Sarawak mahu MA63 dihormati, bukti komitmen kerajaan pusat

Sarawak mahu MA63 dihormati, bukti komitmen kerajaan pusat

ABANG Johari Tun Openg (dua dari kiri) semasa sambutan Hari Sarawak ke-61 di Bintulu, Sarawak, pada 22 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN Rakyat pada 17 Julai lalu memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu (1981). Pada masa sama meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pelabuhan Bintulu.

Perjuangan kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak negerinya dilihat semakin memuncak dengan meletakkan keperluan untuk menghormati segala hal-hal yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kelulusan dua RUU berkenaan, iaitu RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu Menjadi Suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 sekali gus selaras dengan Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 bahawa semua pelabuhan di Sarawak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

Dalam masa sama, ia membuktikan komitmen berterusan bagi kerajaan persekutuan merealisasikan segala perkara termaktub dalam MA63.

Kejayaan yang dianggap sejarah itu ‘hadiah’ bermakna buat rakyat Sarawak pada sambutan Hari Sarawak ke-61.

Tidak dinafikan juga, ia merupakan perjuangan berterusan daripada pemimpin-pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak menoleh ke belakang dalam memperjuangkan hak Sarawak.

Kejayaan ini harus menjadi inspirasi untuk memperkuatkan GPS melalui sokongan belia Sarawak dalam menjadikan negeri ini terus maju.

Kelulusan dua RUU berkenaan membawa kepada tiga jawatankuasa yang akan ditubuh bagi meneruskan proses rundingan. Ia terdiri daripada jawatankuasa teknikal peringkat pegawai, jawatankuasa kerja dan jawatankuasa khas.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jawatankuasa itu akan memperinci segala rundingan berkaitan teknikal, kewangan, sumber manusia dan pengurusan aset yang dijangka dimuktamad tahun ini.

“Melalui kelulusan itu, kerajaan Sarawak diberi kuasa untuk mengendalikan keseluruhan pelabuhan di negeri itu, termasuk Bintulu.

“Operasi Pelabuhan Bintulu akan berjalan seperti biasa mengikut syarikat yang telah dilantik sebelum sebarang perkara dimuktamad kelak,” jelas Fadillah.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini juga pernah menekankan pengambilalihan ini akan membolehkan Sarawak melaksanakan strategi pembangunan yang lebih teratur untuk semua pelabuhannya, meningkatkan peranan mereka dalam mempromosikan perdagangan dan jaringan pengangkutan global.

Sehubungan itu, apa pun, Kerajaan Negeri Sarawak diketuai Abang Johari, dibantu Fadillah dan rakyat dipercayai akan sentiasa berwaspada dengan hak-hak perlembagaan dan keselamatan agar tidak terhakis.

Matlamatnya tidak lain supaya rakyat Sarawak tidak mudah diperkotak-katikkan selain harus berani mempertahankan hak-hak dan kedudukan Sarawak dalam Perlembagaan dan Persekutuan.

Tuntutan ini selaras dengan konteks lebih luas MA63 yang memberikan hak autonomi tertentu kepada Sarawak dan Sabah.

Pelabuhan Bintulu pada tahun lalu mengendalikan 50.73 juta tan kargo dengan peningkatan 7.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, menjadikannya salah satu prestasi terbaik dalam sejarah pelabuhan tersebut.

MA63 PERLU DIHORMATI
MA63 tidak seharusnya dilihat dari ‘sudut’ Sabah dan Sarawak semata-mata tetapi dari perspektif federalisme Malaysia.

Segelintir rakyat di Semenanjung Malaysia menganggap MA63 sebagai perjuangan untuk memulihkan hak Sabah dan Sarawak sedangkan ia sebenarnya bertujuan untuk mengukuhkan semangat federalisme Malaysia.

Dalam ucapan Abang Johari pada sambutan Hari Sarawak ke-61 di Bintulu pada 22 Julai lalu, beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak pernah menuntut hak daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi sebaliknya hanya mahu hak yang sedia ada dihormati dan ditunaikan.

“Pada 17 Julai pula, selepas Parlimen memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu (1981) dan ekoran pelabuhan itu diserahkan kepada Kerajaan Sarawak setelah 43 tahun berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana Sarawak berhasrat mengawal selia dengan lebih berkesan pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di Sarawak melalui undang-undang negeri iaitu satu ordinan yang digubal sebelum penubuhan Malaysia, Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961,” kata Abang Johari.
Jelasnya, kuasa bagi mengawal selia pelabuhan negeri turut termaktub dalam Senarai Tambahan Negeri (Senarai IIA) di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, dalam satu temu bual khas podcast Keluar Sekejap, Abang Johari menafikan dakwaan bahawa Sarawak berhasrat menjadi ‘country within a country’ (negara dalam sesebuah negara) sebaliknya menegaskan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri Sarawak, MA63dan Suruhanjaya Cobbold.

“Sarawak hanya mahu sesiapa sahaja yang membentuk pentadbiran persekutuan seterusnya nanti dapat memulihkan hak negeri itu, selaras dengan MA63.

“Saya mahu jelaskan bahawa kita (GPS) tidak pernah membuat tuntutan yang tidak perlu. You hendakkan I, I support you lah. I don’t demand.” (Anda hendakkan saya, saya sokong anda. Saya tidak meminta)

“Sehingga ke hari ini tiga (melalui) Perdana Menteri kita, saya tidak pernah menuntut apa-apa kecuali saya meminta mereka (kerajaan Persekutuan) menghormati MA63, itu sahaja,” tegasnya.

Sehubungan itu Abang Johari juga bertegas bahawa mana-mana Perdana Menteri dilantik seterusnya nanti perlu mengiktiraf MA63.

MA63 adalah tentang memelihara setiap entiti yang berbeza dalam Persekutuan. Ia adalah asas kepada federalisme Malaysia. Ia meletakkan asas bagi Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hubungan antara wilayah yang berbeza dalam Persekutuan.

Kerajaan menyedari bahawa kejayaan melaksanakan MA63 memerlukan komitmen dari peringkat persekutuan dan negeri. Ini amat penting untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

Pendekatan baharu ini berfungsi sebagai penunjuk utama bahawa rangka kerja MA63 yang dipersetujui akan dilaksanakan dengan pantas dan berkesan, tanpa penangguhan yang tidak perlu.

Malah sebelum ini juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk mempertahankan komitmen dan perjanjian yang diwujudkan semasa penubuhan Malaysia, seperti MA63, sebagai peranannya sebagai wakil ‘generasi penerus’ atau generasi akan datang.

Dalam komitmennya, beliau turut menekankan kepentingan menolak sebarang persepsi dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak bahawa mereka di Semenanjung meminggirkan mereka.

Anwar juga berkata menjadi tanggungjawab generasi akan datang untuk menghormati komitmen yang dibuat dan perjanjian yang ditandatangani untuk mengukuhkan identiti sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu dan terkenal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya