ADA yang mengatakan, kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menunjukkan rakyat sudah mula kembali menerima parti itu kerana beberapa perubahan yang dilakukan sejak kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Disebabkan kemenangan itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 baru-baru ini menyaksikan timbulnya suara-suara seperti UMNO sudah kembali, UMNO akan kembali dominan, Melayu sudah kembali kepada UMNO, UMNO boleh menang tanpa DAP, UMNO boleh bergerak solo dan pelbagai lagi.
Ia menaikkan semula semangat ahli-ahli UMNO kerana dianggap kemenangan luar jangka jika dibandingkan dengan mana-mana pilihan raya lain, membentuk naratif seolah-olah mereka masih mempunyai sokongan kuat seperti dahulu.
Ada juga beberapa pihak yang menyifatkan kemenangan UMNO itu atas faktor tertentu, tetapi bukan bermakna majoriti pengundi di negara ini sudah bersedia untuk kembali mengundi parti itu.
Dalam perhimpunan agung tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku wakil sayap kepimpinan tertinggi parti, seperti biasa menekankan soal generasi masa hadapan, wanita, anak muda, ekonomi bumiputera dan politik digital selain kekal mempertahankan soal agama, hak Melayu, raja-raja dan bahasa Melayu.
Namun, mesej yang lebih penting ialah bagaimana partinya harus melakukan pembaharuan, mengembalikan semula keyakinan kepada parti, memperkukuh parti dan memperbaiki kelemahan di semua peringkat serta mahu partinya berubah dan mesti keluar ke pemikiran ‘tanpa kotak’.
Di sayap Pemuda, Dr. Muhamad Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda banyak memperjuangkan isu pendidikan, ekonomi dan agama, malah bertindak menubuhkan jawatankuasa pemantau prestasi wakil rakyat yang mewakili sayap tersebut bagi memastikan prestasi mereka berada di tahap tertinggi.
Kebanyakan perwakilan sayap Puteri meletakkan sasaran untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda untuk mengundi parti itu dalam pilihan raya akan datang supaya UMNO terus kekal relevan pada masa depan.
Sayap Wanita bersikap lebih bermuhasabah apabila Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd. Khalid meminta partinya mengambil hikmah daripada kekalahan PRU lalu manakala Exco Wanita UMNO, Haslinda Salleh juga mahu memperbaiki parti tetapi menyeru supaya tidak meragukan kredibiliti presiden.
Kebanyakan perwakilan juga banyak mengulangi soal menarik undi generasi baharu seperti Generasi Z, golongan muda terkini serta perlunya menguasai media sosial.
Beberapa pemimpin tertinggi seperti Datuk Seri Mohamad Hasan pula meminta ahli parti untuk terus memberi kepercayaan kepada menteri-menteri UMNO, manakala Tengku Razaleigh Hamzah meminta mengetepikan kepentingan peribadi demi agenda parti.
Ada juga yang menyebut soal menolak politik toksik tetapi gunakan politik rasional, soal kekal setia kepada parti, jangan menjadi liabiliti, tangani politik toksik dan fitnah, sedia adaptasi suasana baharu, henti politik label-melabel, fokus politik kesederhanaan dan melaksanakan agenda rakyat.
Tidak kurang juga yang mengangkat parti sendiri seperti UMNO berpengalaman bangunkan negara, UMNO bukan parti politik semata-mata tetapi juga pelopor kemerdekaan, UMNO mampu menyatukan Melayu merentasi politik, UMNO dalam Kerajaan Perpaduan demi rakyat, UMNO masih dominan dalam landskap politik semasa, UMNO mampu stabilkan politik negara, UMNO mampu kembalikan kekuatan dan kesepaduan orang Melayu, serta UMNO berpeluang kembali berada di takhta dominan.
Malah, perkataan dominan boleh dikatakan paling banyak digunakan dalam perhimpunan agung kali ini, terutamanya ayat seperti UMNO perlu bangkit dan kembali dominan dan tumpu usaha UMNO jadi parti dominan.
Ini menunjukkan signal seolah-olah wujudnya beberapa perwakilan dan pimpinan tertinggi terbuka untuk UMNO bertanding sebagai Barisan Nasional (BN) secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ada yang tidak setuju, termasuk presiden parti sendiri, Ahmad Zahid yang menyatakan UMNO tidak boleh bergerak solo bagi mengelak pertindihan dengan parti lain dalam kerajaan. Begitu juga dengan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengatakan UMNO memerlukan beberapa PRU untuk benar-benar kembali dominan.
MUKA LAMA
Di sebalik beberapa isu yang dibangkitkan, perwakilan UMNO tidak melepaskan peluang untuk membangkitkan isu pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu tuntutan untuk pengampunan sepenuhnya bagi bekas presiden parti itu. Muhamad Akmal sendiri menyifatkan, pembebasan Najib mampu membantu partinya meraih semula sokongan orang Melayu dan orang muda.
Isu ini bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang terutama dalam kalangan pengundi Pakatan Harapan (PH), yang tidak bersetuju dengan desakan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri itu lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Setuju atau tidak, UMNO nampaknya masih berpaut kepada muka lama kepimpinan parti seperti Najib. Ini sememangnya ‘simbol’ parti-parti Melayu yang begitu sukar serta mengambil masa terlalu lama untuk mengetengahkan muka-muka baharu. Ini juga berlaku pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) sedangkan PKR dan DAP mempunyai puluhan muka-muka baharu yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin tertinggi parti.
Begitu juga dengan suara-suara perwakilan dan pimpinan parti yang sering mengulangi soal kembali menjadi parti yang dominan di negara ini. Hakikatnya, majoriti pengundi di negara ini hanya akan memilih sesebuah parti atau gabungan politik membentuk kerajaan kerana percaya mereka ini mampu melakukan perubahan kepada negara seperti yang diperjuangkan dan dijanjikan setiap kali musim pilihan raya.
Jadi, adakah UMNO sudah menunjukkan perubahan selepas kekalahan dua kali berturut-turut dalam PRU? Adakah dengan memenangi PRK Nenggiri, UMNO kembali dominan? Adakah UMNO dapat melaksanakan perubahan dan mampu melakukan perubahan kepada negara?
Hanya UMNO yang mampu menjawabnya.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.