Kenaikan gaji penjawat awam lonjak sektor PKS

Kenaikan gaji penjawat awam lonjak sektor PKS

KENAIKAN gaji penjawat awam dijangka memberi manfaat besar kepada PKS, merangsang perbelanjaan domestik, yang seterusnya akan membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi PKS dalam pelbagai sektor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelarasan gaji penjawat awam memberikan manfaat langsung kepada 1.6 juta kakitangan kerajaan.

Lebih daripada itu, kenaikan gaji ini juga dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Data menunjukkan bahawa setiap kenaikan RM1 dalam pendapatan penjawat awam akan menjana RM1.50 dalam pertumbuhan ekonomi, disebabkan oleh kesan berganda dari perbelanjaan domestik. Dengan peningkatan pendapatan penjawat awam sebanyak RM12 bilion, negara boleh menjangkakan pertumbuhan ekonomi sebanyak RM18 bilion setahun.

Kenaikan gaji penjawat awam ini merangkumi pelbagai kumpulan jawatan dalam perkhidmatan awam bergantung kepada kategori. Sebagai contoh, Kumpulan Pelaksana akan menerima kenaikan sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 (Disember 2024) dan tujuh peratus lagi pada Fasa 2 (Januari 2026).

Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pengurusan Tertinggi juga akan menikmati kenaikan yang berbeza-beza mengikut peringkat.

Pelarasan gaji ini dijangka meningkatkan pendapatan penjawat awam dalam julat 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, menjadikan ia satu perkembangan ekonomi yang signifikan.

Dengan peningkatan pendapatan ini, penjawat awam akan mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan, yang seterusnya akan merancakkan ekonomi domestik.

PERUMAHAN DAN HARTANAH
Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM), permintaan terhadap hartanah kediaman telah meningkat sebanyak lima peratus tahun lalu disebabkann peningkatan dalam pendapatan boleh guna.
Dengan kenaikan gaji, penjawat awam kini mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli rumah, terutamanya rumah pertama.

Ramai penjawat awam juga akan mempertimbangkan untuk membeli rumah pertama atau menaik taraf kediaman yang sedia ada.
Ini akan meningkatkan permintaan terhadap hartanah dan seterusnya merangsang industri pembinaan dan bahan binaan.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan PKS dalam sektor ini tetapi juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, terutamanya dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan berkaitan.

SEKTOR MAKANAN DAN MINUMAN
Dengan peningkatan dalam pendapatan boleh guna, penjawat awam mempunyai pilihan untuk makan di luar, atau berbelanja untuk makanan berkualiti.
Ini akan meningkatkan permintaan untuk restoran, kafe dan perkhidmatan katering, yang kebanyakannya diusahakan oleh PKS.

Peningkatan dalam permintaan untuk makanan dan minuman juga akan memberi peluang kepada pengeluar makanan tempatan untuk berkembang.

PKS yang terlibat dalam pengeluaran makanan, termasuk industri kecil dan sederhana dalam sektor pertanian, perikanan, dan penternakan, boleh mengambil peluang daripada peningkatan ini dengan menawarkan produk-produk berkualiti dan inovatif untuk memenuhi kehendak pasaran yang semakin berkembang.

SEKTOR PERKHIDMATAN
Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.
Dengan pendapatan tambahan, penjawat awam akan meningkatkan perbelanjaan mereka dalam perkhidmatan seperti pendidikan, kesihatan, kecantikan dan hiburan.
Ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi PKS yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut.

SEKTOR PELANCONGAN

Dengan pendapatan tambahan, ramai penjawat awam mampu bercuti bersama keluarga mereka, baik di dalam mahupun luar negara. Ini akan meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan pelancongan dan perhotelan.
PKS yang terlibat dalam sektor pelancongan dan perhotelan, seperti agensi pelancongan, syarikat pengangkutan, hotel dan homestay, akan mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah pelancong.

Ini akan memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan perkhidmatan mereka, menambah baik kemudahan dan menawarkan pakej-pakej pelancongan yang menarik untuk menarik lebih ramai pelanggan. Peningkatan dalam aktiviti pelancongan juga akan memberi manfaat kepada sektor lain yang berkaitan, seperti peruncitan dan makanan dan minuman.

EKONOMI TEMPATAN

Kenaikan gaji penjawat awam juga akan memberi kesan positif terhadap ekonomi tempatan, terutamanya di bandar-bandar kecil dan luar bandar di mana sebahagian besar penjawat awam tinggal dan bekerja.
Peningkatan dalam perbelanjaan oleh penjawat awam di kawasan-kawasan ini akan merangsang ekonomi tempatan dan memberi peluang kepada PKS tempatan untuk berkembang.

PKS tempatan yang menyediakan barangan dan perkhidmatan asas seperti kedai runcit, restoran dan bengkel kenderaan akan melihat peningkatan dalam permintaan untuk produk dan perkhidmatan mereka.
Ini akan meningkatkan pendapatan mereka dan memberi mereka peluang untuk melabur semula dalam perniagaan mereka, seperti meningkatkan stok, memperluas operasi atau menambah baik kemudahan.
Dalam jangka masa panjang, ini akan membantu memperkukuhkan ekonomi tempatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan-kawasan tersebut.

CABARAN DAN RISIKO

Peningkatan dalam produktiviti akan membantu mengekalkan daya saing ekonomi negara dan memastikan bahawa kenaikan gaji tidak menyebabkan inflasi yang tidak terkawal.
Pemantauan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah penting untuk mengelakkan peningkatan harga barangan yang tidak terkawal.

Kerajaan boleh memperkenalkan dasar-dasar yang menyokong PKS dan sektor swasta, seperti memberikan insentif cukai, mempercepatkan proses pelesenan dan menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih baik. Ini akan membantu PKS dan syarikat-syarikat swasta untuk terus berkembang dan bersaing di pasaran yang semakin kompetitif.

Secara keseluruhannya, kenaikan gaji penjawat awam dijangka memberi manfaat besar kepada PKS.
Dengan strategi yang betul dan pendekatan yang inovatif, PKS dapat memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh kenaikan gaji penjawat awam untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan berdaya saing.

Kenaikan gaji penjawat awam bukan sahaja meningkatkan taraf hidup kakitangan kerajaan tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Dengan menggalakkan pertumbuhan PKS, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan kukuh dan inklusif, memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN