Pendidikan 3M perlu strategi jangka panjang - Utusan Malaysia

Pendidikan 3M perlu strategi jangka panjang

semua pihak seharusnya memahami prinsip asas pelaksanaan 3M. Pertama, adalah normal anak-anak yang baru masuk ke Tahun 1 belum mahir membaca, menulis dan mengira. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu masyarakat dikejutkan dengan pengumuman oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa terdapat 122,062 atau 27.2% murid Tahun 1 yang baru tiga bulan bersekolah untuk sesi 2024/2025 dikesan tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) walaupun di peringkat paling asas.

Angka ini tentunya jauh lebih besar jika bilangan murid yang keciciran 3M di Tahun 2 hingga Tahun 6 sekolah rendah turut diambil kira. Malah seperti yang dimaklumkan oleh KPM, angka ini hanyalah dalam kalangan murid Tahun 1 yang sangat lemah 3M kerana berada di tahap penguasaan paling bawah (TP1) yang direkodkan secara pentaksiran bilik darjah. Sedangkan masih ramai murid juga lemah dengan penguasaan 3M berada di TP2 tetapi tidak diambil kira.

Data-data murid sangat lemah kemahiran 3M ini tentunya membimbangkan khususnya dalam kalangan ibu bapa. Sebagai langkah penyelesaian segera, KPM sejak Mac 2024 melancarkan agenda intervensi kurikulum. Salah satu langkah intervensi kurikulum adalah melaksanakan program intervensi literasi dan numerasi bagi yang lemah 3M.

Sehubungan itu, KPM melakukan saringan kemahiran 3M pada Julai 2024. Seterusnya, mulai Ogos hingga akhir Oktober 2024, program intervensi literasi dan numerasi dijalankan pada 122,062 murid terlibat.

Walaupun usaha intervensi ini baik, timbul beberapa persoalan yang memerlukan jawapan daripada pihak bertanggungjawab kepada sistem pendidikan negara.

Pertama, sejak bila perhatian bahawa yang masuk Tahun 1 seharusnya telah kuasai 3M? Jika murid-murid Tahun 1 belum kuasai 3M adakah wajar dilabelkan ‘murid lemah, cicir 3M dan terpaksa pula melalui sesi intervensi literasi dan numerasi?

Jika kita membaca dokumen KPM bertajuk ‘Buku Penerangan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, kita dapati fokus kurikulum KSSR untuk tahap satu (murid Tahun 1 hingga 3) adalah ‘memberi penekanan kepada kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul’. Jelas tumpuan pembelajaran di tahap satu sekolah rendah adalah berkaitan kemahiran 3M.

Maksudnya, sepanjang tiga tahun pertama persekolahan rendah, murid-murid akan ditumpukan kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ia memberi masa kepada murid-murid selama tiga tahun kuasai 3M.

Maka murid-murid tidak perlukan program intervensi seawal tiga bulan bermula persekolahan Tahun 1. Lainlah jika ada murid yang telah dikenal pasti sejak awal persekolahan Tahun 1 mempunyai masalah pembelajaran seperti Dyslexia, Dysgraphia, Dyscalculia atau sebagainya yang memerlukan modul khusus dan program intervensi.

Jika murid-murid adalah normal keupayaan mengapa perlu kepada pemulihan dan intervensi 3M seawal tiga bulan di sekolah? Mengapakah tergesa -gesa?

Kedua, di negara kita pendidikan pra sekolah masih belum diwajibkan. Maksudnya, memang ada anak-anak tidak dihantar ke pra sekolah. Jadi, tentulah ada anak-anak tidak berpeluang untuk kuasai 3M, khususnya dari keluarga miskin atau di luar bandar dan pedalaman.

Sangat tidak adil untuk dikategorikan mereka ini sebagai ‘tidak kuasai 3M’ dan perlu intervensi dengan tempoh masa segera sedangkan mereka tidak berpeluang ke pra sekolah.

Pada saya, pelabelan murid-murid sebagai ‘lemah penguasaan literasi dan numerasi’ dalam tempoh tiga bulan pertama persekolahan di Tahun 1 dan kemudiannya dilakukan intervensi literasi dan numerasi selama tiga bulan adalah satu ‘kesegeraan’ yang tidak rasional.

Ketiga, saya juga tertanya adakah mulai tahun ini program intervensi literasi dan numerasi untuk murid Tahun 1 ini akan berterusan kerana sudah pasti pada setiap tahun akan ada murid-murid yang tidak kuasai 3M?

Adakah ini akan menjadi program dasar yang akan dimasukkan ke dalam dokumen Kurikulum Baharu 2027 nanti seperti pengalaman program LINUS dahulu? Sehingga kini, program intervensi literasi dan numerasi untuk murid Tahun 1 ini masih belum jelas statusnya. Adakah one off atau dasar berterusan?

Isu penguasaan literasi dan numerasi bagi murid Tahun 1 ini sangat penting. Oleh itu, semua pihak seharusnya memahami prinsip asas pelaksanaan 3M. Pertama, adalah normal anak-anak yang baru masuk ke Tahun 1 belum mahir membaca, menulis dan mengira. Hatta, di negara yang maju sistem pendidikan pun, ramai sahaja anak-anak yang belum kuasai 3M di tahun pertama persekolahan.

Maka, menjadi tugas utama sekolah untuk memberikan kemahiran 3M kepada murid di Tahun 1. Oleh itu, tidak tepat istilah ‘cicir 3M’ pada murid Tahun 1 sehingga perlu kepada intervensi secara berasingan daripada kelas arus perdana.

Kedua, kemahiran 3M memerlukan bimbingan berterusan oleh guru yang berkemahiran tinggi tentang pembelajaran awal kanak-kanak. Sebab itu, menjadi keutamaan untuk guru yang cemerlang diletakkan sebagai guru kelas Tahun 1.

Ketiga, murid-murid seawal Tahun 1 mempunyai kepelbagaian keupayaan berbeza. Ada murid yang sudah mahir 3M sebelum masuk ke Tahun 1, ada murid yang sederhana dan ada murid Tahun 1 yang masih tidak kenal huruf. Sebab itulah, saiz kelas Tahun 1 tidak boleh ramai.

Sebaiknya, 20 murid di dalam satu kelas adalah maksimum. Guru berkemahiran tinggi akan membimbing mengikuti keperluan berbeza. Murid-murid yang sudah mahir 3M akan diberikan pengayaan pembelajaran, murid-murid sederhana akan diberikan pengukuhan pembelajaran dan murid-murid yang lemah akan diberikan bimbingan pembelajaran secara individu.

Sebenarnya, bilangan murid Tahun 1 yang belum menguasai 3M seawal tiga bulan pertama persekolahan tidak sepatutnya menjadi isu. Malah, tidak perlu pun pada program intervensi literasi dan numerasi selama tiga bulan untuk membantu murid Tahun 1 menguasai 3M.

Strategi yang sepatutnya dilakukan adalah sediakan guru berkemahiran dan kurangkan bilangan murid untuk setiap kelas Tahun 1. Itu lebih berkesan untuk langkah jangka panjang berbanding program intervensi yang adhoc dan dimulakan dengan pengkategorian ‘murid cicir’ serta amalan streaming kononnya ada ‘murid pandai’ dan ada ‘murid lemah’ 3M.

Ini bukan pemikiran pendidikan yang baik dan logik jika kita mahu membina sistem pendidikan berkualiti. Kita haruslah mempunyai strategi jangka panjang yang lebih konstruktif untuk menjayakan pendidikan 3M.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM.)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya