‘Tidak ada makna mahu itu dan ini kalau kerusi kita ‘ciput’

Tidak ada makna mahu itu dan ini kalau kerusi kita ‘ciput’ – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
HAMPIR dua tahun menjadi sebahagian daripada kerajaan, namun UMNO masih berdepan masalah untuk meyakinkan akar umbinya berhubung penyertaan parti Melayu itu dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu diakui Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI dengan menyatakan isu ini belum ditangani dengan baik bukan hanya oleh kepimpinan UMNO tetapi juga dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu mahu menoktahkan apa jua sentimen yang berlegar dalam pemikiran akar umbi dan orang Melayu melalui pendekatan komunikasi tanpa lisan atau secara dalam talian yang lebih luas capaiannya, sekali gus menarik kembali sokongan golongan ini terhadap parti.

Ikuti wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) yang disertai wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto, FARIZ RUSODIO, baru-baru ini.

 

TANGANI PERBEZAAN DENGAN BAIK

Untuk tempoh dua tahun pertama ini, kita merasakan keserasian dalam kerajaan khususnya dalam kalangan jemaah menteri sangat baik. Ini boleh dilihat berdasarkan keputusan-keputusan yang dibuat di Kabinet. Kita lihat pencapaian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kadar inflasi dan pelarasan gaji yang jelas adalah antara elemen penting dibuat kerajaan madani sekarang ini.

Untuk tahun-tahun mendatang apa lagi dalam menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16), kita bukan hanya dalam PAU (untuk) melihat adakah kita telah menyumbang dengan cukup baik bagi pengukuhan Kerajaan Perpaduan, adakah dari segi parti kita merupakan komponen yang penting untuk memperkukuhkan penyatuan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Kita harus melihat bagaimana soal-soal yang merakyat dan membumi harus ditangani dengan melakukan beberapa pendekatan berbeza sebab isu sentimen memainkan peranan sangat penting bagi menggamit semula kepercayaan rakyat pada kerajaan.

Politik pembangunan dan politik perkhidmatan masih penting tetapi soal isu ini jika tidak ditangani, ia tidak akan memberikan kesan kepada rakyat keseluruhannya. Tambahan pula dalam pengurusan persepsi, kita lihat bahawa satu perubahan drastik mesti dilakukan bukan hanya oleh Kementerian Komunikasi yang mana menterinya adalah jurucakap kerajaan tetapi yang penting ialah pendirian 18 parti dalam mendukung keputusan Kabinet dan yang dibuat oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan, parti-parti dalam kerajaan terutamanya bagi melaksanakan keputusan yang dibincangkan dalam sekretariat Kerajaan Perpaduan itu harus difahami oleh kepimpinan di peringkat negeri, Parlimen serta DUN (Dewan Undangan Negeri).

Ini telah pun dilakukan tetapi keberkesanannya belum dapat melimpah ke bawah.

CABARAN SENTIMEN
Kebergantungan kepada pengarahan, keputusan itu kita buat secara kolektif. Dalam hal ini kita tahu Kabinet, kita mempunyai tujuh orang menteri yang berpengalaman. Dua daripadanya mempunyai latar belakang yang kuat sebagai menteri besar. Untuk hal yang sedemikian, kita merasakan pertumbuhan perkembangan landskap politik baharu belum cukup ‘menggigit’ dan tentunya ruang untuk penambahbaikan mesti dibuat kerana peluang banyak di sana.

Namun kita juga harus bekerja di luar kotak atau tanpa kotak. Kita mempunyai acuan dalam proses membuat keputusan tetapi keputusan-keputusan yang penting ini lazimnya selain di bawa ke Kabinet dan difahami oleh ahli-ahli jemaah menteri, ia juga mesti difahami oleh pimpinan parti bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di bawah.

Ini bagi saya harus diusahakan peningkatan pemahaman dan juga sense of belonging (rasa kekitaan) dalam kepimpinan di akar umbi.

FAHMI FADZIL PUNCA KEGAGALAN KOMUNIKASI?
Dulu Menteri Komunikasi UMNO pun ‘kelaut’ juga. Dan sekarang ini bila tidak menjadi menteri, apa yang menteri buat semua tidak betul. Waktu dia menteri, lagi buat tidak betul. Umpamanya di Nenggiri ada menara tetapi tidak boleh berkomunikasi, sebab apa? Adakah itu yang kita mahu, tetapi menteri yang ada sekarang ini bila saya bagi tahu roaming (perayauan) tiada, dia terus lakukan pemasangan, jangan cakap sahaja.

Saya tidak menyentuh sesiapa dalam perkara ini, sama ada masih hidup atau mati.

LIABILITI
Dalam keadaan sekarang memang kita raikan perbezaan politik dalaman. Jika sesebuah parti didapati memberikan pandangan agak berbeza, itu bukan pandangan yang dikeluarkan peringkat kepimpinan atasan, tetapi di peringkat pertengahan dan bawahan. Namun, apabila sesuatu keputusan dibuat di peringkat sekretariat Kerajaan Perpaduan, perkara ini (perbezaan pendapat) tidak timbul lagi.

Kita tahu bahawa bila sesebuah parti dipersepsikan sebagai liabiliti sebenarnya itu tidak menjadi liabiliti sebenarnya cuma soal isu dan sentimen ini perlu dilakukan penjelasan, disantuni dengan baik dan diterjemahkan buktinya dalam bentuk pelaksanaan dasar di peringkat kerajaan pusat, negeri atau dalam PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan sebagainya.

Untuk itu, kita harus ambil langkah positif dan beberapa langkah proaktif selain jangan membiarkan interprestasi berbeza ini kemudiannya menenggelami isu utama yang menjadi tonggak kolaborasi kerajaan yang ada sekarang ini.

PENCANGGAHAN AKAR UMBI
Parti mana yang tiada pencanggahan? Semua parti begitu, inilah dinamika politik. Dalam kumpulan sebelah sana, kita bukan sahaja menghidu bau-bau perbezaan tetapi ia sangat tajam. Ini adalah satu lumrah dan terpulang kepada kepimpinan utama parti itu untuk selesaikan dengan mereka yang agak berbeza pendapat. Bukan mengeluarkan mereka dari gelanggang sebaliknya menyantuni dengan baik. Perbezaan pendapat itu tidak akan meretakkan perpaduan.

AKAR UMBI MASIH TIDAK TERIMA DAP
Tidak timbul soal tidak menerima kerjasama tetapi maklumat, penjelasaian harus pergi ke akar umbi kerana kita menggunakan saluran konvensional dan perkara itu tidak akan sampai. Sebab itu, kita guna pendekatan bukan konvensional seperti saluran media dalam talian dan medium komunikasi yang berbeza yang cakupannya lebih luas dan lebih ramai, itu lebih diutamakan.

Kegagalan dan kelemahan kita adalah dari segi tidak meneroka sepenuhnya penggunaan pendekatan baharu ini. Inilah yang harus kita lakukan.

Mesti diakui (ada yang tidak selesa bekerjasama dengan DAP) tetapi ia akibat daripada penjelasan yang tidak sampai ke bawah dan kita kena faham juga pihak seteru politik menggunakan perkara ini untuk memberikan pandangan yang berbeza.

Bila dunia tanpa sempadan wujud, mereka mendengar, membaca dan melihat pendapat daripada pihak lain juga. Ini merupakan dinamik politik yang pada hemat saya perlu disantuni. Kita perlu menguatkan pendekatan baharu. Saya tidak nampak ada masalah di sini.

Dulu UMNO pernah berpecah dua, pada 1987 hingga UMNO diharamkan dan orang yang mengharamkan itu sendiri bila membentuk UMNO baharu, ketika itu menghadapi masalah yang lebih besar. Kita bersyukur sejak 2018, UMNO tidak terbelah dua. Inilah yang kita bangunkan.

Pertamanya terima hakikat bahawa UMNO ialah parti keahlian tetapi untuk menang pilihan raya kita tidak hanya boleh bergantung kepada ahli-ahli sahaja. Kita mesti mencari usaha untuk mereka yang menjadi ahli parti lain atau sekurang-kurangnya yang tidak menjadi ahli mana-mana parti untuk bersama dengan kita semula.

Setakat ini untuk menggamit sokongan atas pagar tidak terlalu berjaya. Insya-Allah kita akan tangani semula terutamanya bila had umur pengundi itu diturunkan kepada 18 tahun, jumlah pengundi di bawah 40 tahun meningkat ke purata 52 peratus dan sebab itu saya tekankan kita jangan menggunakan pendekatan lama untuk yakinkan mereka. Kita mesti menggunakan pendekatan baharu, caranya ialah komunikasi tanpa lisan.

Kita harus lihat beberapa parti yang dominan di luar negara, BJP (Parti Bharatiya Janata) contohnya, memerintah 10 tahun di India. Dalam PRU baru ini, mereka terpaksa ‘bercantum’ dengan parti-parti lain. 70 buah negara tidak dapat membentuk kerajaan berdasarkan pada parti kerajaan itu dominan, mereka terpaksa bergabung.

Ini satu hakikat politik, bukan hanya di negara kita. Kalau dulunya mesti tulang belakang pada sesebuah parti kerajaan tetapi di negara jiran, keadaan itu juga berlaku.

Ini adalah trend dunia dan kita mesti bijak dalam menangani keadaan itu. Ia bukan mengenai menjadi dominan dengan membunuh kawan sendiri sebaliknya perlu bergabung.

KECENDERUNGAN TERHADAP BEBERAPA PEMIMPIN PARTI
Saya memberikan layanan dan input kepada semua. Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah timbalan presiden saya, kalau saya nak selamatkan diri saya, kenapa saya bawa Tok Mat sekali atas cadangan dari perwakilan untuk kedua-dua jawatan itu tidak ditandingi? Kalau tidak, saya lepaskan diri saya sendirilah.

DUA TAHUN LAGI UNTUK TARIK SOKONGAN PENGUNDI
Saya fikir bukan soal jeda waktu tetapi soal usaha. Kita mesti menggandakan usaha dan kita perlu terjemahkan tindakan kepada masyarakat dengan cara yang bijak. Pendekatan itu mesti amat bijaksana untuk meraih pemikiran dan hati masyarakat sebagai akar umbi.

 

H : PAU medan tarik semula kepercayaan akar umbi

BANGKIT ISU PEMILIHAN PARTI
Kali ini kita tidak akan mendalami resolusi tentang pemilihan parti, tahun depan pun tidak ada kerana pemilihan hanya akan dibuat pada 2026. Kita tidak fikirkan perkara itu, yang kita fikirkan bagaimana ingin menterjemahkan agenda umpamanya saya mempengerusikan Kongres Ekonomi Bumiputera, sejauh mana enam teras dalam kongres ini lebih dari 90 program boleh dilaksanakan.

Walaupun ini adalah program kerajaan, tetapi kita dalam kepimpinan parti harus melihat konteks parti dalam membantu melaksanakan tugas kerajaan. Begitu juga dengan Majlis TVET Negara. Sebagai presiden parti, saya juga beritahu kepada ahli, jangan pernah terlepas peluang untuk anak-anak dan generasi muda menyertai TVET.

Begitu juga dengan Majlis Halal Malaysia, saya mendapati usahawan halal telah sertai program tetapi dari segi ramuan produk halal itu di mana sebanyak 87 peratus tidak disumbangkan orang Islam. Ia terbuka, tetapi kenapa kita tidak ambil peduli? Begitu juga dalam Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, terdapat 951,000 usahawan PMKS (perusahaan mikro kecil dan sederhana), mereka graduasi dan masuk ke usahawan kecil. Ertinya program ini berjaya.

Program kerajaan itu dasar, dari segi pelaksanaan menteri yang bertanggungjawab itu mewakili parti mesti memberikan input untuk melaksanakan agenda transformasi.

PERWAKILAN BERANI KRITIK PARTI
Soal berbeza pendapat itu adalah perkara biasa dalam PAU, wakil daripada negeri-negeri tentunya mempunyai adab untuk menyatakan perbezaan pendapat. UMNO mempunyai cara tersendiri dalam menangani perbezaan pendapat ataupun kritikan. Saya fikir kita mesti terbuka untuk menerima kritikan demi kritikan.

TAPIS UCAPAN
Ia terbuka kepada semua tetapi kita menyelaras tentang isu-isu yang dibangkitkan dalam membahaskan ucapan dasar, mesti ada elemen dan dasar penting.

Tidak pernah ada tapisan ucapan cuma wartawan sahaja kata ada tapisan. Ada yang bercakap menggunakan teks, ada yang bercakap tidak menggunakan teks. Saya ada menulis sebuah buku mengenai pidato politik. Perkara pertama dalam bab satu ramai orang boleh bercakap tetapi malu, tetapi lebih ramai yang tak pandai bercakap tetapi tidak tahu malu.

Umpamanya kalau dia mula bercakap, dia rasa seronok, perwakilan tepuk tangan tujuannya suruh berhenti tetapi dia tidak tahu malu, dia nak bercakap, lagi minta tambah masa dari pengerusi tetap.

SENTIMEN PUNCA UMNO HILANG UNDI MELAYU
Sebab itu saya kata perlukan penjelasan, umpamanya soal kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan orang Islam, keistimewaan bahasa Melayu. Dalam Kabinet, perkara itu dibincangkan, tidak ada pun bantahan daripada parti yang kononnya sangat tidak suka dengan perkara itu. Ini persepsi, sebab itu saya kata kita mesti menangani persepsi ini sebab pihak lawan yang tukang cucuk supaya kita bergaduh. Sebenarnya tidak bergaduh walaupun sekali.

SUARA WANITA, PUTERI SUNYI SEPI
Kita harus baca apa yang berlaku mengenai kenyataan secara terbuka, aktiviti dan merakyat. Jika sesebuah sayap itu sangat kehadapan kerana melalui kenyataan, itu tidak adil pada dua lagi sayap. Walaupun mereka tak keluarkan kenyataan tetapi dari segi aktiviti mereka paling banyak. Saya bersyukur di Nenggiri, calonnya adalah calon sayap kerana saya lihat Pemuda bekerja keras malah Ketua Pemuda tidak keluar dari Nenggiri selama dua minggu.

Konsep ini berdasarkan pemerhatian kita tetapi realitinya tidak berlaku. Maknanya ketika-tiga sayap melakukan kaedah yang terbaik sebenarnya mengikut acuan masing-masing.

 

H : Sedia menerajui kerajaan semula

PERSEDIAAN PRN DI BEBERAPA NEGERI TAHUN DEPAN
PRK di Mahkota yang terdekat. Di situ sahaja terdapat 4,700 undi tentera. Dalam keadaan begitu, saya sebenarnya telah tua untuk melihat bukan hanya persiapan tetapi apa isu yang berbangkit (outstanding) terutama perbezaan pendapat. Kita lihat di Sabah, tarikh akhir mengadakan pilihan raya adalah pada Oktober tahun depan, tetapi kalau ia diadakan lebih awal daripada itu, soalan yang akan orang tanya, sama ada BN pergi solo? Atau BN bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ada sekarang? Atau dengan rakan kongsi lain?

Saya telah nyatakan keputusan itu hanya akan diumumkan apabila DUN akan dibubarkan tetapi persiapan telah dilakukan. Strategi kami tidak boleh kongsi, kalau tidak ia bukan lagi strategi.

Begitu juga dengan Melaka dan Johor, PRN (pilihan raya negeri) mungkin diadakan lebih awal dari PRU, dalam soal ini, kita belum susun strategi secara komprehensif tetapi sebagai sebuah parti yang dinamik, di peringkat ibu pejabat dan kepimpinan negeri sudah buat beberapa analisis dan pengumpulan data untuk beberapa tindakan bagi mengatasi kelemahan supaya persepsi itu menjadi lebih positif berbanding pesimistik kerana perkara ini menjadi rutin untuk kita di ibu pejabat.

UMNO SEDIA MENJADI PERDANA MENTERI SEMULA
Itu bergantung kepada UMNO mendapat kerusi terbanyak atau tidak. Tidak ada makna mahu itu dan ini kalau kerusi kita ‘ciput’. Jadi kita mesti mengelakkan ‘keciputan’ itu untuk menjadi perdana menteri semula.

KEKAL DALAM KERAJAAN PERPADUAN?
Kita buat keputusan untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal PRU15, ertinya kita akan kekal pada PRU akan datang.

AHMAD ZAHID SEBAGAI PRESIDEN LIBERAL?
Apakah tafsiran anda? Kalau saya tidak liberal semua tidak setuju dengan saya. Menyentuh peribadi saya, silakan, tetapi kalau bercanggah dengan pendirian parti dan memburukkan parti, saya tidak boleh berkompromi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN