Lantik jawatan tertinggi badan kehakiman ikut kekananan

Lantik jawatan tertinggi badan kehakiman ikut kekananan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lepas saya terbaca satu berita mengenai nama Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh telah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dalam proses melantik beliau menjadi seorang Hakim Mahkamah Persekutuan dengan tujuan melantik beliau ke jawatan-jawatan lebih tinggi dalam Badan Kehakiman. Berita itu menarik perhatian saya untuk mengingatkan semula amalan mengikuti kekananan dalam pelantikan ke jawatan-jawatan itu.

Dalam rencana ini, saya menggunakan huruf-huruf ringkas bagi nama-nama yang disebut berulang kali seperti berikut: Ketua Hakim Negara (KHN), Presiden Mahkamah Rayuan (PMR), Hakim Besar (Malaya) (HB(M)). Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) (HB(S&S)), Hakim Mahkamah Persekutuan (HMP), Hakim Mahkamah Rayuan (HMR), Hakim Mahkamah Tinggi (HMT), Pesuruhjaya Kehakiman (PK), Mahkamah Persekutuan (MP), Mahkamah Rayuan (MR) dan Mahkamah Tinggi (MT), Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (PK&P), Perdana Menteri (PM), Peguam Negara (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dengan kata-kata “jawatan-jawatan tertinggi dalam Badan Kehakimam”, saya bermaksud jawatan-jawatan KHN, PMR, HB(M) dan HB(S&S). Dengan kata-kata “dalam keadaan luar biasa” saya bermaksud in exceptional cases. “Kekananan” ertinya seniority antara Hakim-Hakim. Misalnya, KHN adalah Hakim paling kanan diikuti oleh PMR, HB(M), HB(S&S), HMP mengikut tarikh pelantikan mereka, HMR mengikut tarikh pelantikan mereka dan HMT mengikut tarikh pelantikan mereka.

Maka, jika jawatan kosong itu adalah jawatan KHN, mengikut kekananan, Hakim yang patut menggantikannya adalah PMR. PMR, Hakim paling kanan selepas KHN, telah menjadi Hakim nombor dua dan adalah logik untuk melangkah ke nombor satu. Dari segi pengalaman, beliau sepatutnya sudah cukup layak dan sesuai untuk jawatan nombor satu itu.

Dari segi integriti, setiap kali beliau hendak dinaikkan pangkat semenjak seorang pegawai PK&P (melainkan jika beliau bukan daripada pekhidmatan itu) beliau telah ditapis, mulai daripada pelantikan PK  hingga kepada PMR (melainkan jika beliau dipayung terjunkan), sebanyak enam kali. Jika tidak ada sesuatu perkara yang menyebabkan beliau tidak patut dilantik ke jawatan HKN, misalnya beliau menghadapi masalah kesihatan, tarikh persaraan beliau terlalu dekat (inilah misalan “dalam keadaan luar biasa”), beliau sepatutnya dilantik ke jawatan nombor satu itu.

Jika jawatan yang kosong itu adalah PMR, pilihan pertama hendaklah diberi kepada HB(M). Dari segi protokol, HB(M) adalah lebih kanan daripada HB(S&S).

Dari segi lamanya perkhidmatan sebagai HMT dan HMR sebelum dilantik menjadi HB(M) atau HB(S&S), biasanya HB(M) telah berkhidmat lebih lama sebagai HMT dan HMR. Ini kerana bilangan HMT di Semenanjung adalah berkali ganda banyaknya daripada bilangan HMT di Sabah dan Sarawak. HMT-HMT di Semenanjung itu akan berkhidmat sebagai HMT, PMR dan HMP sebelum seorang daripada mereka akan dilantik menjadi HB(M). Di Sabah dan Sarawak, di mana bilangan HMT jauh lebih sedikit, pada suatu masa dahulu HMT Sabah dan Sarawak dilantik terus menjadi HB(S&S). Misalannya ialah Tan Sri Lee Hun Hoe dan Tan Sri Steve Shim, hanya memberi dua misalan.

Tan Sri Steve Shim dilantik menjadi HMT sama sehari dengan saya dan Tan Sri Alauddin Sheriff. Selepas lebih kurang dua tahun, kerana ada kekosongan jawatan HB(S&S) dan Sabah dan Sarawak menuntut seorang Hakim yang datang dari Sabah dan Sarawak dilantik menjadi HB(S&S), dan beliau sahajalah yang ada dan paling kanan di antara mereka, maka beliau dilantik ke jawatan itu.

Bayangkan, hari ini beliau duduk di MT, tanpa pernah duduk di MR, esoknya beliau duduk di MP, malah menjadi Pengerusi persidangan panel di ketiadaan KHN, PMR da HB(M), dengan HMP-HMP yang sekian lama lebih kanan daripadanya (dalam kes ini, memberi dua nama, Tan Sri Abdul Malek Ahmad dan Tan Sri Siti Norma Yaakob.)

Dalam kes ini juga, apa yang terjadi kepada saya dan Tan Sri Alauddin yang dilantik menjadi HMT pada hari yang sama dengannya? Kami terpaksa berkhidmat selama lebih kurang tujuh tahun lagi sebagai HMT sebelum dilantik menjadi HMR, tambah lebih kurang tiga tahun lagi sebelum dilantik menjadi HMP dan tambah lebih kurang tiga tahun lagi sebelum Tan Sri Alauddin dilantik menjadi HB(M). (Oleh sebab pada masa yang sama jawatan PMR juga kosong, saya yang lebih kanan daripadanya dilantik ke jawatan PMR.)

Bayangkan, apa yang Tan Sri Steve Shim memperolehi dalam masa satu hari, Tan Sri Alauddin (dan saya, jika jawatan PMR tidak kosong) terpaksa menunggu lebih kurang TIGA BELAS TAHUN untuk memperolehinya! Jangan sangka ketidakadilan tidak berlaku kepada Hakim-Hakim, dalam hal ini kerana mereka orang Semenanjung dan tidak ada jalan pintas bagi mereka.

Itu pun nasib baiklah kerana selepas beliau menjadi HB(S&S), kekananan yang beliau perolehi itu tidak dijadikan landasan untuk pelantihan menjadi PMR dan KHN. Jika tidak, jadi Lebai Malanglah Hakim-Hakim yang berasal dari Semenanjung.

Pihak berkuasa pelantikan hendaklah waspada supaya ketidakadilan seperti itu dalam pelantikan PMR dan seterusnya KHN tidak berlaku. Saya tidak menyalahkan Tan Sri Steve Shim. Itu nasib beliau. Walau bagaimana pun, dalam dua pelantikan ke jawatan HB(S&S) di kebelakangan ini, nampaknya keadaan telah bertambah baik.

Dilihat dari segi pengalaman dan tanggungjawab pun, HB(M) lebih. Menggunakan misalan yang telah diberi, HMT Semenanjung itu mempunyai lebih pengalaman selama lebih tujuh tahun sebagai HMT, tiga tahun sebagai HMR dan tiga tahun sebagai HMP sebelum dilantik menjadi HB(M).

HB(M) bertanggungjawab mengenai pentadbiran berpuluh-puluh MT, berpuluh-puluh Mahkamah Sesyen dan beratus-ratus Mahkamah Magistret. Tanggungjawab HB(S&S) di Sabah dan Sarawak jauh lebih kurang besarnya.

Dalam keadaan biasa, kekananan boleh ditentukan hanya dengan melihat Hakim yang menduduki jawatan yang paling tinggi di bawah jawatan yang hendak diisi itu. Tetapi, ada kalanya, berbuat demikian akan menyebabkan ketidakadilan kepada Hakim-Hakim lain. Misalnya, ada kalanya seorang pegawai tinggi di Jabatan Peguam Negara tidak dapat dilepaskan untuk menjadi PK/HMT kerana kepakaran mereka dalam sesuatu bidang amat diperlukan di sana.

Misalan yang paling jelas adalah Tun Mohd Salleh Abas dan Tan Sri Idrus Harun, kedua-duanya Peguamcara Negara. Oleh sebab itu Tun Salleh Abas dilantik terus menjadi HMP dan kemudiannya KHN. Pada masa itu belum ada MR dan PMR. Tan Sri Idrus Harun pula dilantik menjadi HMT dan diberi fast track menjadi HMR dan HMP. Malangnya kemaraan beliau disekat oleh Tun Tengku Maimun.

Pegawai-Pegawai PK&P yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak sahaja sebelum dilantik menjadi PK dan HMT tidak terdedah kepada tekanan kerja yang berat dan jenis kes yang mencabar seperti di Semenanjung. Apatah lagi, PK dan HMT yang dilantik dari kalangan peguam di Sabah dan Sarawak dan terus dilantik sebagai HB(S&S). Mereka mempunyai pengalaman yang terhad kepada jenis kes yang diambilnya semasa berkhidmat sebagai peguam dan tiada langsung pengalaman mentadbir mahkamah. Dalam hal ini juga HB(M) mempunyai kelebihan daripada HB(S&S) untuk dilantik sebagai PMR.

 

Ringkasnya, melainkan seorang HB(S&S) itu telah berkhidmat di Semenanjung sebagai pegawai PK&P dan Hakim dan mempunyai tempoh perkhidmatan hampir sama panjang dan umurnya sebaya dengan HB(M), beliau tidak patut dipertimbangkan langsung untuk pelantikan ke jawatan PMR.

Satu perkara lagi, melainkan jika mereka itu berketurunan Melayu, biasanya penguasaan Bahasa Melayu mereka sangat lemah. Mereka tidak boleh membantu penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah, malah menghalangnya.

Pihak yang lebih arif dalam menentukan kekananan dan kesesuaian pengganti jawatan-jawatan tertinggi di Badan Kehakiman adalah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan KHN asalkan mereka bebas dalam memberi nasihat mereka. Perdana Menteri, sepatutnya,  hendaklah  menurut nasihat mereka dan procedure yang ditetapkankan.

PN tidak ada peranan dalam pelantikan jawatan-jawatan tertinggi di Badan Kehakiman. Tetapi, tidak salah bagi PM untuk meminta pandangan PN mengenai kesesuaian seseorang calon untuk membolehkannya membuat keputusan yang terbaik. Sayugia diingati bahawa apa yang dilakukan oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam pelantikan Tun Tengku Maimun sebagai KHN dan lain-lain itu, seperti yang diceritanya sendiri dalam bukunya adalah menyalahi procedure yang ditetapkan oleh undang-undang.

Saya percaya, mengambil kira kekananan seseorang calon itu ada baiknya. Selain daripada beliau lebih berpengalaman, ia menjadikan Badan Kehakiman lebih stabil. Hakim-Hakim yang lebih junior akan menghormati Hakim-Hakim yang lebih kanan daripada mereka, bukan memandang serong antara satu sama lain, di hadapan tunjuk hormat, di belakang menunggu kesempatan untuk melangkau.

Hakim-Hakim tidak akan berlumba-lumba untuk mendekati Perdana Menteri. Selain dari itu, tidaklah akan menampakkan sangat bahawa Perdana Menteri terang-terang mencari seorang yang akan mengikut cakapnya.

Seorang Hakim yang sangat junior yang diangkat oleh Perdana Menteri melangkau banyak Hakim-Hakim lain yang lebih kanan untuk memegang satu jawatan yang tinggi, apatah lagi KHN, akan merasa dirinya kecil berhadapan dengan Perdana Menteri, apatah lagi yang telah lama memegang jawatan itu, atau paling kurang merasa amat terhutang budi kepadanya. Itu tidak baik untuk kebebasan mahkamah.

Di India, Perlembagaan India memperuntukkan bahawa pelantikan Chief Justice hendaklah mengikut kekanan sehinggakan seorang Hakim yang akan bersara wajib dalam masa 17 hari dan sedang bercuti sebelum bersara pun  dilantik menjadi Chief Justice. Kita tidak patut mengikuti contoh itu.

Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai kekananan. Tetapi tiga orang Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, kesemuanya Barrister at Law, England, mematuhi kekananan dengan strict. Perdana Menteri ke-IV, Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang doktor perubatan, adalah PM yang mula mengenepikannya.

Beliaulah yang mula melakukan pelangkauan dalam pelantikan HMP seperti dalam kes Tan Sri Azmi Kamaruddin (kerana menjadi salah seorang ahli panel yang mengeluarkan keputusan memihak kepada Tun Salleh Abas) dan Tan Sri Harun Hashim, (pada masa itu Hakim di Bahagian Rayuan dan Kes-Kes Khas yang kerap mengeluarkan perintah certiorari dan membatalkan keputusan-keputusan executive dan mengharamkan UMNO!)

Tun Dr. Mahathir juga bertanggungjawab menyebabkan pelantikan Tun Eusof Chin sabagai KHN, Tan Sri Lamin Yunus dan Tan Sri Wan Adnan Ismail sebagai PMR, Tan Sri Anuar Zainal Abidin sebagai HB(M), kesemuanya melangkau Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Harun Hashim. Selepas itu, beliau mengenepikan kekananan Tan Sri Abdul Malek Ahmad dan Tan Sri Siti Norma Yaakob untuk melantik Tun Ahmad Fairuz menjadi PMR dan seterusnya  KHN.

Semasa menjadi PM Kerajaan PH dalam tahun 2018, dipengaruhi oleh Tan Sri Tommy Thomas, PN, Tun Dr Mahathir telah memilih Tun Tengku Maimun, seorang Hakim yang hanya baru menjadi HMP selama lima bulan, tanpa menjadi HB(M) dan PMR terlebih dahulu, dan melantiknya sebagai  KHN. Amalan biasa memberi gelaran “Tun” kepada KHN juga diketepikan beliau. KHN baru itu hanya diberi gelaran “Tan Sri”, seolah-olah hendak mengingatkan beliau siapa bos. Hanya selepas pertukaran kerajaan dan PM barulah KHN itu diberi gelaran “Tun”.

Kita ingin tahu apa yang berlaku di Malis Raja-Raja. Adakah Raja-Raja semua teruja kerana Malaysia akan mempunyai seorang wanita pertama, seorang Tengku  sebagai KHN? Maka jadilah beliau KHN selama enam tahun, satu tempoh kedua paling panjang selepas Tun Mohamed Suffian tetapi Tun Suffian tidak melangkau sesiapa.

Biar apa pun, perlu disebut bahawa pelantikan itu adalah sah di sisi Perlembagaan. Tetapi, soalnya bukanlah sama ada pelantikan itu berperlembagaan atau tidak. Soalnya ialah sama ada ia patut, sesuai dan wajar dibuat atau tidak.

Dalam keadaan demikian, tidakkah semua Hakim-Hakim yang lebih kanan daripadanya merasa kecewa? Adakah mereka akan menghormatinya? Adakah, selepas itu mereka akan bekerja dengan penuh semangat membantunya? Kemungkinan yang lebih besar berlaku ialah ada seorang dua Hakim yang mempunyai agenda sendiri yang akan mendekatinya, menawarkan diri untuk membantunya dan berjaya mempengaruhinya. Saya tidak mengatakan ia telah atau akan berlaku. Saya berkata kemungkinan ia berlaku adalah lebih besar.

Tun Abdullah Badawi, PM ke-V, didesak oleh UMNO yang menuduh saya “orang Anwar” kerana melepas dan membebaskan beliau daripada kes liwatnya yang pertama, mencuba dengan berbagai cara untuk menafikan saya jawatan KHN walaupun sayalah Hakim paling kanan pada masa itu. (Anehnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak mahukan saya membicarakannya kerana, saya percaya, beliau menyangka saya “orang Pak Lah” sebab kami sama-sama berasal dari Kepala Batas). Tetapi, apabila Allah Ta’ala merancang sebaliknya, maka berlakulah ia dan jadilah saya KHN ke-11.

Kembali kepada Datuk Ahmad Terrirudin. Tiada apa salahnya untuk melantik beliau  menjadi Hakim dengan tujuan dan sebagai persediaan untuk dilantik ke jawatan kehakiman yang lebih tinggi. Ini telah dilakukan kepada Tun Salleh Abas dan Tan Sri Jemuri Sarjan, kedua-duanya dilantik daripada jawatan mereka sebagai Peguamcara Negara/Negeri menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan. Datuk Ahmad Terrirudin adalah seorang PN dan terlalu kanan untuk dilantik sebagai HMT terlebih dahulu seperti Tan Sri Idrus Harun (seorang Peguamcara Negara).

Tetapi, beliau janganlah terlalu cepat dinaikkan pangkat. Beri masa dan peluang yang cukup untuk beliau membuktikan kesesuaiannya di sesuatu jawatan itu dahulu sebelum dinaikkan lagi. Tidak semua orang sesuai bagi semua jawatan. Sebelum melantiknya ke sesuatu jawatan yang lebih tinggi, perlu dilihat kekananan dan prestasi Hakim-Hakim lain yang lebih kanan daripada beliau dan umur beliau jangan terlalu muda.

Apa yang berlaku dalam pelantikan Tun Tengku Maimun tidak sepatutnya berulang. Janganlah kerana beliau telah ditanda sebagai bakal KHN, beliau mesti diberi jawatan itu. Terus terang saya katakan, adalah terlalu awal untuk melantik beliau menggantikan Tun Tengku Maimun sebagai KHN.

Biar siapa pun menjadi PM, beliau janganlah hanya memikirkan kepentingan menguatkan kedudukan sendiri sehingga sengaja melemahkan dua cabang kerajaan lagi. Tiga cabang itu diwujudkan untuk mengelak kediktatoran. Ketiga-tiganya perlu seimbang dan sama kuat. Itulah tanda sebuah kerajaan yang sihat, kukuh  dan dihormati.

Ringkasnya, beliau mengatakan, beliaulah yang mencadang nama Tun Tengku Maimun untuk dilantik menjadi KHN kepada Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir bersetuju dan nama Tun Tengku Maimun dikemukan kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan. – UTUSAN

TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya