR dan PT3 dimansuhkan, silibus KSSR tetap diteruskan dalam amalan PBD sehingga menimbulkan banyak rungutan guru dan ibu bapa.

Sebab ketiga berkaitan keperluan memberikan autonomi penuh kepada guru di dalam menjalankan PBD. Guru sentiasa bersama murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran, jadi guru lebih tahu dan faham tentang keupayaan murid.

Pemberian gred dan skor tahap penguasaan oleh guru sepatutnya diterima semua pihak yang tidak berada di dalam kelas sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Autonomi mestilah diberikan kepada guru di dalam pentaksiran bilik darjah dan tidak ada pihak luar sepatutnya mempertikaikan keputusan pentaksiran PBD yang diberikan guru.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kemelut UPSR, PT3 dan PBD ini? Sebenarnya kita sedang dalam perangkap pendidikan. PPPM 2023-2025 akan tamat dalam tempoh setahun dari sekarang. Sistem pendidikan negara sepatutnya sudah membuat persiapan rapi untuk melangkah lebih jauh pasca PPPM 2013-2025.

Malangnya, sehingga kini, sistem pendidikan negara kita masih bergelut dengan hal pendidikan yang bersifat operasional. Kemelut PBD-UPSR-PT3, beban tugas guru, beg sekolah berat, silibus padat, sekolah daif, kelas sesak murid, kekurangan guru dan keciciran 3M.

Sistem pendidikan negara kita sudah ‘terperangkap’ dan ‘lemas’ di dalam isu-isu bersifat operasional ini terlalu lama dan dalam. Sedangkan negara lain giat menggerakkan sistem pendidikan dengan amalan terkini, maju dan dinamik. Misalnya, negara jiran di selatan tanah air sedang menggerakkan agenda pendidikan seperti Applied Learning Programme (ALP), Learning for Life Programme (LLP) dan School-Home Patnership.

Oleh itu, kepemimpinan pendidikan negara harus berani dan bertindak untuk membawa sistem pendidikan kita keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan yang bersifat operasional ini dengan segera menyelesaikan isu-isu tersebut.

Masa tidak menunggu kita. Semakin kita lambat bertindak untuk keluar daripada perangkap pendidikan ini, maka semakin jauhlah kita ketinggalan dengan negara lain yang semakin maju sistem pendidikannya.

Dr. Anuar Ahmad
Pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya