Kamala lebih simpati perjuangan Palestin

Kamala lebih simpati perjuangan Palestin

KAMALA Harris menunjukkan sedikit keprihatinan terhadap kesengsaraan yang sedang dialami oleh penduduk Gaza, sekali gus dijangka menjadi pilihan anak muda menyokong untuk parti Demokrat dalam pilihan raya pada November ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan antara calon Republikan, Donald Trump dan Demokrat, Kamala Harris, tiada banyak anjakan dalam hal dasar luar Amerika Syarikat (AS) terutama sekali jika berkait dengan Israel. Bongkaknya Israel pada ketika ini adalah kerana bantuan tegar terutama sekali dalam hal peralatan ketenteraan dari AS.

Sebab itu rakyat Malaysia dan mungkin jua global mempunyai pegangan tidak kira siapa presiden AS, nasib rakyat Palestin tidak akan berubah ke arah yang lebih baik secara mendadak. Jika diambil senario ketika Barack Obama menjadi presiden, bantuan kepada Israel tetap mengalir dari AS walaupun secara retorik. Obama mengajak negara Islam berkomunikasi dengan Washington dalam hal Palestin.

Tetapi pemilihan presiden AS kali ini berbeza sedikit dari segi dasar kedua-dua calon berkait hal Palestin atau lebih spesifik perang di Gaza. Trump tidak syak lagi mempunyai pandangan yang begitu ekstrem terhadap hak Israel tanpa memperdulikan hak rakyat Palestin.

Ketika perdebatan dengan Presiden Joe Biden beberapa minggu lepas, Trump menuduh Biden terlalu lemah dalam menangani kumpulan Hamas, kerana mendakwa jika beliau presiden, bantuan akan diberikan kepada Israel supaya Hamas dihapuskan dengan segera.

Berbeza pula dengan Kamala terdapat sedikit keprihatinan terhadap kesengsaraan yang sedang dialami oleh penduduk Gaza. Memang Biden jua mendakwa beliau bersungguh-sungguh cuba menyelesaikan isu ini melalui pelan gencatan senjata umpamanya tetapi dasar Biden agak berat sebelah dan dilabel sebagai retorik semata-mata.

Satu perkara yang menarik perbezaan dasar mengenai Palestin antara Biden dan Kamala terserlah ketika lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke AS Julai lalu.

Selepas pertemuan dengan Netanyahu, Kamala di sidang akhbar membuat kenyataan bahawa beliau akui Israel mempunyai hak untuk mempertahan diri tetapi tidak boleh lali dengan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Gaza dan menggesa Netanyahu lakukan sesuatu untuk minimumkan kemusnahan dan kematian orang awam. Satu tamparan buat Netanyahu.

Memang benar Biden jua prihatin tentang perkara ini tetapi tekanan yang dihadapi oleh Kamala adalah berbeza kerana Biden adalah presiden tetapi Kamala pula bercita-cita untuk mengganti Biden pada 5 November akan datang.

Paling ketara perbezaan di antara konvensyen pemilihan calon presiden Republikan pada awal Julai lalu dan Demokrat yang baharu sahaja tamat berkait dengan isu Palestin. Selama tiga hari konvensyen Demokrat di Chicago, dibayangi oleh perhimpunan pro Palestin tetapi ketika konvensyen Republikan di Milwaukee pula isu Palestin langsung tidak timbul.

Ini adalah kerana majoriti rakyat Amerika dari kumpulan Arab-Amerika lebih cenderung menyokong Demokrat. Lebih menarik lagi anak muda yang prihatin tentang apa yang berlaku di Gaza merupakan penyokong parti Demokrat.

Sebab itu Trump dalam kempen beliau tidak perlu mempamerkan simpati kepada perjuangan Palestin kerana ia tidak memberi manfaat politik. Sebaliknya kempen Trump lebih menjurus kepada menambah bantuan kepada Israel.

Tekanan dari gabungan penyokong Demokrat kumpulan Arab-Amerika dan anak muda yang memaksa Kamala mempamerkan keprihatinan terhadap perjuangan Palestin. Biden telah pun melalui kesan protes ini ketika pemilihan dalaman (primary) Demokrat yang bermula Januari lalu.
Di Michigan umpamanya, wujud ramai ahli Demokrat dari Arab-Amerika. Hampir 15 peratus pengundi tidak mengundi Biden sebagai isyarat kepada bakal calon pemilihan Presiden 2024 Demokrat itu supaya lebih prihatin terhadap isu Palestin.

Begitu jua sejak bermulanya konvensyen Demokrat di Chicago untuk merasmikan pemilihan Kamala sebagai calon presiden, tercetus protes pro Palestin sebagai tekanan kepada Kamala supaya lebih bersimpati dengan perjuangan Palestin. Ketika konvensyen Republikan bukan sahaja isu Palestin tidak timbul dalam ucapan malah tiada pun protes.

Sebab itu dihujahkan dalam hal isu Palestin, lebih bermanfaat jika presiden dari parti Demokrat dan kini besar kemungkinan Amerika akan mempunyai presiden bukan sahaja dari parti tersebut tetapi lebih muda dan berpandangan tentang apa yang tercetus di luar AS perlu diambil kira dalam merangka dasar luar.

Pentingnya faktor Kamala sebagai presiden diambil kira kerana beliau lebih muda dan tidak retorik dalam berhujah. Ini kerana kumpulan rakyat AS tidak rela negara mereka bersengkongkol dengan perlakuan genosid di Gaza sekali gus menyebabkan mereka lebih cenderung menyokong Demokrat kerana merasakan Kamala mampu membuat keputusan dengan menilai apa yang berlaku di luar AS.

Tetapi jangan begitu mengharap sangat Kamala akan melakar perubahan Dasar Luar Timur Tengah secara drastik kerana sebagai presiden beliau tetap memerlukan sokongan wakil rakyat Dewan Perwakilan dan Dewan Senat kerana agenda lebih besar ialah mengenai AS.

Tetapi hakikatnya juga wakil rakyat yang sering bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin seperti Bernie Sanders (Bebas-Vermont), Rashida Tlaib (Demokrat-Michigan), Ilhan Omar (Demokrat-Minnesota) dan Alexandria Ocasio-Cortez (Demokrat-New York) akan mempunyai rakan Whitehouse yang boleh diharap, iaitu Kamala Harris presiden AS.-UTUSAN

DR. Azmi Hassan ialah Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN