Lesen menunggang motosikal - Apa yang riuhnya? - Utusan Malaysia

Lesen menunggang motosikal – Apa yang riuhnya?

Konsep belajar untuk lulus sahaja terbukti tidak berkesan kerana jika ia berkesan, sekurang-kurangnya jumlah kemalangan jalan raya akan menunjukan penurunan. - Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Negara riuh sebentar dengan isu lesen menunggang motosikal, iaitu lesen kelas B.
Secara umumnya, lesen B ini mempunyai tiga kategori:
 Lesen B2 – motosikal 250cc ke bawah
 Lesen B1 – motosikal 500cc ke bawah
 Lesen B – juga dikenali sebagai B penuh atau B-Full, untuk motosikal dengan apa kapasiti enjin pun.
Undang-undang Malaysia membenarkan individu untuk terus mengambil lesen B penuh tanpa perlu melalui fasa B1 dan B2.
Ini jarang berlaku kerana kos lesen B penuh yang mahal (RM900 ke atas) dan juga harga yang tinggi untuk motosikal dengan enjin besar.
Kebanyakan daripada pengguna memiliki lesen B2, dan lesen B1 langsung tidak dipromosikan oleh Institut Memandu (IM). Alang-alang, baik terus ke B penuh. Malah saya tidak pernah lagi melihat penunggang yang mempunyai lesen B1 pun!
Isu mula timbul apabila sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  mencadangkan agar pemegang lesen B1 dan B2 boleh dinaik-taraf ke B penuh secara automatik.
Beberapa hari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula mengumumkan pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober depan.
Katanya, pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan, antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.
Untuk pengguna berlesen B1 dan B2, sememangnya itu yang dinantikan kerana tidak perlu kos tambahan tetapi untuk aktivis keselamatan jalan raya, ia adalah satu cadangan yang bercanggah dengan apa yang negara perlukan.
Kerisauan aktivis-aktivis ini bertempat kerana jum­lah kemalangan maut  pengguna motosikal kekal tinggi dan jumlahnya meningkat.
Menurut Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia oleh Polis Diraja Malaysia untuk tahun 2023, sebanyak 599,967 kes kemalangan jalan raya membabitkan semua jenis kenderaan berlaku berbanding 545,588 kes dalam tahun 2022. Ia adalah peningkatan sebanyak 9.97 peratus atau lebih dari 54,300 kes berbanding tahun 2022.
Kemalangan yang membabitkan motosikal pula meningkat sebanyak 27 peratus – daripada  76,240 kes pada 2022 kepada 96,900 kes pada 2023!
Daripada jumlah itu, 4,489 penunggang dan pembonceng motosikal maut untuk tahun 2023, penambahan 105 nyawa berbanding dengan tahun sebelumnya.
Kebimbangan ini bukan hanya kerana kehilangan nyawa, tetapi daripada kacamata sebuah negara, kehilangan sumber ekonomi dari pendapatan yang boleh dijana oleh mereka.
Bagi yang mengalami kecederaan, ia melambangkan peningkatan kos hospital dan penjagaan untuk mangsa.
Peningkatan jumlah kemalangan juga boleh menjadi agen penghindar daripada Malaysia menjadi negara maju dan juga berdaya saing dalam industri pelancongan.
Pengumuman oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini meredakan sedikit kerisauan aktivis keselamatan jalan raya.
Tambah Loke, pemegang lesen Kelas B1 dan B2 yang melepasi syarat-syarat tertentu boleh mengambil kursus dua  jam untuk mendapatkan lesen kelas B penuh.
Kenapa dua jam? Apa yang diajar dalam dua jam tersebut dan adakah cukup dua jam itu untuk memastikan seseorang itu sudah mampu untuk mengendalikan motosikal besar yang ternyata lebih laju dan lebih pantas, semua itu hanya akan terjawab apabila Kementerian Pengangkutan mengeluarkan garis panduan dan pengisian latihan yang lebih lengkap.
Yang pasti, institut-institut memandu yang saya tanya sendiri tidak pasti daripada mana angka RM160 itu datang kerana menurut mereka, latihan amali bermakna pemohon perlu menunggang motosikal besar untuk mengambil ujian dan fi untuk kursus itu mungkin tidak cukup untuk institut memandu menanggung kos operasi jentera tersebut.
Dunia automotif sekarang memang lebih ke arah gaya hidup dan pengenalan model-model baharu sudah mengalahkan kadar pertumbuhan cendawan selepas hujan.  Pasaran sekarang dipenuhi dengan jentera-jentera saiz sederhana – enjin berkapasiti antara 250cc ke 500cc.
Mungkin kita sepatutnya memperkenalkan balik ujian untuk B1, dan untuk mengurangkan jumlah kematian, kita juga perlu mengkaji semula kurikulum dan sukatan pelajaran untuk institut memandu?
Konsep belajar untuk lulus sahaja terbukti tidak berkesan kerana jika ia berkesan, sekurang-kurangnya jumlah kemalangan jalan raya akan menunjukan penurunan. Mungkin juga statistik kemalangan jalan raya patut dijadikan KPI untuk Menteri-Menteri? Wallahuallam.
HEZERI SAMSURI  ialah Penganalisis Automotif.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya