GISBH: Bidang kuasa siapa? - Utusan Malaysia

GISBH: Bidang kuasa siapa?

Polis Kontinjen Selangor menyerbu pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki GISBH, di Bandar Country Homes, Rawang, baru-baru ini. – Mingguan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas polemik isu pensijilan halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali lagi menjadi topik perdebatan dalam isu GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH). Ada yang kata Jakim lambat bertindak, ada yang kata Majlis Agama Islam Negeri lambat, ada pula menuding jari kepada mufti negeri dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Siapakah sebenarnya bertanggungjawab dalam isu-isu penguatkuasaan berkaitan akidah umat Islam ini? Perlembagaan Persekutuan menetapkan letak duduk agama Islam di dalam senarai negeri di mana sultan atau Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tidak beraja menjadi ketua agama Islam.

Kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri ini diserlahkan dengan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri sebagai badan yang menasihati sultan dalam pentadbiran agama Islam negeri dan adanya susuk tubuh ilmuwan yang dirujuk sebagai mufti negeri. Sebab itulah negara kita ini mempunyai 14 Mufti yang tugasnya adalah menasihati sultan berkenaan perkara berkaitan hukum syarak.

Mempunyai ramai mufti yang ketokohannya amat dihormati dalam negara yang kecil tidaklah menjadikan hal ehwal hukum syarak menjadi rumit malahan sepatutnya mewujudkan institusi kefatwaan yang disegani. Sebagai perbandingan terdapat banyak resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menjadi rujukan bukan hanya di rantau ini tetapi di seluruh dunia.

Tidak cukup dengan kesarjanaan 14 mufti negeri, terdapat pula platform yang mengumpulkan mufti-mufti negeri bersama ilmuwan Islam lainnya yang dinamakan Jawatankuasa Muzakarah MKI di bawah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Selepas hampir 54 tahun penubuhan MKI, Majlis Raja-Raja pada 10 Mac 2022 berkenan agar MKI distrukturkan semula dengan menubuhkan empat jawatankuasa bagi memperkukuhkan fungsinya selaras dengan cabaran kini.

Menarik untuk dilihat, buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan MKI, Majlis Raja-Raja memperkenankan seorang daripada Raja-raja Melayu iaitu Sultan Sharifuddin Idris Shah, Sultan Selangor untuk dilantik sebagai Pengerusi MKI yang ke-10 dan setelah genap dua tahun iaitu pada 9 Mac 2024 digantikan pula oleh Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak yang dengan itu merubah tradisi sebelum ini di mana MKI dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Pelantikan Sultan adalah di atas sifat agama Islam di bawah kuasa Raja Pemerintah dan lebih sesuai MKI dipengerusikan oleh salah seorang daripada Raja Pemerintah.

MKI mempunyai objektif memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam khususnya menggalakkan persamaan dalam bidang perundangan Syariah, pengurusan hal ehwal agama Islam dan fatwa tanpa menyentuh atau menjejaskan kuasa negeri. Dikatakan tidak menyentuh kuasa negeri kerana tidak seperti yang disangkakan oleh banyak pihak, Jakim bukanlah entiti yang bersifat penguat kuasa tetapi bertindak sebagai sekretariat MKI tanpa kuasa penguatkuasaan yang jika Jakim mempunyai kuasa itu tentunya ia boleh menidakkan kuasa Majlis Agama Islam Negeri sebagai Pihak Berkuasa Agama Islam di negeri.

Cabaran dilalui bersama

Saya bawakan wewenang majlis agama Islam negeri, mufti dengan jawatankuasa fatwanya, MKI dengan jawatankuasa muzakarahnya hinggalah kepada tugas hakiki Jakim sebagai penyelaras pengurusan hal ehwal Islam untuk kita sedari inilah kaedah mentadbir urusan agama Islam di negara kita.

Hierarki pentadbiran agama Islam yang ada di dalam negara kita ini telah pun disusun begitu molek dari istana ke entiti pelaksana. Ia tidak boleh diterjah sesuka hati kerana dibimbangi pula akan melangkaui sempadan tugas yang ada. Apa yang perlu ditambah baik adalah menangani perbezaan pandangan antara mufti, penyelarasan sumber perundangan contohnya melalui fatwa atau enakmen hinggalah kepada tindakan penguatkuasaan hinggalah pendakwaan yang terkadang berlaku kelewatan.

Menjadi lebih rumit apabila terdapat keadaan di mana urusan agama Islam yang berada di dalam kuasa negeri terkait pula dengan kuasa Persekutuan. Ini berlaku bukan sahaja dalam kes GISBH tetapi juga dalam pelaksanaan jenayah syariah yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam atau penguatkuasaan fatwa terhadap syarikat. Isu seumpama ini lazimnya diheret ke platform Mahkamah Sivil melalui semakan kehakiman untuk meleraikan simpulan itu.

Dalam pada kita menuding jari terhadap institusi mana yang patut bertindak, jangan pula kita lupa banyak cabaran yang telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk menjadikan perundangan syariah kian lemah. Apa yang lebih menyedihkan, akibat ketidakseragaman perundangan syariah maka ia dijadikan alasan penghakiman yang dilihat boleh mengurangkan apa yang selama ini berada dalam sempadan kuasa negeri.

Dalam isu GISBH ini, penguatkuasaan jenayah syariah itu boleh sahaja dilakukan oleh mana-mana negeri melalui enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang mempunyai fatwa pengharaman Al- Arqam kerana dilaporkan GISB ini dibayangi Al-Arqam. Namun apabila operasi GISB wujud diserata negara dan ia bersilang dengan tuduhan kesalahan jenayah sivil seperti tuduhan liwat dan liwat telah dibatalkan pula sebagai kesalahan jenayah syariah baru-baru ini, maka lebih tepat jika semua tindakan pihak berkuasa disinergikan supaya tidak timbul keputusan yang berbeza-beza.

Contohnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sendiri telah pada 2006 memfatwakan usaha menghidupkan semula Al-Arqam atas apa jua nama adalah bercanggah dengan akidah. Namun jika mereka ini berpindah keluar pula ke Negeri Sembilan atau Putrajaya apa pula status mereka. Maknanya, usaha mendepani segala salah laku jenayah syariah dalam banyak keadaan tidak lagi boleh dikendalikan oleh sesebuah negeri secara terpencil.

Kaedah yang dilaksanakan hari ini dalam menangani isu yang bersifat nasional adalah dengan Jakim sebagai setiausaha kepada MKI menyediakan kertas laporan untuk dibahaskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan dan hasil dapatan muzakarah itu dirujuk kepada MKI sebelum diperkenankan oleh Majlis Raja-raja.

Sungguhpun Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan tidak punyai punca kuasa untuk mengeluarkan apa-apa fatwa, namun cadangan yang dipersembahkan oleh jawatankuasa ini kepada Majlis Raja-Raja apabila diperkenankan kelak tentunya amat bermanfaat untuk dijadikan fatwa yang mengikat oleh jawatankuasa fatwa di setiap negeri bagi dilaksanakan sebagai suatu perundangan yang seragam.

Isu GISBH ini mempunyai ibrah yang bukan kecil kepada masa depan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini. Masih banyak gerak kerja perlu dilakukan bersama dalam pentadbiran agama Islam tanpa menjejaskan kuasa negeri yang sungguh pun selalu kita pertahankan tapi bocor juga akibat cabaran pihak lain. Bak menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Sementara kita mempertahankan asas perlembagaan negara, jangan pula menuding sesama kita, melemahkan lagi kita.

Dato’ Ikbal Salam ialah Peguambela dan peguamcara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN