Boleh jumpa Jefridin di mana sahaja

Boleh jumpa Jefridin di mana sahaja

JEFRIDIN Atan (tiga dari kanan) menikmati durian bersama beberapa ketua kampung bagi mendengar masalah penduduk di Pekan Penerok, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Setakat hendak minta ‘sign’ (tanda tangan) , di mana-mana pun boleh. Asyik jumpa di pejabat, bosan juga. Kalau di kedai mamak boleh juga sambil pekena teh tarik dan mi goreng.” Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan yang sentiasa mesra dan mudah didekati.

Itulah pendekatan beliau yang boleh ditemui pada bila-bila masa dan tidak mengira tempat jika tiada urusan rasmi. Tidak hairanlah beliau disenangi pelbagai pihak sama ada orang kampung, guru-guru, pemandu teksi, nelayan, pekebun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Memenangi kerusi DUN Kukup pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, bekas pendidik dan nazir sekolah ini tidak kekok untuk bertemu rakyat pada setiap masa dan sering menjelajah ke setiap pelosok kawasan untuk menyantuni dan menyelami masalah pelbagai lapisan masyarakat.

“Turun padang setiap hari jika tiada urusan rasmi, tidak mengira siang atau malam, hujan atau banjir, orang sakit, orang meninggal dunia, kenduri kahwin, rasmi sukan sekolah atau sukan kampung, itu kerja saya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam pada itu, Jefridin memberitahu, sektor ekonomi di DUN Kukup merangkumi Kawasan Perindustrian Tanjung Bin yang menempatkan Stesen Janakuasa Arang Batu dan kemudahan penyimpanan pemprosesan minyak.

 

 

Malah yang terbaru Taman Perindustrian Tropicana atau T Industrial Park yang melibatkan sektor elektrik dan elektronik, farmaseutikal, logistik, pemprosesan makanan dan teknologi berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Kawasan ini dijangka menawarkan 3,000 peluang pekerjaan apabila siap sepenuhnya untuk penduduk tempatan tanpa perlu berhijrah keluar,” katanya.

Kawasan DUN Kukup juga akan terlibat dengan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan tumpuan di Kawasan Perindustrian Tanjung Bin dan T Industrial Park. Justeru, beliau meminta masyarakat bersedia dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang akan berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan tidak hanya menjadi penonton.

Mengenai sektor pelancongan yang turut menyumbang terhadap peluang ekonomi, DUN Kukup bertuah dengan adanya dua tarikan istimewa, iaitu Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) dan Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK).

“Kedua-duanya adalah ikon utama dengan Tanjung Piai sebagai Tanah di Penghujung Benua Asia yang merupakan tumpuan pelancong dari seluruh dunia,” jelasnya.

Katanya, Tahun Melawat Johor 2026 juga adalah peluang bagi penduduk memajukan aktiviti IKS, penghasilan barangan cenderamata, makanan ringan serta inap desa.

“Kita juga ada minuman yang viral, Kopi Tenggek, Mi Tongkang, Aiskrim Dulang yang merupakan lokasi yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke Kukup pada tahun 2026,” katanya.

Kukup juga merupakan pintu keluar dan masuk ke Pontian melalui Terminal Feri Antarabangsa Kukup dengan menyambut kedatangan pelawat dari Tanjung Balai dan Selat Panjang, Indonesia.

Selain sektor ekonomi, beliau juga berusaha untuk memulihkan beberapa ‘projek sakit’ seperti Tapak Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ ), Projek Perumahan Taman Satria di Permas dan Pusat Perniagaan Komersial di Kukup Laut.

BIODATA:
Nama: Datuk Jefridin Atan
Lahir : 19 Januari 1968
Pendidikan :
 Diploma Pendidikan, Universiti Malaya
 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Universiti Malaya
 Sarjana Peradaban Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Jawatan:
 ADUN Kukup
 Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional DUN Johor
 Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi

Beberapa kemudahan lain juga sedang dalam pembinaan seperti Pasar Awam Permas, Medan Ikan Bakar dan Balai Cerap di Pantai Rambah.

Jefridin berkata, bagi memenuhi keperluan perumahan golongan muda, beliau juga kini berusaha membawa masuk projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ke kawasan Kukup.

Dari segi kebajikan, Pejabat DUN Kukup sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan rakyat seperti pemberian bakul makanan, katil hospital, kerusi roda dan bantuan kewangan.

“Apabila semua elemen seperti keperluan orang muda, pembangunan, perniagaan dan pelancongan dapat disediakan Kukup mampu menjadi tempat yang menarik dan membangun,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya